Monday 4 August 2014

Zionis Israel serang sekolah PBB lagi penduduk Palestin terkorban


Penduduk Palestin membantu beberapa orang rakan mereka yang cedera dalam serangan tentera Israel ke atas sebuah sekolah tajaan PBB di bandar Rafah, selatan Gaza, semalam. - AFP
GAZA CITY 3 Ogos - Sekurang-kurangnya 10 orang penduduk Palestin terbunuh dalam serangan terbaharu Israel ke atas sebuah sekolah tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza, hari ini, tidak lama selepas Israel mengesahkan bahawa ia sudah mula mengundurkan sebahagian tentera daratnya dari Gaza.
Serangan ke atas sekolah itu yang menempatkan penduduk Palestin yang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing ekoran serangan Israel di selatan bandar Rafah dilancarkan dalam usaha rejim Zionis itu mencari seorang pegawai tenteranya Hadar Goldin yang didakwa diculik pejuang Hamas, yang kemudian disahkan terbunuh dalam pertempuran di Gaza, kelmarin.
Ia merupakan serangan kali ketiga Israel melancarkan serangan ke atas sekolah PBB dalam tempoh 10 hari dan empat hari selepas kereta kebal Israel menggempur sebuah sekolah PBB di utara bandar Jabaliya, mengorbankan 16 penduduk Palestin dalam satu serangan yang disifatkan oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon sebagai 'tindakan terkutuk'.
Seorang wakil AFP berkata, berlaku keadaan kelam kabut di tempat kejadian dengan pasukan penyelamat cuba memindahkan mereka yang cedera, sementara golongan dewasa bertempiaran lari dengan keadaan berlumuran darah dan beberapa kanak-kanak mengalami kecederaan.
Jurucakap agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Chris Gunness berkata, sekolah itu menempatkan beribu-ribu penduduk Palestin yang terpaksa mendapatkan perlindungan di situ setelah mereka dipaksa meninggalkan kediaman masing-masing ekoran serangan Israel ke atas Gaza.
"Sebanyak 3,000 penduduk Palestin berlindung di sekolah UNWRA itu semasa serangan berlaku," katanya dalam Twitternya.
Setiausaha Luar Britain, Philip Hammond mendesak supaya gencatan senjata tanpa syarat dilaksanakan untuk membantu penduduk yang terperangkap di Gaza.
"Kita perlu menghentikan pembunuhan ini," kata Hammond kepada akhbar Sunday Telegraph.
Sementara itu beberapa akhbar Israel melaporkan beberapa orang menteri Israel membuat keputusan tidak mahu menghantar wakil untuk berunding mengenai gencatan senjata dengan Hamas di Kaherah dan sedang menimbang untuk menghentikan operasi ketenteraan sebelah pihak. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140804/lu_01/Zionis-Israel-serang-sekolah-PBB-lagi-penduduk-Palestin-terkorban#ixzz39MwcxWnY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment