Tuesday, 19 May 2015

Penduduk Palestin bantah Hari Baitulmuqaddis

BELIA Israel mengibarkan bendera rejim Zionis di Baitulmuqaddis kelmarin.
BAITULMUQADDIS – Kumpulan nasionalis Israel dan polis bertempur dengan penduduk Palestin di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki rejim Zionis kelmarin ketika pelampau Yahudi berarak sempena sambutan ulang tahun ke-48 penaklukan kota ber­kenaan.
Dikenali sebagai Hari Baitulmuqaddis, sambutan itu bagi memperingati penaklukan Baitulmuqaddis dalam Perang Enam Hari pada 1967, disusuli rampasan kota Baitulmuqaddis Timur yang diduduki bangsa Arab oleh Israel.
Langkah itu tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Polis berkata, dua anggotanya cedera dibaling batu oleh penduduk Pa­lestin, manakala empat warga Palestin ditangkap dekat Bandar Lama, Baitulmuqaddis.
Kumpulan penunjuk perasaan itu disuraikan oleh polis berkuda Israel.
Menurut kenyataan polis Israel, berpuluh-puluh penduduk Islam bergelut dengan sekumpulan belia Yahudi di Baitulmuqaddis Timur.Sekurang-kurang­nya dua penduduk Palestin cedera dalam beberapa pergelutan yang berlaku.
Terdapat kira-kira 200,000 penduduk Israel di 15 penempatan haram Yahudi di Baitulmuqaddis Timur pada hari ini. Mereka tinggal bersama 310,000 warga Palestin.
– AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3aXDD3JWW 
Hakcipta terpelihara