Barack Obama
Greg Rosenbaum salah seorang daripada 20 pemimpin Yahudi yang mengadakan pertemuan dengan Obama di White House semalam berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS) itu memberitahu mereka bahawa tiada guna mengambil tindakan ketenteraan ke atas kemudahan nuklear Iran jika perjanjian antara Teheran dengan kuasa-kuasa dunia tidak dicapai.
“Tindakan ketenteraan terhadap kemudahan nuklear Iran tidak akan mengubah keputusan Iran untuk menyerang AS.
“Kamu akan melihat lebih banyak pengganas menyokong mereka. Kamu juga akan melihat pergerakan Hezbollah melancarkan roket ke arah Tel Aviv, Itu yang beliau kata jika AS lancarkan serangan terhadap Iran,” jelas Rosenbaum.
Kaji selidik yang dijalankan ke atas penduduk Yahudi AS mendapati, mereka mempunyai pendapat yang berbeza-beza tentang perjanjian berkenaan yang disifatkan boleh merenggang hubungan Washington dan Tel Aviv.
Parti Republikan yang menguasai Dewan Perwakilan akan mengundi sama ada untuk menolak atau menerima perjanjian nuklear Iran pada September ini.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengulangi pendiriannya bahawa perjanjian nuklear itu tidak cukup untuk menghalang projek nuklear Iran yang kemungkinan bertujuan membina bom berbahaya.
“Saya menentang perjanjian tersebut kerana saya mahu menghalang berlakunya peperangan. Bagi saya perjanjian ini akan membawa kepada peperangan,” dakwa Netanyahu.