Tuesday 30 June 2015

Rejim Zionis jalankan latihan ketenteraan

Rejim Zionis jalankan latihan ketenteraan
Pelbagai peralatan ketenteraan termasuk kereta kebal digunakan dalam latihan tersebut.

TEL AVIV - ISRAEL. Tentera Israel dilaporkan telah memulakan latihan ketenteraan di kawasan sekitar Genting Gaza, kelmarin dan dijangka berterusan selama seminggu.

Menurut laporan Press TV, jurucakap kerajaan memaklumkan latihan ketenteraan itu kononnya bertujuan untuk memastikan pasukan tentera mereka berada dalam keadaan siap siaga terhadap sebarang ancaman di wilayah tersebut.

Difahamkan, pelbagai peralatan ketenteraan termasuk kereta kebal, unit peluru berpandu turut digunakan dalam latihan terbabit yang dijalankan di kawasan barat gurun Negev berhampiran penempatan haram Sderot.

Sementara itu, pakar ketenteraan di Tebing Barat, Mohammad Masr mendakwa latihan seumpama itu sememangnya telah dirancang lebih awal oleh rejim Zionis.

Awal tahun lalu, tentera Israel turut menjalankan latihan ketenteraan sama di Tebing Barat yang didakwa sebagai sebahagian daripada persediaan mereka terhadap krisis situasi keselamatan di rantau terbabit.

Sehingga kini, Tel Aviv berdepan kecaman kerana melancarkan operasi ketenteraan ke atas Genting Gaza pada Julai lalu yang turut meragut hampir 2,200 nyawa di wilayah tersebut.

Israel tahan kapal Flotila Kebebasan III


Kapal Marianne Gothenburg semasa berlepas dari Palermo, Itali,

KAPAL Marianne Gothenburg semasa berlepas dari Palermo, Itali, baru-baru ini untuk mengetuai Flotila Kebebasan III dalam pelayaran ke Genting Gaza bagi memecah sekatan Israel ke atas wilayah Palestin itu. REUTERS
BAITULMAQDIS 29 Jun - Tentera Laut Israel, hari ini bertindak menggeledah sebuah kapal aktivis pro-Palestin sebelum mengambil alih kapal itu dan mengarahkannya ke pelabuhan Ashdod di Israel, ketika kapal tersebut menyertai flotila kemanusiaan belayar ke Genting Gaza, dalam percubaannya untuk memecah sekatan Israel di wilayah Palestin itu.
Tentera Israel dalam satu ken­yataan berkata, selaras dengan undang-undang antarabangsa, tentera laut Israel telah beberapa kali menasihati kapal tersebut supaya mengubah laluan.
“Setelah mereka enggan menukar laluan, Tentera Laut Israel telah menaiki dan menggeledah kapal tersebut di perairan antarabangsa bagi memastikan mereka tidak melanggar sekatan maritim terhadap Gaza,” tambah kenyataan itu.
Pihak berkuasa Israel melaporkan, setakat ini tiada tindakan kekerasan diambil dan proses menahan kapal tersebut berjalan lancar.
Kapal itu kini diiringi ke Pelabuhan Ashdod dan dijangka tiba di pelabuhan itu dalam tempoh 12 hingga 24 jam lagi.
Seorang jurucakap tentera mengesahkan Kapal Marianne Gothenburg dari Sweden itu merupakan sebuah daripada empat kapal yang menyertai Flotila Kebebasan III, yang membawa aktivis pro-­Pa­lestin termasuk anggota Parlimen Arab-Israel, Basel Ghattas, bekas Presiden Tunisia, Moncef Marzouki dan juga seorang anggota Parlimen Eropah ke Gaza.
Setakat ini tiada laporan tentang tiga buah lagi kapal yang menyertai flotila itu, namun seorang pembe­rita yang menaiki Kapal Marianne Gothenburg memberitahu, kapal-kapal tersebut mengekori dari belakang.
“Pelayaran flotila ini tidak lain dan tidak bukan hanya satu demonstrasi hipokrit dan pembohongan untuk membantu Hamas, sebuah pertubuhan pengganas dan mengetepikan semua penderitaan di rantau ini.
“Langkah menghalang kapal itu masuk ke Gaza melalui jalan laut dibuat mengikut undang-undang antarabangsa, malahan kami juga menerima sokongan daripada sebuah jawatankuasa daripada pejabat Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” dakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang mengutuk flotila itu dan mengucapkan tahniah kepada tentera Israel yang menahan kapal tersebut. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-tahan-kapal-flotila-kebebasan-iii-1.108751#sthash.IRb2D6UD.dpuf

Tahanan Palestin mogok lapar akan dibebas



Khader Adnan

Khader Adnan
RAMALLAH 29 Jun – Seorang penduduk Palestin yang ditahan pihak berkuasa Israel tanpa sebarang dakwaan, akan menamatkan mogok lapar selama 55 hari, sebagai pertukaran untuk dibebaskan, lapor isteri dan kumpulan penyokong tahanan, hari ini.
Kumpulan berhaluan kanan memberi amaran, Khader Adnan (gambar), 36, yang akan dibebaskan dalam masa dua minggu lagi kini berada dalam keadaan tidak sihat.
Isteri Khader iaitu Randa berkata, suami­nya hilang berat badan dan kelihatan seperti seorang kanak-kanak ketika melawat dia di sebuah hospital Israel.
“Suami saya sangat lemah sehingga, tidak mampu mendukung anak kami yang berusia 15 bulan,” jelas Randa.
Pihak berkuasa penjara Israel, Sivan Weizman berkata, Khader berjanji untuk menamatkan mogok lapar sebagai sebahagian daripada perjanjian yang telah dicapai.
Bagaimanapun, Sivan tidak mendedahkan maklumat lanjut tentang perjanjian berkenaan.
Ini merupakan kali kedua Kha­der mengadakan mogok lapar sepanjang berada di bawah pengawasan Israel, dalam undang-undang yang menetapkan rejim Zionis boleh menahan mana-mana penduduk Pa­lestin tanpa sebarang dakwaan dan perbicaraan. – AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tahanan-palestin-mogok-lapar-akan-dibebas-1.108772#sthash.TqBLg2VG.dpuf