Kenyataan tersebut dikeluarkan menjelang ulang tahun ke-11 kematian Arafat yang meninggal dunia di Hospital Tentera Percy dekat Paris pada November 2004, dipercayai akibat diracun oleh pe­risik Israel.
Ketua pasukan terbabit, Tawfiq Tirawi yang mengetuai siasatan sejak 2009 berkata, pihaknya te­lah mengenalpasti pembunuh sebenar Arafat, tetapi memerlukan le­bih masa untuk menjelaskan keadaan sebenar pembunuhan tersebut.
“Israel bertanggungjawab terhadap kematian Arafat,” katanya tanpa memberi butiran lanjut siasatan yang dilakukan.
Kematian meragukan Arafat membuatkan balunya, Suha, mengemukakan kes di sebuah mahkamah di Perancis pada 2012 dengan dakwaan suaminya mati dibunuh dan mahu siasatan dilancarkan.
Tahun yang sama, kubur Arafat digali semula oleh tiga pasukan penyiasat antarabangsa iaitu Switzerland, Perancis, dan Rusia bagi me­ngumpul sampel untuk mengesan racun yang digunakan seperti yang didakwa oleh Suha.
September lalu, pa­sukan penyiasat Pe­rancis menutup kes tersebut tanpa mengemukakan sebarang dakwaan terhadap Israel selepas mendapati Arafat mati secara normal, keputusan yang sama dilakukan oleh Rusia. – AFP