Portal berita Al Jazeera melaporkan, keganasan semalam itu mengakibatkan jumlah kematian penduduk Palestin meningkat kepada 50 orang manakala sembilan di pihak Israel sejak kekacauan itu bermula bulan ini.
Dua beradik itu ditembak mati malam tadi di bandar Hebron, Tebing Barat selepas mereka didakwa cuba menikam tentera Israel dalam serangan yang turut mencederakan seorang tentera Zionis.
Media Palestin melaporkan, ke­dua-dua beradik itu dikenali sebagai Bashar Nidal al-Jaabari, 15, dan Husam Ismaul al-Jaabari, 17.
Awal pagi semalam, seorang lelaki Palestin dikenali sebagai Adi Hashem Masalmeh, 24, dibunuh tentera Israel di bandar Hebron selepas didakwa cuba menikam tentera Israel.
Tembakan tentera Israel turut membunuh Ahmed al-Serhi semasa bertempur dengan tentera Zionis di Genting Gaza yang bersempadan dengan Israel.
Selain itu, seorang lelaki Palestin, Hamzeh Mousa Al Amleh ditembak mati tentera selepas dia didakwa merempuh dua individu di kawasan penempatan Gush Etzion di selatan Baitulaham.
Mangsa rempuhan itu hanya cedera ringan.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang peneroka Yahudi maut di Hebron selepas dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang penduduk Palestin yang kemudiannya menyerah diri di balai polis Palestin.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menggesa Israel dan Palestin supaya kembali ke meja rundingan selepas lebih dua minggu keganasan jalanan paling buruk sejak beberapa tahun lalu.
Ki-moon dalam lawatan mengejut ke Baitulmaqdis untuk bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, satu-satunya cara menghentikan keganasan adalah menerusi rundingan.
Beliau turut menasihatkan penduduk Palestin menghentikan serangan senjata tajam dan tunjuk perasaan ganas serta meminta Israel menghentikan langkah-langkah keselamatan seperti memusnahkan kediaman dan merobohkan tembok, perbuatan yang didakwanya menambah lagi kekecewaan penduduk Palestin.
“Keganasan hanya melemahkan aspirasi penduduk Palestin untuk mewujudkan negara yang sah,’’kata Ki-moon lagi. – AGENSI/DPA