Perancis telah memulakan pro­ses merangka pelan damai Palestin-Israel, tetapi New Zealand yang merupakan salah sebuah daripada 10 anggota tidak tetap Majlis Keselamatan bersedia menyokong usaha Perancis untuk menjayakan rundingan antara Palestin dan Israel.
Duta New Zealand ke PBB, Jim McLay berkata, Wellington boleh menyumbang peranan yang lebih besar memandangkan hubungan baiknya dengan kedua-dua pihak yang bertelagah itu.
Jelas McLay, proses menyambung semula rundingan tersebut memasuki waktu yang sesuai selepas Israel baru selesai melaksanakan pilihan raya umum dan sebelum pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada tahun depan.
“New Zealand mahu Majlis Keselamatan PBB memberi perhatian khusus terhadap rundingan yang lebih praktikal.
“Kami juga sedang merangka resolusi yang bertujuan memulihkan perbincangan antara kedua-dua pihak terlibat,” katanya.
Disember lalu, Majlis Keselamatan menolak resolusi untuk menetapkan tempoh selama dua tahun bagi memastikan kedua-dua pihak terbabit mencapai persetujuan serta membuka laluan kepada Palestin menjadi sebuah negara merdeka.
AS menentang keras resolusi berkenaan, tetapi tidak menggunakan kuasa veto disebabkan kegagalan mencapai jumlah sembilan undian dalam kalangan negara anggota untuk meluluskan resolusi tersebut. – AFP