Saturday 10 December 2016

Kebakaran besar strategi Yahudi?


MUHAMAD MAT YAKIM
10 DISEMBER 2016

Kebakaran besar strategi Yahudi?

Kebakaran besar strategi Yahudi?
KEBAKARAN besar yang melanda Israel bulan lalu bukan sahaja meninggalkan kesan kemusnahan yang dahsyat malahan juga pelbagai persepsi.

Ada yang membentangkan teori kejadian bahawa itu adalah strategi 'false flag' rejim Zionis sendiri yang bermotif untuk mengkambinghitamkan Palestin. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana tidak lama selepas bencana itu meletus, terdapat kenyataan daripada pihak Zionis yang menuduh orang Arab sebagai punca. Termasuk yang menyatakan demikian adalah perdana menterinya sendiri, Benjamin Netanyahu.

Netanyahu mendakwa kebakaran itu adalah suatu bentuk keganasan terancang, lalu memberikan amaran bahawa hukuman paling berat akan dikenakan terhadap mereka yang terlibat.

Berikutan itu, 23 suspek ditahan namun kesudahannya, tiada sebarang pendakwaan dibuat ke atas mereka disebabkan kekurangan bukti.

Begitupun, Menteri Pendidikan, Naftali Bennett tetap menuding jari kepada Palestin.

“Kamu datang bakar rumah kami, kemudian kamu datang untuk memadamkannya,” katanya menyindir Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang menghantar pasukan bomba untuk membantu Israel menangani bencana itu.

Apa yang jelas, fenomena api besar selama lima hari bermula 22 November itu masih tidak berupaya untuk merobohkan tembok keangkuhan dan ego pemimpin Zionis. Mereka tetap mahu menyalahkan orang lain, terutama Palestin atas masalah yang dihadapi walaupun pada masa yang sama, mereka mengharapkan bantuan daripada pihak berkenaan untuk memadamkan api yang membakar sebahagian wilayah mereka siang dan malam.

Itulah tipikal Yahudi yang telah dimaklumi sejak zaman berzaman!

Netanyahu, juga Bennett mungkin berpura-pura tidak sedar bahawa peneroka haram Yahudi sendiri yang berpengalaman merampas tanah penduduk Palestin sebenarnya lebih berpotensi untuk jadi punca bencana itu kerana mereka ada pengalaman melakukannya terhadap tanah milik orang Palestin.

Soalnya sekarang, benarkah teori bahawa itu adalah permainan strategi Zionis sendiri, untuk tujuan yang hanya mereka ketahui?



Pelik

Daripada rekod, bencana kali ini melibatkan sejumlah 2,000 kebakaran di Israel dan Tebing Barat dengan 20 daripadanya adalah kebakaran besar. Dari segi kesan pula, ia mengakibatkan kemusnahan 700 premis dengan kebanyakannya adalah rumah kediaman.

Bagaimanapun apa yang mengejutkan adalah hanya 122 kecederaan dilaporkan. Bukanlah mengharapkan yang lebih buruk namun apabila dibuat perbandingan mengenai tahap kejadian termasuk tempohnya dengan bilangan mangsa berbanding apa yang pernah berlaku sebelum itu, ia boleh dianggap mencurigakan.

Memanglah diketahui bahawa Israel adalah pihak yang tidak pernah telus dalam pemaparan maklumat melibatkan kerugian atau kehilangan di pihak mereka namun fakta ini secara tidak langsung menunjukkan seperti ada ‘persediaan’ untuk mereka menghadapi kejadian itu.

Angka kematian yang sifar dan kecederaan yang sangat kecil dikira luar biasa walhal kebakaran kali ini adalah lebih besar berbanding pada 2010 yang mengorbankan 42 nyawa dalam tempoh empat hari sahaja.

Namun, bukanlah menghairankan bagi Zionis untuk melakukan sesuatu yang secara zahirnya persis merugikan malah mengorbankan nyawa orang Yahudi sendiri demi mencapai matlamat 'besar' mereka.

Pada 1951, Israel pernah mengebom sinagog Masauda Shem-Tov di Iraq untuk memaksa orang Yahudi Iraq berpindah ke Tebing Barat dan Gaza yang dirampas daripada orang Palestin sebagai langkah meluaskan lagi jajahan mereka. Sebelum itu, Zionis telah melakukan pelbagai cara untuk memaksa mereka berpindah namun tidak membuahkan hasil.



Damai

Orang Yahudi Iraq memberikan alasan, tidak ada sebab untuk mereka berpindah ke tanah yang telah diduduki oleh orang Arab selama ribuan tahun sedangkan di Iraq, mereka hidup aman damai dengan orang Arab tanpa ada sebarang masalah. Keengganan itu tidak dapat diterima oleh Zionis lalu nyawa jadi galang ganti. Pemimpin Zionis tidak peduli untuk mengorbankan orangnya sendiri bagi memastikan setiap kehendak mereka dipatuhi.

Lebih 15 tahun sudah berlalu namun tragedi 9/11 hingga kini masih lagi kontroversi. Siapa dalang sebenar serangan yang merobohkan menara berkembar World Trade Centre di New York?

Bersandarkan hujah-hujah mereka yang tersendiri, ada pihak mempercayai tragedi yang mengorbankan lebih 3,000 nyawa itu didalangi atau setidak-tidaknya ‘direstui’ oleh Zionis.

Pembikin filem, Michael Moore menerbitkan ‘Fahrenheit 9/11’ pada 2004 untuk mencungkil fakta di sebalik tragedi itu dan baginya, George W. Bush, Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu adalah watak yang cukup mencurigakan di belakang tabir tragedi.

Hakikatnya, selepas peristiwa itu, Bush telah bertindak menyerang Iraq atas alasan mahu memerangi keganasan. AS kemudian berjaya menguasai negara Teluk itu dan meninggalkan proksi untuk memerintah hingga hari ini. Senjata pemusnah besar-besaran (WMD) yang dijadikan alasan serangan tidak juga ditemukan. Bush Jr. sekadar mahu melunaskan hajat bapanya, Bush Sr. yang gagal menurunkan Saddam Hussein dalam Perang Teluk I.

Meskipun menurut Moore serta beberapa penganalisis, 9/11 adalah angkara Bush sendiri namun yang meraih keuntungan daripada kemusnahan Iraq adalah Zionis. Ini kerana Iraq di bawah rejim Saddam sebelumnya adalah ancaman terbesar bagi Israel dalam kalangan negara-negara Arab.

Berasaskan itu, pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM Pulau Pinang, Dr. Mohd Hapiz Mahaiyadin berkata, bukan mustahil jika kebakaran besar yang melanda Israel baru-baru ini juga wajar untuk dihitung sebagai taktik untuk mereka melakukan sesuatu yang lebih besar pada masa depan.

“Sejarah yang berlaku di Iraq satu contoh Zionis sanggup melakukan apa sahaja termasuk mengorbankan orang Yahudi sendiri untuk mencapai tujuan mereka demi meraih keuntungan yang berganda. Mereka mahu orang Islam percaya itu pembalasan tuhan terhadap mereka tetapi saya percaya, mereka juga mahu dunia percaya bahawa bangsa Yahudi akan sentiasa jadi mangsa kepada orang-orang goyem (bukan Yahudi). Mereka perlu melakukan sesuatu setelah modal Holocaust kini dianggap semakin lapuk," katanya.

Menurut Mohd Hapiz, logik syarak juga tidak menyokong peristiwa kebakaran besar Israel boleh diterima sebagai petanda kehancuran negara haram itu ataupun Imam Mahadi akan muncul dalam masa yang terdekat.

"Aturan ceritanya sama dan korelasi antara plot juga makin terserlah apabila ada kumpulan jihadis bangang mengaku bertanggungjawab sedangkan Netanyahu berulang kali beri amaran bahawa hukuman keras akan dikenakan terhadap mereka yang mencetuskan kebakaran di Israel," ujarnya.

Menteri Pertahanan Zionis, Avigdor Liebermann menyatakan, 17 daripada 110 kebakaran dikenal pasti berpunca daripada perbuatan khianat. Sebelum itu, sebuah kumpulan militan proDaesh, Ma'sadat al Mujahideen mengaku bertanggungjawab dalam insiden itu.

Mohd Hapiz menyuarakan rasa bimbang sekiranya kebakaran besar itu dijadikan asas untuk Israel bertindak lebih agresif menyerang Palestin bagi meluaskan lagi kawasan pencerobohan mereka.

"Pihak berkuasa Palestin terutama Hamas perlu merancang pelan pertahanan yang lebih kukuh manakala umat Islam di seluruh dunia wajar untuk mengubah qunut nazilah kepada memohon perlindungan ALLAH terhadap saudara Islam di Palestin yang mungkin akan dihadapkan dengan serangan yang lebih buruk," katanya.

Wednesday 7 December 2016

Provokasi terbaru Israel


7 DISEMBER 2016
Provokasi terbaru Israel


Provokasi terbaru Israel Pihak berkuasa rejim Zionis mengenakan sekatan yang ketat ke atas penduduk Palestin yang mahu memasuki al-Aqsa. - Foto: AFP
BAITULMAQDIS - PALESTIN . Pihak berkuasa Israel, kelmarin memutuskan untuk memanjangkan tempoh masa khusus kepada pengunjung bukan Islam dan penduduk Yahudi untuk memasuki kawasan Masjid al-Aqsa di sini, di bawah langkah provokasi terbaru yang dikhuatiri akan mencetuskan semula ketegangan di wilayah terbabit.

Pengarah Waqf yang bertanggungjawab menguruskan al-Aqsa di bawah pengawasan Jordan memberitahu, keputusan itu membolehkan pengunjung bukan Islam masuk ke kawasan masjid ketiga paling suci bagi orang Islam dari jam 7.30 hingga 11 pagi (waktu tempatan) berbanding satu jam sebelum ini.

"Ia sememangnya satu bentuk pelanggaran. Kami akan mempertahankan amanah Raja Abdullah II dengan segala kuasa yang ada menentang pencerobohan," kata Sheikh Azzam al-Khatib.

Sementara itu, Mufti Baitulmaqdis dan Imam al-Aqsa, Muhammad Hussein memberi amaran terhadap perubahan dasar itu yang jelas menunjukkan niat agresif rejim Zionis membahagikan al-Aqsa seperti yang berlaku pada Masjid Ibrahimi di Hebron.

Menurutnya, beliau menentang sekeras-kerasnya sebarang campur tangan Israel dalam pengurusan al-Aqsa. - Middle East Monitor

Patung Benjamin Netanyahu dijatuhkan


7 DISEMBER 2016

Patung Benjamin Netanyahu dijatuhkan


Patung Benjamin Netanyahu dijatuhkan Patung Benjamin Netanyahu yang dijatuhkan.
BAITULMUQADDIS - PALESTIN. Sebuah patung Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijatuhkan tidak lama selepas didirikan di Rabin Square, semalam.

Menurut laporan CNN, patung yang digelar 'King Bibi' oleh perekanya, Itay Zalait setinggi 4 meter dan dibalut dengan tali penghadang berwarna merah berkenaan dibawa turun kerana dianggap 'provokatif'.

Itay mengatakan patung tersebut dibuat untuk membuatkan orang ramai 'berfikir' tetapi kerajaan tempatan bertindak memberikannya saman dan denda.

Menteri Kebudayaan Israel yang juga ahli Parti Likud, Miri Regev menyifatkan patung tersebut bersifat 'kebencian'.

Sunday 4 December 2016

PBB gesa Zionis tarik diri


4 DISEMBER 2016
PBB gesa Zionis tarik diri


PBB gesa Zionis tarik diri Tentera Israel bergerak mengambil kedudukan semasa sesi latihan ketenteraan di bahagian utara Bukit Golan. - Foto AFP
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi meluluskan resolusi menggesa rejim Zionis untuk menarik diri dari Bukit Golan, terletak di sempadan Syria-Israel sejak pendudukan haram Tel Aviv pada tahun 1967.

Perhimpunan itu menerima pakai resolusi yang telah dicadangkan 37 negara selepas menerima sokongan majoriti pada 30 November lalu.

Resolusi turut mengecam ketidakpatuhan Israel terhadap Resolusi Majlis Keselamatan 497 (UNSC) dari tahun 1981 sehingga kini dan memutuskan keputusan Tel Aviv pada 14 Disember 1981 untuk mengenakan kawalan ke atas Bukit Golan sebagai tidak sah.

Perhimpunan juga menekankan semula tentang prinsip asas pengambilalihan wilayah dengan kekerasan adalah tidak boleh diterima berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.

Difahamkan, resolusi berkenaan turut menegaskan tentang Konvensyen Geneva mengenai perlindungan individu awam ketika perang yang diguna pakai di Bukit Golan. - Press TV

Saturday 3 December 2016

Apa di sebalik kebakaran Israel?


MUHAMAD MAT YAKIM
2 DISEMBER 2016
Apa di sebalik kebakaran Israel?

Apa di sebalik kebakaran Israel? Api menjulang bukan sahaja di kawasan hutan atau yang tidak berpenduduk malah telah mengancam kawasan bandar seperti di Haifa, bandar raya ketiga terbesar Israel.
APABILA Apabila berlaku sesuatu yang melibatkan Israel, ia pasti mengundang kontroversi termasuk kebakaran besar yang melanda negara itu sekarang. Ramai orang terus membuat kesimpulan itu adalah pembalasan tuhan.

Lebih-lebih lagi apabila insiden kebakaran tersebut dikaitkan dengan larangan azan menggunakan pembesar suara oleh rejim Zionis baru-baru ini yang turut menyaksikan seorang anggota Parlimen berketurunan Arab, Ahmed El-Tibi melaungkan azan di dalam Knesset, dewan Parlimen Israel.

Sebenarnya, ramai tidak tahu bahawa siri kebakaran dalam skala besar bukanlah sesuatu yang luar biasa di negara Yahudi itu sejak beberapa tahun kebelakangan. Apa yang berlaku ada kaitan dengan pendekatan Jewish National Fund (JNF) yang sejak 1930an telah menanam pokok pine di beberapa kawasan pedalaman negara itu sebagai kaedah terancang menyembunyikan tindakan jahat rejim Zionis merampas dan memusnahkan kawasan penempatan penduduk Palestin.

Mereka menanam pokok pine di tapak bekas penempatan itu demi menghilangkan imej asalnya sebagai  tanah kediaman yang dirampas.

Gilad Atzmon, seorang aktivis Yahudi yang pro Palestin dalam artikelnya, Why Israel is Burning? disiarkan www.gilad.co.uk pada 25 November lalu, mendedahkan bahawa sejak 1936, JNF telah menaman 1.7 juta pokok di tanah seluas 1,750 hektar. Dalam tempoh 50 tahun, lebih 260 juta pokok pine ditanam di seluruh Israel.

Apa tujuannya?

Selain menyembunyikan kesan tindakan jahat mereka merampas tanah milik orang Palestin, strategi menaman pokok pine juga bermotif untuk mengeropahkan bumi padang pasir itu. Ini ada kaitan dengan asal usul pendatang haram Israel yang kebanyakannya adalah imigran dari negara-negara Eropah.

Atas sebab itu, mereka mahu menjadikan tanah yang dijarah sama seperti daerah asal mereka. Dikelilingi hutan pine adalah satu daripada caranya.

Little Switzerland

Kerana itu, mereka bukan sahaja perlu memusnahkan imej kesan penempatan Palestin yang ada malah pokok zaitun sebagai tanaman asal juga perlu dihapuskan dan ditukarkan dengan pine.

Lantaran banyaknya pine yang ditanam, kawasan pergunungan Carmel, salah satu bahagian pergunungan Palestin (Israel) kemudiannya dikenali dengan julukan ‘Little Switzerland’. Bagaimanapun pada 2010, kawasan Little Switzerland terbakar dan yang tinggal kini hanya sejarah, juga impian orang Yahudi yang tidak kesampaian untuk hidup di kawasan yang persis suasana Eropah.

Wilayah Israel yang beriklim subtropika adalah bercuaca panas. Salah satu kawasannya, Tirat Zvi di Lembah She'an yang bersempadan dengan Jordan termasuk antara 10 kawasan paling panas di dunia dengan suhu mencecah  47.2 hingga 53.8 darjah selsius.

Menurut Atzmon, pokok pine yang sinonim dengan iklim sederhana memang sukar untuk beradaptasi dengan persekitaran seperti itu, sama dengan orang Yahudi yang tidak dapat berasimilasi dengan masyarakat Arab di sekeliling mereka. Ini ditunjukkan dengan fakta bahawa daripada 10 anak pine yang ditanam, hanya empat yang mampu hidup.

Lalu apa kaitannya dengan kebakaran yang sedang berlaku di Israel?

Pokok pine adalah jenis kayu yang mudah terbakar.  Di negara beriklim sederhana (seperti yang sedang berlaku di Amerika Syarikat) kebakaran hutan yang berlaku pada musim panas lazimnya berpunca daripada kayu pine.

Pengganas

Justeru, ia amatlah tidak sesuai untuk ditanam di kawasan bercuaca panas seperti Israel. Adanya beribu-ribu hektar hutan pine di negara itu adalah seumpama mewujudkan zon maut setiap kali tiba musim panas.

Atas sebab itulah, pakar menjangkakan kebakaran besar-besaran yang sedang berlaku di Israel akan berlarutan untuk tempoh beberapa tahun akan datang jika langkah pencegahan tidak dilakukan dengan berkesan.

Siapa Atzmon?

Atzmon yang menghebahkan perkara ini kepada dunia, kini jadi sasaran kecaman orangnya sendiri. Meskipun lahir dalam keluarga Yahudi totok, pada usia dewasanya, dia lantang menentang kekejaman Zionis terhadap orang Palestin malah secara terang-terangan menyelar pengusiran bangsa pribumi itu.

Tulennya keyahudian keluarga Atzmon, datuknya adalah komandan organisasi pengganas Zionis, Irgun yang dikepalai oleh Menachem Begin, bekas Perdana Menteri Israel.

Ketika usianya mencecah 17 tahun, Atzmon menyertai pasukan tentera kerahan Israel Defense Force (IDF) dan diserap dengan doktrin Zionisme yang ekstrem. Sepanjang tempoh itu, dia terlibat dengan beberapa siri pertempuran termasuk ketika Perang Enam Hari pada Jun 1967 yang dimenangi tentera Zionis sekali gus merampas Baitulmaqdis (Jerusalem) dan Tebing Barat daripada penguasaan orang Arab.

Jiwa Atzmon bagaimanapun berubah 180 darjah apabila dia mula mendalami muzik jazz yang telah menyerapkan falsafah kedamaian menerusi melodi ke dalam diri dan kehidupannya. Sejak itu, dia mula mengelak setiap kali ada panggilan untuk tugasan ketenteraan.

Atzmon mulai sedar bahawa dasar dan tindak-tanduk Israel tidak harus didukungi oleh seorang insan yang berakal waras sepertinya lalu pada 1994, dia berhijrah ke United Kingdom.

Dia meninggalkan Tel Aviv dengan keyakinan bahawa Israel harus angkat kaki dari tanah yang dijajah atas dua sebab; pertama kerana bumi yang diduduki itu sememangnya dan selamanya adalah milik orang Palestin.

Kedua, dia percaya bahawa selagi pemimpin dan rakyat Israel berpegang jati politik yang rasis dan bongkak, Zionisme tidak akan bermetamorfosis menjadi ideologi yang berupaya untuk menunjukkan tahap peradaban manusia yang bertamadun.

Sejak itu, Atzmon aktif menulis meluahkan pandangannya untuk menunjukkan kepada dunia betapa tidak adil kaumnya sendiri yang dirasuk oleh ketamakan dan kesombongan hingga sanggup berlaku kejam terhadap mereka yang lebih berhak, iaitu orang Palestin yang telah berdekad-dekad dizalimi.

Selain buku dan makalah, Atzmon yang juga seorang saksofonis turut memperjuangkan seruan keadilan untuk bangsa Palestin menerusi konsert jazz persembahannya..

Atas semangat dan perjuangannya, Dr. Kevin Barret, seorang sarjana Amerika yang banyak menjalankan kajian mengenai Timur Tengah terutama yang berkaitan konflik Palestin - Israel langsung memberi julukan 'Nabi Musa Era Ini' kepada Atzmon.

Setidak-tidaknya Atzmon telah menunjukkan kepada kita, bukan semua orang Yahudi bersetuju dengan Zionis walaupun bilangan mereka adalah sangat terpencil dan pastinya turut diancam, sama seperti penentang kuasa hegemoni itu yang lain.