MADS GILBERT menunjukkan gambar seorang kanak-kanak yang dibunuh kejam oleh tentera Israel sebagaimana terdapat dalam bukunya, Eyes In Gaza, di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 3 Okt. - “Kenapa tentera Israel membunuh kanak-kanak? Kenapa mereka bunuh semua rakan-rakan saya? Kini, saya sudah tiada rakan untuk membesar bersama.”
Persoalan tersebut ditanyakan oleh salah seorang mangsa serangan roket rejim Zionis di pantai Gaza yang mengorbankan empat daripada lapan kanak-kanak sedang bermain bola sepak pada tahun lalu kepada Pegawai Perubatan Hospital al-Shifa di Gaza, Dr. Mads Gilbert.
Tragedi yang menggemparkan dunia itu, kata Gilbert, berlaku berdekatan dengan Hospital al-Shifa dan pasukan perubatan hospital berkenaan terlibat secara langsung dalam usaha bantuan kecemasan perubatan.
“Kejadian kanak-kanak sedang bermain bola sepak di pantai yang dibunuh oleh dron atau bot tentera laut itu berlaku beberapa blok sahaja dari Hospital al-Shifa.
“Malangnya kita tidak dapat selamatkan semua nyawa mereka. Saya tanya orang sekitar kenapa mereka dibunuh, kata mereka, mungkin ada jeneral askar Zionis yang tidak suka lihat anak Palestin bermain bola,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata demikian dalam Program Bersama Dr. Mads Gilbert anjuran Viva Palestina Malaysia hari ini.
Gilbert ialah seorang warganegara Norway yang telah berbakti untuk masyarakat Palestin dan negara-negara sekitarnya sejak 1982.
Katanya, perkara paling menginsafkan beliau adalah melihat riak wajah setiap anggota keluarga mangsa yang diselubungi kesedihan akibat perbuatan kejam tentera Israel.
Daripada 551 kanak-kanak yang dibunuh dalam serangan Zionis ketika itu, kata beliau, terdapat 551 kisah sedih di belakangnya.
“Saya bekerja di Hospital al-Shifa sejak serangan pertama pada 2006. Saya rasa sayalah satu-satunya doktor dari Barat yang bekerja di hospital terbabit pada ketika itu.
“Saya ingin kata satu, saya bukan seorang wira. Saya hanya seorang doktor yang menjalankan tugas. Yang menjadi wira adalah kakitangan-kakitangan rakyat Palestin yang bekerja di hospital, terutama jururawat, pemandu ambulans dan petugas-petugas sukarelawan lain,” kata beliau.
Beliau berkata, ketika ini, mereka sedang bertungkus-lumus berbakti kepada 1.8 juta rakyat di Gaza meskipun dalam keadaan yang paling sukar akibat kekangan dari segi peralatan perubatan termasuk troli, cadar, jarum, cecair G intravenus drip (IV), ubat-ubatan dan jaminan keselamatan.
Bekerja di Hospital al-Shifa jelasnya, merupakan satu pengalaman yang bernilai kepada beliau dalam melihat kesungguhan, keberanian dan moral yang tinggi.
“Saya rasa tiada petugas perubatan di dunia yang menunjukkan moral yang tinggi seperti di al-Shifa dan Gaza secara umumnya. Akibat penaklukan Zionis, kakitangan-kakitangan perubatan di hospital-hospital awam di sana tidak dibayar gaji sejak tahun lalu serta menghentikan sebarang pembedahan kecemasan sejak Jun tahun lalu,” katanya.
Dalam kekangan tersebut, beliau memberitahu, berlaku pula serangan selepas itu yang menyebabkan lebih 11,000 cedera dan lebih 2,000 terbunuh.
Gilbert menambah, pesakit-pesakit berpusu-pusu tiba di Hospital al-Shifa dan pada malam serangan terburuk iaitu pada 21 Julai tahun lalu, sehingga hospital berkenaan dibanjiri lebih 400 pesakit.
“Keadaan yang pada awalnya sudah sesak telah ditambah dengan beratus-ratus lagi pesakit. Walau bagaimanapun, kakitangan hospital berjaya menguruskan semua itu dengan bantuan semua pihak di sana. Mereka adalah pakar dalam perjuangan kemanusiaan, mereka pakar dalam kesungguhan dan mereka pakar dalam tidak berputus asa,” ujarnya.
Beliau berpendapat, Gaza adalah sebuah cradle of humanity pada zaman kini yang menjadi pusat kepada semangat dan kesungguhan dalam memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan.
“Dalam keadaan paling ekstrem, mereka tidak akan berputus asa. Mereka berdiri teguh dengan apa mereka percaya. Semua kakitangan perubatan di dunia perlu belajar daripada mereka untuk tidak sama sekali menyerah kalah dan meninggalkan pesakit mereka,” tambahnya.
Gilbert seterusnya menyeru rakyat Malaysia untuk lebih mendekati inisiatif memboikot Israel serta memberi tekanan kepada kerajaan untuk menghentikan sebarang jenis perdagangan dengan Israel.
Beliau menjelaskan, satu-satunya bahasa yang akan didengari rejim Zionis adalah tekanan dunia.
“Kita lihat apa berlaku di Afrika Selatan kepada sistem Aparteid apabila bertahun-tahun penindasan, mereka terpaksa menyerah kalah kerana masyarakat dunia secara bersama telah memberi tekanan ekonomi dan boikot,” jelasnya.