Thursday, 6 November 2014

PBB didesak gesa Israel henti provokasi di Masjid Al-Aqsa

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Palestin dan Jordan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mendesak Israel menghentikan serta-merta segala provokasi dan perbuatan menghasut orang Islam di tempat suci di Baitulmaqdis.
Kedua-dua negara berpendapat sebarang provokasi secara berterusan boleh mencetuskan satu lagi krisis yang boleh mengancam keamanan di Asia Barat.
Amaran itu dikeluarkan berikutan tindakan puak ekstremis Israel menceroboh Masjid Al-Aqsa semalam dengan dilindungi lebih 300 askar rejim menyebabkan perbalahan dengan jemaah Palestin.
Seorang pejuang Hamas dilaporkan berang dengan pencerobohan itu, kemudiannya memandu sebuah van ke arah orang ramai yang menunggu kereta api sehingga menyebabkan seorang maut.
Beberapa jam kemudian, seorang pemandu Palestin dikatakan merempuh sekumpulan askar di Tebing Barat menyebabkan tiga orang mengalami kecederaan.
Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour menegaskan perbuatan Israel secara sengaja itu bertujuan memperlihatkan cengkaman berterusan mereka untuk menguasai kawasan berkenaan.
Dalam suratnya kepada Majlis Keselamatan, Mansour menegaskan jemaah di Masjid Al-Aqsa terkejut dengan letupan bom tangan dan tembakan peluru getah yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 30 orang cedera parah.
Katanya, ekstremis Israel itu menceroboh tempat suci termasuk memasuki salah satu masjid dan memanjat mimbar dengan memakai kasut iaitu perbuatan yang tidak menghormati orang Islam.
Dalam surat berasingan, Duta Jordan ke PBB, Dina Kawar berkata, pasukan khas Israel dan polis melarang jemaah Islam daripada memasuki masjid dan sebaliknya membenarkan golongan ekstremis agama dan politik ke dalam pekarangan masjid berkenaan.
Raja Abdullah II dari Jordan adalah penjaga tapak suci di Baitulmaqdis dan Kawar mendakwa tentera Israel mencabuli perjanjian damai 1994 antara kedua-dua negara dengan menahan kakitangan Jordan yang bertanggungjawab bagi mentadbir dan menjaga tapak berkenaan.
Jordan memanggil balik dutanya ke Israel, dan Kawar menggesa Majlis Keselamatan supaya meletakkan kesalahan ke atas Israel bagi serangan semalam. - AP

Amnesty dakwa Israel lakukan jenayah perang


Serangan rejim Zionis telah memusnahkan ribuan infrastruktur di Genting Gaza.
Serangan rejim Zionis telah memusnahkan ribuan infrastruktur di Genting Gaza.
LONDON - BRITAIN. Kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International, semalam mendakwa Israel melakukan jenayah perang kerana membunuh ratusan orang awam ketika Operasi Perlindungan Sempadan di Genting Gaza, 8 Julai lalu.

Laporan terbaharu Amnesty mendedahkan rejim Zionis sengaja menyasarkan penduduk atau objek awam ketika perang selama 50 hari tersebut.

Pengarah Program Asia Barat dan Afrika Utara (Mena), Philip Luther berkata, hasil siasatan terhadap lapan kes sepanjang konflik itu berlangsung menunjukkan tentera Israel membedil kawasan kediaman sewenang-wenangnya tanpa memberi sebarang amaran kepada penduduk Gaza.

"Kami menggesa Palestin dan Israel memberi kuasa kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk melakukan siasatan lanjut terhadap dakwaan tersebut," menurutnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Knesset dilaporkan telah meluluskan undang-undang baharu yang mengehadkan pembebasan tahanan Palestin.

Susulan daripada itu, Pengerusi Kelab Tahanan Palestin, Qadoura Fares bertindak menyelar keputusan tersebut kerana ia seakan melanggar syarat ditetapkan Palestin bagi meneruskan rundingan damai bersama Israel, laporan dipetik dari AFP.

Coca-Cola mahu bina kilang di Gaza


Gaza: Coca-Cola merancang membina kilang pertamanya di Gaza tahun depan dan sudah mendapatkan permit kelulusan daripada kerajaan Israel untuk membolehkan bahan serta bekalan diperlukan dibawa masuk ke wilayah itu.
Perkara itu didedahkan usahawan Palestin, Zahi Khouri yang juga pengasas dan pengerusi Syarikat Minuman Kebangsaan berpangkalan di Ramallah.
Syarikat itu diberi lesen mengilang minuman itu di Tebing Barat.
Kata Zahi, syarikatnya sudah memiliki kilang Coca-Cola di Ramallah, Jericho dan Tulkarem.
“Kami menghantar bekalan ke Gaza secara kerap dengan keizinan Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan kerajaan Israel.
“Pada saya lebih masuk akal jika kami membina kilang di Gaza supaya dapat menjual produk itu dengan kos yang jauh lebih rendah.
“Tindakan itu juga lebih mesra alam kerana kami mudah mengitar serta menggunakan semula botol digunakan,” katanya.
Menurutnya, proses membawa Coca-Cola ke Gaza akan dilakukan dalam dua fasa.
Fasa pertama dijangka mampu beroperasi pada 2015 dan memfokuskan minuman gas manakala yang kedua - dijadualkan untuk akhir 2016 atau awal 2017 - membabitkan minuman jus, air dan produk tidak bergas lain.
Katanya, setiap fasa memerlukan pelaburan AS$10 juta (RM34 juta) selain dijangka mampu mewujudkan sehingga 200 peluang pekerjaan di kawasan itu.
Katanya, kilang itu terletak di kawasan industri lintasan Karni di sebelah Gaza yang ditutup atas sebab keselamatan pada 2011. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:01 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6796#sthash.hFp4emzL.dpuf

60% rakyat muak dengan Netanyahu


Baitulmaqdis: Tinjauan pendapat umum di Israel menunjukkan populariti Perdana Menteri Benjamin Netanyahu merudum malah lebih 60 peratus penduduknya sudah muak dan tidak mahukan dia sebagai pemimpin pada penggal seterusnya.

Kolumnis Al-Monitor, Ben Caspit dalam artikelnya berkata, perkara itu jelas dilihat melalui dua tinjauan disiarkan dua rangkaian televisyen di Israel.

Katanya, dua pertiga daripada pengundi sudah muak dengan pemimpin Zionis itu.

“Pandangan ini mungkin tidak kekal atau cuma satu fasa kecil namun hakikatnya jelas. Sokongan terhadap Netanyahu semakin berkurangan,” katanya.

Menurutnya, responden disoal mengenai kesesuaian pelbagai calon untuk jawatan perdana menteri.

Selama ini, Netanyahu mendahului senarai calon malah jauh menjangkaui saingannya.

Namun, katanya, tinjauan terbaru disiarkan rangkaian televisyen Knesset dalam rancangan ‘Panels’ pada 29 Oktober lalu menunjukkan hanya 27 peratus menganggap Netanyahu calon terbaik berbanding 45-50 peratus sebelum ini.

Malah, selepas kempen perang Protective Edge Julai lalu, sokongan terhadap Netanyahu merudum dalam hanya beberapa minggu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:01 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/6799#sthash.u8gA2cpp.dpuf

Malaysia gesa PBB tingkat program bantu rakyat Palestin, Golan Syria


KUALA LUMPUR 5 Nov. - Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) meningkatkan program bantuannya bagi meringankan penderitaan rakyat Palestin dan penduduk Golan Syria yang diduduki melalui penyediaan sumber secukupnya dan pelaksanaan kegiatan operasi berkesan.
Wakil tetap Malaysia di PBB, Datuk Hussein Haniff berkata, ketika rakyat Palestin bertungkus lumus berusaha untuk memenuhi keperluan bekalan air harian mereka, peneroka Israel di Tebing Barat yang diduduki menikmati bekalan air enam kali lebih banyak daripada rakyat Palestin.
"Kami prihatin tentang nasib penduduk Syria di Golan Syria yang diduduki, yang terus menderita akibat penindasan dari segi akses kepada tanah, perumahan, perkhidmatan asas dan peruntukan air," katanya.
Hussein bercakap tentang Agenda Perkara 19: Kedaulatan Berkekalan Rakyat Palestin di Wilayah Palestin yang Diduduki, Termasuk Baitulmaqdis Timur dan Penduduk Arab di Golan Syria yang Diduduki Berhubung Sumber Asli Mereka pada Sidang Ke-69 Perhimpunan Agung PBB di New York semalam.
Kenyataan beliau dihantar kepada Bernama di sini hari ini.
Hussein berkata, Malaysia juga memandang dengan penuh kebimbangan kadar kemiskinan di Tebing Barat, Gaza, terutama di Baitulmaqdis Timur, yang begitu menyedihkan dan pengangguran yang terus mencatat paras terlalu tinggi, khususnya dalam kalangan mereka yang tinggal di Gaza.
"Kadar tinggi pengangguran dan keadaan kerja tidak stabil yang berlarutan sejak sekian lama sudah pasti akan mengakibatkan pekerja hilang kemahiran serta menimbulkan masalah sosial dan ekonomi lain," katanya.
Hussein berkata Malaysia juga mengalu-alukan keputusan Palestin menerima pelbagai konvensyen dan perjanjian antarabangsa awal tahun ini ke arah menjadikan Palestin anggota komuniti antarabangsa yang bertanggungjawab. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/malaysia-gesa-pbb-tingkat-program-bantu-rakyat-palestin-golan-syria-1.21097#sthash.KaTh5M1e.dpuf

Palestin akan kemuka resolusi kepada Majlis Keselamatan


NEW YORK 5 Nov. – Palestin akan menghantar draf resolusi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bulan ini, bagi menamatkan pendudukan Israel ke atas negara tersebut.
Resolusi berkenaan yang telah dibincangkan oleh pemimpin Palestin sejak beberapa minggu lalu, dijangka ditolak oleh Amerika Syarikat (AS) yang merupakan anggota kerusi tetap UNSC menggunakan kuasa Veto.
Bagaimanapun, pegawai kerajaan Palestin di Ramallah berkata, perkara tersebut sama sekali tidak akan melemahkan mereka, selepas perbincangan demi perbincangan yang dijalankan bersama Israel menemui kegagalan.
“AS tidak menawarkan sebarang cadangan untuk menyelesaikan masalah ini.
“Pentadbiran AS mendesak supaya diadakan perbincangan dua hala, walaupun dengan jelas cara tersebut gagal membuahkan sebarang hasil sejak beberapa tahun lalu.” kata pegawai Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Wassel Abu Yusef.
Wakil tetap Australia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang juga merupakan pengerusi UNSC, Gary Quinlan berkata, pihaknya masih tidak dapat memastikan draf resolusi yang akan disampaikan oleh Jordan bagi mewakili rakyat Palestin itu akan diundi pada bulan ini atau tidak.
“Ketika ini tiada petunjuk bila resolusi itu akan dibawa ke Majlis Keselamatan atau bila perbincangan peringkat seterusnya akan dijalankan,” jelasnya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/palestin-akan-kemuka-resolusi-kepada-majlis-keselamatan-1.21233#sthash.aa7JT4Vq.dpuf

20,000 penjawat awam lancar mogok di Gaza

06 November 2014 1:31 AM
 GENTING GAZA 5 Nov. - Kira-kira 20,000 penjawat awam melancarkan mogok di sini semalam, bagi membantah keengganan kerajaan perpaduan Palestin melunaskan gaji anggota tentera dan pasukan keselamatan daripada pergerakan Hamas.
Wakil AFP berkata, ekoran mogok itu, kesemua kementerian dan institusi yang dikuasai Hamas di Gaza ditutup, kecuali sekolah,
Pergerakan Hamas telah melantik lebih 40,000 orang sebagai kakitangan awam selepas mereka berjaya menawan Gaza pada 2007, setelah berlakunya pertempuran berdarah dengan pergerakan Fatah.
Namun, selepas mencapai kata sepakat dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas kedua-dua pihak bersetuju membentuk kerajaan perpaduan pada Jun lalu, dan pergerakan Hamas bersetuju melepaskan tanggungjawab pentadbiran tersebut kepada kerajaan.
Kerajaan perpaduan Palestin yang berpangkalan di Tebing Barat kemudian hanya bersetuju melunaskan gaji kira-kira 24,000 kakitangan awam yang dilantik pergerakan Hamas, hari ini tetpi enggan membayar gaji kepada kira-kira 16,000 kakitangan yang berkhidmat dalam perkhidmatan ketenteraan dan keselamatan.
Dalam perkembangan berlainan, Amnesty International melaporkan, Israel langsung `tidak mengendahkan’ nyawa penduduk awam penduduk Palestin ketika melancarkan serangan selama 50 hari ke atas Genting Gaza, baru-baru ini.
Kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di Britain itu turut menyenaraikan lapan contoh serangan yang dilancarkan oleh Israel di Gaza tanpa sebarang amaran, sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya 104 penduduk awam terkorban termasuk 62 orang kanak-kanak.
“Laporan itu mendedahkan corak serangan yang sering digunakan oleh Israel adalah serangan udara berskala besar yang mensasarkan rumah penduduk awam,” jelas Amnesty International. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/20-000-penjawat-awam-lancar-mogok-di-gaza-1.21243#sthash.RToZvHCp.dpuf