Benjamin Netanyahu
Benjamin Netanyahu
BAITULMAQDIS - PALESTIN. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa ada rancangan daripada masyarakat antarabangsa untuk memastikan beliau tewas dalam pilihan raya kebangsaan minggu depan.

"Saya dapat rasakan ada usaha global untuk menjatuhkan saya. Ada pihak mahu menggulingkan pemerintahan parti Likud," katanya dalam temu bual bersama Radio Tentera, semalam.

Netanyahu membuat kenyataan itu dalam usahanya meraih semula sokongan pengundi, bagi memastikan beliau terus berkuasa untuk tempoh empat penggal lagi.

Menjelang pilihan raya 17 Mac ini, Netanyahu ditentang hebat pesaingnya, Isaac Herzog daripada Kesatuan Zionis yang berkempen untuk menyambung semula rundingan damai.

Ahad lalu, beribu-ribu penduduk Israel mengadakan demonstrasi di Tel Aviv, bagi mendesak Netanyahu berundur daripada jawatannya.

Media Israel melaporkan kira-kira 30,000 orang menyertai demonstrasi itu, yang diadakan di bawah tema 'Israel mahukan perubahan'.

Bekas ketua agensi risikan Israel, Mossad, Meir Dagan ketika berucap pada demonstrasi itu berkata, Netanyahu merupakan orang yang menimbulkan kerosakan strategik terbesar kepada Israel. - Reuters