Friday, 8 August 2014

Israel terima empat syarat tolak tiga yang lain


8 Ogos 2014


KAHERAH  -  MESIR. Sumber diplomatik memberitahu, Israel menerima empat permintaan Hamas manakala menolak tiga permintaan yang lain sebagai tuntutan gencatan senjata Gaza.

Al-Mayadeen TV melaporkan, Tel Aviv menolak permintaan Palestin untuk pembukaan semula Lapangan Terbang Gaza, menubuhkan pelabuhan dan menjamin kewujudan hubungan antara Tebing Barat dan wilayah kecil di bandar Gaza.

“Tel Aviv pula menerima usul mengakhiri serangan ke atas Gaza, membuka semula sekatan, memberikan hak menangkap ikan sehingga 12 batu nautika di luar pantai Gaza dan membebaskan tahanan Palestin,” menurut laporan itu.

Mesyuarat yang beberapa kali gagal sebelum ini, akhirnya dapat dilakukan selepas kedua-dua kumpulan itu duduk semeja di rundingan khas anjuran Mesir.

Hadir pada rundingan itu ialah wakil Pertubuhan Pembebasan Palestin; Azzam Al-Ahmed, Ezzat Al-Rashq, Mohamed Nasr , wakil Hamas; Abou Mousa Marzouk,Kumpulan Jihad Islam; Ziyad Nakhala,Barisan Demokratik; Quis Abdel-Kareem, Parti Barisan Popular Maher Al-Taher dan wakil dari Pati Rakyat; Bassam Al-Salehi serta Ketua perisikan Palestin; Maged Farag.

Memetik laporan AL Arabiya, Israel pula menghantar satu delegasi dengan kebanyakan adalah wakil jeneral tentera.

Obama tidak simpati kepada Hamas


  • Barack ObamaBarack Obama

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama secara terang-terangan menyatakan pendirian bahawa beliau tidak sedikit pun bersimpati dengan Hamas.

Pendirian itu disuarakan selepas Sidang Kemuncak Pemimpin AS-Afrika di sini.

Obama berkata, beliau hanya bersimpati dengan penduduk Gaza dan kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab Hamas kerana mencabuli gencatan senjata 72 jam yang pernah disuarakan AS Jumaat lalu.

“Hamas bertindak luar biasa. Mereka memberi risiko tinggi terhadap orang awam terutama apabila menempatkan pelancar roket di kawasan awam semasa konflik.

“Tiada mana-mana negara akan bertolak ansur jika roket dilancarkan ke negara mereka. Oleh sebab itu, saya secara konsisten mempertahankan hak Israel untuk mempertahankan diri,” katanya menurut laporan AP.

Ditanya sama ada beliau bersetuju dengan penilaian Perdana Menteri Israel, Benyamin Netanyahu, bahawa Operasi Perlindungan Sempadan ini wajar dilakukan, Obama menjawab; Ia hanya menyusahkan orang awam di Gaza.

Beliau juga menggesa masyarakat antarabangsa membantu dalam pembinaan semula Gaza selepas mereka dikepung dan terasing dari dunia luar.

Israel gagal capai matlamat ketenteraan


  • Sebahagian daripada hospital ranap teruk akibat bedilan Israel. - Foto AFPSebahagian daripada hospital ranap teruk akibat bedilan Israel. - Foto AFP

SEPANJANG tempoh serangan di Gaza, sejak 8 Julai lalu, Israel dikatakan tidak mencapai sebarang matlamat ketenteraan.
    
Mereka sebaliknya hanya mewujudkan sentimen kebencian di kalangan penduduk dunia terhadap negara sendiri selepas ribuan penduduk awam di Gaza terbunuh.

Seorang pengulas politik AS, Eugene Michael Jones berpendapat, Israel gagal dalam Operasi Persempadanan Semula yang pada awalnya dijadikan agenda utama.

“Mereka tidak mencapai matlamat, sebaliknya dikecam, dihina dan berhadapan dengan risiko sekatan ekonomi daripada negara luar,” katanya dalam wawancara semalam.

Jones berkata, rejim Tel Aviv hanya menggambarkan diri mereka sebagai individu paling kejam dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai kerana membunuh ratusan penduduk awam termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak bersenjata selepas mengepung Genting Gaza.

“Ini adalah penghinaan terhadap mereka. Apa lagi yang ingin mereka lakukan lagi selepas gencatan senjata ini tamat. Kembali membunuh lebih ramai wanita dan kanak-kanak?” katanya.

Menurutnya, pertubuhan badan dunia, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut menjejaskan reputasi mereka sendiri kerana hanya membisu dalam menghadapi kekejaman Israel terhadap penduduk Gaza.

“ Apa yang dipertaruhkan di sini adalah kredibiliti organisasi di seluruh dunia seperti PBB dan ICC. Reputasi mereka jelas tercalar selepas gagal menghentikan serangan dan mengheret pesalah ke pengadilan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tetap mempertahankan Tel Aviv dengan menyatakan serangan itu wajar dilakukan .

 Pada sidang akhbar di Timur al-Quds, beliau menyatakan pendirian itu walaupun kehilangan ramai penduduk awam, askar dan berhadapan dengan kemusnahan teruk.

“Saya rasa ia adalah wajar dan seimbang,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Amerika Syarikat kerana menyokong rejim kerana menyalurkan dana tambahan AS$225 juta RM722 juta sepanjang konflik ini untuk pembelian sistem peluru berpandu, Iron Dome.

Aplikasi boikot diperkenal


  • Aplikasi Buycott   Aplikasi Buycott

LONDON - UNITED KINGDOM. Satu aplikasi memboikot produk Israel  terus mendapat sambutan luar biasa di seluruh dunia.

Aplikasi Buycott di bawah kumpulan Long Live Palestine itu kini mempunyai lebih sejuta pengguna berdaftar.

Laman web Buycott berkata, kumpulan itu ditubuhkan April lalu oleh seorang remaja Britain.

"Jumlah pengguna berdaftar dijangka meningkat 30 peratus dalam tempoh 12 jam menjelang hari ini," katanya dipetik RT

Menurutnya, terdapat 49 syarikat disenaraikan untuk diboikot kerana mempunyai kaitan dengan Israel.

Tempoh gencatan 72 jam berakhir


2014/08/08 - 04:36:39
Foto
Seorang budak lelaki berdiri berhampiran kubah masjid yang runtuh akibat serangan Israel di bandar Khuzaa kelmarin.

Foto
Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour berucap pada mesyuarat tidak rasmi PBB mengenai keadaan di Gaza di ibu pejabat PBB, kelmarin.
Usaha kritikal lanjutkan gencatan, Israel akan bedil semula jika diserang

Gaza: Penganjur berusaha keras semalam untuk melanjutkan gencatan senjata antara Israel dan Palestin ketika perjanjian tiga hari memasuki 24 jam terakhir.


Israel berkata ia sedia bersetuju dengan lanjutan itu ketika Mesir selaku penganjur meneruskan rundingan dengan wakil kedua-dua pihak untuk menamatkan perang yang memusnahkan Gaza, manakala Palestin mahu sekatan yang dilakukan Israel dan Mesir ditarik dan banduan yang ditahan Israel dibebaskan.

Aman Palestin rayu masyarakat antarabangsa hulur bantuan


2014/08/08 - 05:27:51
Kuala Lumpur: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Aman Palestin Gaza merayu masyarakat antarabangsa menghulurkan apa juga bentuk bantuan bagi memastikan pembangunan kemanusiaan di wilayah tertindas itu dapat dilaksanakan segera.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Omar Seyam, berkata bantuan segera amat diperlukan kerana penduduk tidak berdosa semakin terjejas hingga sukar mendapatkan rawatan perubatan dan kesihatan serta bekalan makanan asas.


Beliau berkata, penderitaan penduduk Gaza ditambah dengan sikap negara jiran yang tidak mengendahkan isu Palestin, termasuk menghalang misi bantuan NGO masuk ke wilayah terbabit.

“Antara bantuan diperlukan ialah misi perubatan untuk merawat mereka yang cedera, membina semula rumah, bangunan awam yang rosak atau musnah selain kemudahan asas seperti loji air dan jalan raya.

“Bantuan lain ialah menyediakan pasukan bantuan dan pertahanan awam yang lengkap dan bersesuaian dengan situasi di Palestin serta membantu ekonomi golongan sasaran seperti petani, nelayan dan peniaga kecil membina semula kerjaya mereka.

Program psikologi

“Turut dialu-alukan ialah program psikologi untuk kanak-kanak, iaitu mangsa paling teruk kesan serangan tentera Zionis,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook pertubuhan itu, semalam.
Sejak hari pertama serangan agresif Zionis di Gaza mulai 7 Julai lalu, Omar berkata, pihaknya yang bernaung di bawah Aman Palestin Malaysia, sentiasa berusaha menyalurkan bantuan kemanusiaan yang disumbang pelbagai pihak khususnya dari negara ini.

Bantuan bernilai RM3 juta yang disalurkan Aman Palestin setakat ini merangkumi bantuan ubat-ubatan, selimut, peralatan perubatan termasuk kelengkapan unit rawatan rapi (ICU), makanan dan pakaian kepada mereka yeng memerlukan termasuk mangsa yang miskin dan tercedera.

Saluran penyampai berita sahih

 “Sepanjang keganasan Zionis, kami juga menjadi saluran menyampaikan beri-ta sahih mengenai kekejaman tentera Israel kepada masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia menerusi operasi Unit Media Aman Palestin Malaysia di Gaza,” katanya.

Sementara itu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan kerjasama Aman Palestin, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dan NGO Islam akan melancarkan kempen ‘Bulan Kemarahan Ummah’ selama sebulan mulai Ahad ini di Taman Tasik Titiwangsa, sebagai tanda solidariti umat Islam Malaysia kepada penduduk Gaza.

Bertegas isu Palestin


Oleh Fuad Hadinata Yaacob
Putrajaya: Malaysia mahu masyarakat antarabangsa memainkan peranan lebih berani bagi melindungi dan mempertahankan hak rakyat Palestin serta menamatkan pertumpahan darah di Gaza.

Malaysia juga menggesa Israel menghentikan kekejamannya ke atas rakyat Palestin di Gaza dan meminta Amerika Syarikat (AS) memainkan peranan lebih penting dalam memastikan kestabilan dan keamanan yang berterusan di Gaza.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian itu kepada Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Senat Amerika Syarikat, Ahli Republikan Tennessee Senator Bob Corker ketika menerima kunjungan Corker di pejabatnya di sini semalam.

Dalam pertemuan itu, Muhyiddin menyatakan pendirian dan komitmen Malaysia yang berterusan dan tidak pernah berubah mengenai isu Palestin.

“Kerajaan dan rakyat negara ini menentang dan mengutuk serangan serta segala bentuk kezaliman, penindasan, diskriminasi yang dilakukan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

“Pendirian Malaysia memberisokongan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan rakyat Palestin tidak pernah luntur,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Muhyiddin berkata, Malaysia turut menuntut supaya Israel segera menghentikan pembunuhan kejam beramai-ramai dan perbuatan tidak berperikemanusiaan ke atas penduduk awam yang tidak bersenjata di Gaza.

Dalam pertemuan itu, Muhyiddin turut menyentuh pelbagai isu terutama kehilangan pesawat MH370 dan MH17 selain Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Dugaan untuk insan terpilih


Ada yang termanggu kebingungan melihat rumah mereka menyembah bumi. Ada juga yang sibuk mencari saki-baki pakaian dan barangan yang masih boleh dipakai, manakala di satu sudut lain hati saya sebak melihat seorang ibu memeluk erat cebisan baju anak yang gugur syahid.
Itu suasana yang saya lihat selepas dua hari tempoh gencatan senjata selama 72 jam dilaksanakan di Gaza sebelum tempoh berkenaan tamat awal pagi esok. 
Jiwa saya juga tersentuh tatkala melihat seorang lelaki cuba mengalihkan batu-bata besar di tapak rumahnya yang ranap sama sekali untuk mencari sesuatu yang mungkin masih boleh digunakan. 

Seorang bapa yang saya temui, Ali Mohamed, 51, memberitahu keseluruhan rumahnya ‘rata’ akibat dibedil tentera rejim Zionis pada hujung bulan lalu.
Foto
PENDUDUK Gaza termenung menyaksikan keruntuhan dan kemusnahan kediaman mereka di bandar Shejaia.

Namun, dalam wajah tenang, Ali mendekati saya dan berbisik biar rumahnya hilang, biar tiada tempat perlindungan, namun yang penting dua anaknya berusian 20-an masih selamat.

“Rumah boleh dibina semula, ada rezeki saya akan membina semula rumah ini untuk teduhan kami sekeluarga. Jika kehilangan anak-anak, ia tiada gantinya. Biarpun anak-anak saya terselamat, saya merasa keperitan jiran dan rakan yang kehilangan orang tersayang. 

“Mereka kehilangan ibu, bapa, suami, anak-anak dan saudara-mara. Saya merasa apa yang mereka rasa. Saya juga pernah kehilangan orang tersayang tidak lama dulu,” katanya kepada saya sambil duduk melihat runtuhan rumahnya. 

Ali yang saya kenali sangat tenang menghadapi dugaan Tuhan, dia juga ada membisikkan kepada saya apa pun yang terjadi, Allah sentiasa bersama orang yang sabar. 


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Tiada jaminan gencatan baru


Seorang pemimpin kanan pejuang Hamas berkata, tiada gencatan senjata baru akan dilaksana di wilayah Palestin itu yang dijadual berakhir hari ini, selagi Israel enggan memenuhi sebahagian daripada tuntutan mereka.

Ismael Radwan berkata, gencatan senjata 72 jam yang dicapai sebelum ini tidak diperbaharui.

“Malah ia tidak boleh diperbaharui tanpa sesuatu pencapaian sebenar.

“Ketika kita bercakap tiada sebarang reaksi diterima mengenai tuntutan Hamas,” katanya.



Gencatan senjata 72 jam itu diusahakan Mesir berkuatkuasa Selasa lalu dan membawa kelegaan kepada penduduk Gaza selepas wilayah itu dihujani bom selama empat minggu.

Media Israel melaporkan negara itu menawarkan lanjutan gencatan senjata tanpa syarat selama 72 jam lagi.

Sementara itu, wartawan al-Jazeera Nicole Johnston melaporkan, media Mesir juga mendakwa gencatan senjata sedia ada boleh dipanjangkan tetapi tidak banyak butiran dapat diketahui.

“Ia bukti betapa sukarnya kedua-dua pihak mencapai persetujuan,” katanya.


Israel menuntut Gaza dibebaskan daripada sebarang pasukan bersenjata, tetapi Hamas yang mentadbir wilayah itu dengan penuh kesukaran sebelum ini menuntut sekatan ke atas mereka ditamatkan.

Hamas juga menuntut warga Palestin yang ditahan Israel dibebaskan.


Kelmarin Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mempertahankan tindakan negaranya menyerang Gaza dan menyalahkan Hamas atas kematian lebih 1,800 orang dalam konflik terbaru kini.

“Setiap kematian orang awam adalah tragedi, tetapi ia adalah tragedi buatan Hamas,” katanya.

Sekurang-kurangnya 1,875 penduduk Palestin - kebanyakannya orang awam dan kanak-kanak - maut dalam serangan ganas Israel sejak 8 Julai lalu.

Antara sasaran tentera rejim Zionis sepanjang perang mereka ialah sekolah kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menempatkan pelarian perang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Mitchell: Sekat senjata Israel


London: Bekas Setiausaha Pembangunan Antarabangsa Britain, Andrew Mitchell berkata, sekatan senjata perlu dikenakan terhadap Israel.

Kata Mitchell, ada keperluan kukuh untuk mengenakan sekatan senjata terhadap rejim Zionis Israel berdasarkan apa yang mereka lakukan terhadap Gaza.

“Saya yakin penggunaan senjata dalam konflik kini boleh diminimumkan sebanyak mungkin,” katanya dalam temu bual dengan stesen Radio 4 BBC semalam.



Ahli Parlimen Sutton Coldfield mewakili Parti Konservatif itu berkata adalah bekas pegawai kerajaan Britain paling kanan menyuarakan pandangan tegas terhadap Israel setakat ini.

Kenyataan Mitchell dibuat dua hari selepas seorang menteri Sayeeda Warsi, meletak jawatan kerana membantah dasar kerajaan dalam isu Gaza.


Namun Mitchell berkata dia tidak bersetuju dengan tindakan Sayeeda melepaskan jawatannya daripada kerajaan.


“Bantahannya perlu didengar kerajaan namun adalah lebih baik dia berjuang dari dalam,” katanya.

Mitchell berkata, kemusnahan di Gaza akibat perang sejak 8 Julai lalu akan meracuni saki-baki harapan yang ada di situ selama beberapa generasi.

“Sekolah PBB di Gaza sama sekali tidak wajar diserang tentera Israel kerana ia dijadikan tempat perlindungan orang awam,” katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Zionis rompak RM10 juta


Ramallah: Ketika rejim Zionis melakukan kempen tangkapan besar-besaran di Tebing Barat, kononnya untuk mencari pembunuh tiga remaja Israel, tentera dan polis Israel sekurang-kurangnya membuat 18 serbuan sehari ke dalam rumah rakyat Palestin, badan amal dan pusat perniagaan.
Menurut laporan Pemerhati Hak Asasi Manusia Euro-Mid, tentera dan polis Israel mencuri wang tunai dan harta rakyat Palestin bernilai kira-kira RM10 juta keseluruhannya.
“Jika tentera Israel telah benar-benar mencari remaja yang hilang, mengapakah banyak harta peribadi dirampas mereka?

"Penduduk di Tebing Barat terdiri daripada golongan yang susah dan miskin, jumlah harta dan wang tunai yang dicuri bertujuan untuk melumpuhkan kemampuan setiap individu," Kata Pegawai Perundangan Euro-Mid, Ihsan Adel.
Foto
FOTO Reuters

Berdasarkan siasatan yang dibuat oleh Euro-Mid, sebanyak RM950,000 wang tunai dicuri tentera dan polis Israel sepanjang pemeriksaan dibuat.

Pemeriksaan sebanyak 387 kali itu juga melibatkan kecurian kereta, komputer, telefon bimbit, barang kemas serta menyita harta benda dari kawasan perumahan, klinik, agensi media dan pusat penukaran matawang asing dianggarkan bernilai RM8.6 juta.

Tindakan rejim Zionis mencuri wang dan harta kepunyaan orang awam Palestin dan pertubuhan sivik adalah melanggar artikel 27 dan 33 Konvensyen Geneva Keempat, yang mana melarang penjarahan dan tindakan balas terhadap orang awam dan barangan milik mereka.

Badan antarabangsa digesa membuat siasatan menuntut kerajaan Israel dan meminta rakyat Palestin memfailkan tuntutan balik barang-barang mereka atau pembayaran balik yang mencukupi dengan segera. - Sumber Euro-Mid
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Belum ada khabar gembira


Kuala Lumpur: "Hanya jasad kami di sini (Malaysia), jiwa kami berada di Palestin," kata siswa warga Palestin, Muntheer Abu Rabee, 25, mengenai keadaan beratus penuntut dan rakyat negara itu di Malaysia khususnya yang berasal dari Gaza.
Katanya, kebanyakan mereka bimbangkan nasib keluarga selepas hampir sebulan Gaza diserang rejim Zionis dan cuba untuk mencari jalan untuk pulang ke nagara itu.
Mahasiswa Sarjana Ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu tidak dapat menghubungi ibu bapa atau adik beradiknya sejak dua minggu lalu dan saban hari menangis memikirkan keadaan mereka di Beit Lahiya, utara Gaza.

"Saya sempat menelefon abang dua minggu lalu dan dia maklumkan semua ahli keluarga terpaksa berpindah ke sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Itu maklumat terakhir yang saya peroleh," katanya sambil menitiskan air mata.
Foto

Muntheer bertambah risau apabila mendapat tahu menerusi laporan media bahawa sekolah PBB turut diserang tentera rejim menyebabkan puluhan rakyat Palestin terkorban.

Menurutnya, ketiadaan elektrik dan liputan Internet menyebabkan mereka terputus hubungan dan berharap ahli keluarganya sempat menyelamatkan diri daripada serangan tentera Israel.

Bekas pengusaha ladang strawberi yang berasal dari Al-Shaima, Beit Lahiya itu, berkata abangnya juga ada menghantar gambar rumah dan ladang mereka yang musnah seperti dilanda gempa bumi.

"Ini adalah serangan yang lebih dahsyat berbanding 2009 dan 2012 kerana membabitkan kerosakan lebih teruk dan jumlah korban yang ramai terutama dalam kalangan kanak-kanak," katanya.

Menurutnya, Malaysia adalah antara negara yang paling kuat menyokong perjuangan rakyat Gaza dan berterima kasih atas bantuan dan doa rakyat negara ini.

"Saya amat bersyukur melihat keakraban Malaysia dan Palestin. Sokongan yang diberikan oleh agensi kerajaan dan bukan kerajaan di negara ini memberi semangat kepada kami untuk terus menentang kekejaman Zionis," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Selebriti lawan Israel


Meskipun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk peminat mereka sendiri, kebanyakannya berpegang teguh prinsip mereka mengutuk serangan kejam rejim Zionis.
Pasangan suami isteri selebriti Penelope Cruz dan Javier Bardem, menandatangani surat terbuka bersama beberapa selebriti dari Sepanyol termasuk pengarah, penulis, dan pemuzik mengecam Operasi ‘Protective Edge’ oleh Israel di Gaza sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’.

Vokalis Pink FloydGeorge Roger Waters, sangat lantang menyokong gerakan Boikot, Henti Pelaburan dan Sekat (Boycott, Divestment and Sanctions - BDS).
Foto
ANTARA barisan selebriti yang menyokong Palestin. FOTO Reuters

Selain enggan membuat persembahan di Israel, Waters juga menyeru pemuzik lain membatalkan konsert yang dirancang di sana,

Dalam konsertnya pada 2013, Waters memaparkan babi dalam bentuk belon gergasi dengan terpampang logo Star of David dan menyebabkannya dituduh sebagai anti-Semitisme.

Di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas di Gaza, pelawak British, Russell Brand memuat naik video di YouTube mengkritik laporan Fox News, Sean Hannity, ketika temu bual bersama lelaki bangsa Palestin warga Amerika Yousef Munayyer. 

Dalam video itu, Brand berkata, cara Hannity bertanyakan soalan kepada Yousef sudah cukup agresif dan provokatif.

“Palestin sudah tidak ada lagi dan yang tinggal hanyalah Gaza.

“Bagaimana pula sebuah negara yang tiada kelengkapan peperangan diserang oleh negara yang lengkap bantuan senjata? Ini tidak adil,” katanya dalam video itu.

Penyanyi Zayn Malik dari kumpulan One Direction pula menggunakan hashtag #FreePalestine di akaun Twitternya sebagai tanda sokongannya terhadap raykat Palestin yang ditindas.

Malik bertindak menyimpan tweet tersebut dan meraih retweet lebih 300,000 kali.

Tidak seperti penyanyi dan pelakon Rihanna, dia juga menggunakan hashtag yang sama, namun segera dipadamkan kerana tidak tahan dengan kecaman dan kritikan dari penyokong Zionis.

Pelakon Danny Glover yang memegang watak Presiden Amerika Syarikat menerusi filem ‘2012’ turut menyokong gerakan BDS. 

Pada 2009, dia yang juga merupakan aktivis politik menandatangani pengisytiharan mengutuk Israel sebagai ‘rejim apartheid’ dan menolak hasil kerja pembikin filem dari Tel Aviv yang dipaparkan dalam Toronto Festival Filem Antarabangsa sebagai ‘propaganda Israel’.

"Kita berdiri dalam perpaduan bersama rakyat Palestin dan menyokong panggilan mereka untuk boikot budaya dan akademik dari Israel," tegas Glover kepada penandatangan yang lain.

Bintang filem Nanny McPhee, Emma Thompson, turut menyeru pelakon lain bagi memboikot persembahan Teater Habima Israel di Teater Globe di London.

Dalam surat yang disiarkan The Guardian, Thompson bersama penandatangan yang lain mengutuk Habima kerana rekod Israel yang memalukan atas penglibatan penempatan haram di wilayah yang diduduki Palestin.

Selebriti Hollywood berbangsa Yahudi, Dustin Hoffman pula membatalkan kunjungannya ke Festival Filem Jerusalem berikutan serbuan IDF terhadap flotila ketika berlayar cuba masuk ke Gaza pada 2010.

Hoffman turut menghadiri Majlis Hal Ehwal Muslim (MPAC) Anugerah Media Tahunan ke-22 bagi menyampaikan anugerah kepada filem anti-Israel.

Penyanyi lagenda Stevie Wonder turut menunjukkan sokongan apabila menarik diri daripada membuat persembahan di sebuah majlis Sahabat Israel Defense Forces (FIDF) di Los Angeles pada 2012.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menasihati saya supaya menarik diri dari majlis tersebut,” katanya.

Sebelum Wonder membatalkan persembahannya, terdapat beberapa aktivis BDS memasukkan petisyen di laman change.org bagi mendesak penyanyi itu untuk menarik diri daripada membuat persembahan di FIDF. 

Petisyen yang dimasukkan itu mendapat sambutan lebih 4,600 tandatangan.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/07

Misi kemanusiaan anjuran Mesir ke Gaza bermula


KAHERAH 7 Ogos - Usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui sempadan Rafah telah dimulakan sejak gencatan senjata selama 72 antara pergerakan Hamas dan Israel dikuatkuasakan, kelmarin, lapor Kementerian Hal Ehwal Luar Mesir.
Portal berita tempatan, Daily News Egypt yang memetik kenyataan jurucakap kementerian terbabit, Badr Abdelatty berkata, bantuan itu diuruskan oleh kerajaan Mesir sendiri melibatkan penghantaran kira-kira 1,200 tan bekalan ubat-ubatan dan makanan.
Badr berkata, sejak sempadan Rafah dibuka, seramai 3,500 orang dari Gaza memasuki Mesir dan 2,000 lagi dari arah sebaliknya.
"Kerajaan Mesir turut mengalu-alukan bantuan da­ripada mana-mana negara untuk disalurkan ke Gaza melalui Rafah," katanya.
Dalam pada itu, Turki dilapor meminta kebenaran Israel dan Mesir untuk menggunakan ruang udara mereka bagi menjalankan misi kemanusiaan di Gaza.
Menteri Luar Turki, Ahmet Adem Altan berkata, Ankara juga bersedia membawa keluar penduduk Gaza yang cedera akibat serangan Israel.
Jelasnya, Turki sudah menghantar sejumlah besar bantuan perubatan ke Gaza termasuk bekalan antibiotik, peralatan pembedahan dan ubatan lain.
Emiriyah Arab Bersatu (UAE) turut menghantar bantuan makanan, selimut, dapur, ubat-ubatan ke Gaza melalui 17 penerbangan dari Dubai menggunakan pesawat Boeing 747 dan C130.Ke­semua bantuan itu dibawa ke Jordan sebelum dihantar ke Gaza menggunakan trak.
Negara-negara Eropah juga menunjukkan kepri­hatinan terhadap pen­deritaan Gaza apabila Itali menghantar khemah, selimut, generator kuasa dan bekalan air bersih.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140808/lu_06/Misi-kemanusiaan-anjuran-Mesir-ke-Gaza-bermula#ixzz39kJ10vOg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Aplikasi khas boikot produk Israel dapat sambutan


CALIFORNIA 7 Ogos - Kempen memulaukan produk keluaran Israel di seluruh dunia menjadi lebih mudah apabila seorang pakar program komputer dari Amerika Syarikat (AS) tampil dengan ciptaan aplikasi khas telefon pintar untuk mengenal pasti syarikat pengeluar produk.
Ivan Pardo, 26, berasal dari California, menghasilkan aplikasi Buycott untuk telefon pintar versi Android dan iOS kira-kira setahun lalu, untuk membolehkan pengguna mengimbas kod bar produk menggunakan telefon masing-masing dan mengelakkan mereka membeli barangan buatan Israel.
Menurut laporan laman web majalah perniagaan Forbes AS, sejak Israel melancarkan kempen ketenteraan ke atas Gaza pada bulan lalu, pengguna aplikasi Buycott meningkat mendadak terutamanya oleh ahli kumpulan anti-Israel iaitu 'Avoid Israeli Settlement Products' and 'Long Live Palestine Boycott Israel'.
Jelas laporan itu, pada awalnya, hanya beratus-ratus pengguna memakai aplikasi berkenaan tetapi angka tersebut meningkat kepada 220,000 pengguna dan semakin meningkat setiap hari sejak konflik di Gaza tercetus.
Pardo dalam kenyataannya berkata, beliau menyedari peningkatan penggunaan aplikasi ciptaannya sejak tiga minggu lalu tanpa mengetahui perkembangan tersebut disebabkan kempen memulaukan produk Israel.
"Saya dimaklumkan Buycott merupakan antara 10 aplikasi paling banyak digunakan di Britain dan Belanda selain mendapat sambutan hangat dalam kalangan negara di Asia Barat," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140808/lu_05/Aplikasi-khas-boikot-produk-Israel-dapat-sambutan#ixzz39kIt5vUR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

PBB sedia bina semula Gaza buat kali terakhir


BEBERAPA orang kanak-kanak Palestin duduk di atas sisa runtuhan rumah mereka sekembalinya mereka ke bandar Beit Hanun yang ranap dalam serangan tentera Israel di utara Gaza pada 5 Ogos lalu.
WASHINGTON 7 Ogos - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersedia membangunkan semula Gaza, namun ia adalah buat kali yang terakhir, kata Setiausaha Agung badan dunia itu, Ban Ki-moon, semalam.
Selepas tiga perang di Gaza dalam tempoh enam tahun, beliau memberi amaran bahawa kesabaran dunia de­ngan kedua-dua belah pihak sedang diuji.
"Adakah kita perlu terus begini .... bina, musnah dan bina dan musnah? Kami akan membangunkannya (semula) (Gaza), tetapi ni mestilah buat kali terakhir. Perkara ini mesti dihentikan,'' tegas Ki-moon.
Ketika merasmikan mesyuarat khas Perhimpunan Agung PBB di sini, beliau merayu untuk keamanan yang berkekalan di Gaza, ketika gencatan senjata selama 72 jam antara Israel dan pergerakan Hamas memasuki hari kedua, hari ini.
"Kitaran penderitaan di Gaza dan Tebing Barat begitu juga di Israel mesti dihentikan,'' katanya kepada 193 negara yang menghadiri mesyuarat khas itu.
Dalam perang sebelah pihak selama sebulan di Gaza, sebanyak 1,875 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan Israel di wilayah Palestin itu, manakala di pihak Israel 67 orang terkorban termasuk tiga penduduk awam Israel, dan separuh daripada 1.8 juta penduduk Gaza terpaksa menjadi pelarian bagi menyelamatkan diri.
Berpuluh sekolah dan hospital serta beratus-ratus kediaman penduduk musnah teruk di Gaza dengan Utusan PBB ke Asia Barat, Robert Serry berkata, pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin itu adalah lebih teruk berbanding perang yang berlaku pada 2008-2009 di Gaza.
Ki-moon turut menggesa gencatat senjata di Gaza dilanjutkan dan menegaskan bahawa sebarang perjanjian perlu, bukan sekadar untuk menamatkan perang malah perlu menangani isu `pokok' dalam konflik tersebut.
"Mimpi ngeri selama empat minggu lalu (di Gaza) merupakan satu peringatan dahsyat bahawa hanya satu penyelesaian rundingan politik boleh membawa keselamatan dan keamanan kepada Israel dan Palestin bersama-sama,'' katanya pada perhimpunan khas itu, yang diadakan atas permintaan negara-negara Arab. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140808/lu_04/PBB-sedia-bina-semula-Gaza-buat-kali-terakhir#ixzz39kIhdSEn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Rundingan Hamas-Palestin buntu


BEBERAPA orang penduduk Palestin beratur di pusat pengagihan bantuan PBB di kem pelarian Shati di Gaza City untuk mengambil bantuan makanan, kelmarin. - AP
KAHERAH 7 Ogos - Pasukan perunding Mesir berhadapan jalan buntu dan kesuntukan masa untuk mencapai perjanjian gencatan senjata yang lebih lama di Gaza antara pergerakan Hamas dan Israel, ketika gencatan selam tiga hari, yang dikuatkuasakan semalam akan tamat dalam tempoh 24 jam.
Dalam perbincangan tidak langsung antara wakil Palestin dan Israel melalui perunding Mesir, kedua-dua pihak bertelagah itu masih bercanggah pendapat untuk mengakhiri konflik di Gaza apabila Hamas bertegas mahu sekatan ke atas wilayah Gaza ditarik balik, namun rejim Zionis Israel enggan memenuhi tuntutan Hamas itu.
Terdahulu, pegawai kanan Hamas yang menghadiri rundingan itu memberi amaran untuk menarik diri daripada perbincangan jika tuntutan membatalkan se­katan ke atas Gaza dan membebaskan tahanan Palestin oleh Israel tidak dipenuhi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140808/lu_03/Rundingan-Hamas-Palestin-buntu#ixzz39kINfaPu
© Utusan Melayu (M) Bhd