Wednesday 30 September 2015

3 pelancong cedera dalam pertembungan Palestin-Israel


REMAJA Palestin menyelamatkan diri selepas anggota tentera Israel melepaskan gas pemedih mata ketika pertembungan di Tebing Barat, hari ini. - Foto AFP
RAMALLAH: Penunjuk perasaan Palestin bertembung dengan tentera Israel di seluruh Tebing Barat Selasa, sambil tiga pelancong cedera ringan akibat terkena balingan batu ketika ketegangan kekal memuncak selepas beberapa hari keganasan di Masjid Al-Aqsa.
Perkarangan atas bukit itu, digelar Temple Mount oleh penduduk Yahudi dan umat Islam sebagai tapak permulaan Israk Mikraj, agak sepi Selasa.
Kira-kira 600 pelancong dan 100 penduduk Israel melawat tapak itu tanpa insiden serius. Israel melarang lelaki Islam bawah 50 tahun daripada memasuki perkarangan itu beberapa hari kebelakangan ini dalam tindakan dikatakan untuk mengurangkan ketegangan.
Tapak itu menyaksikan pertembungan berulang sejak dua minggu lalu ketika penunjuk perasaan Palestin mengurung diri di dalam Masjid Al-Aqsa sambil membaling batu, bom api dan mercun ke arah polis Israel di luar.
Perkarangan di Bandar Lama Baitulmaqdis itu kerap menjadi tapak letusan keganasan dan menjadi teras konflik Israel-Palestin.
Rakyat Palestin menuntut timur Baitulmaqdis, yang ditawan Israel daripada Jordan dalam perang Asia Timur tahun 1967 sebagai ibu kota akan datang mereka.
Masjid Al-Aqsa adalah tapak suci ketiga umat Islam, di mana Nabi Muhammad diangkat ke syurga. - AP

Bendera Palestin bakal dikibar di Ibu Pejabat PBB


PADA Perhimpunan Agung PBB 10 September lalu, satu draf resolusi telah dibentangkan mengenai pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara yang mendapat sokongan 119 negara, lapan menentang termasuk Israel dan Amerika Syarikat, manakala 45 lagi berkecuali. - Foto hiasan
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Palestin bakal melakar sejarah apabila buat pertama kali bendera negara bergolak itu akan dinaikkan dan dikibarkan di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, esok.
Ia sekali gus memberikan sinar baru kepada negara itu dalam membawa mesej mereka untuk mencapai kemerdekaan dan negara berdaulat, sekali gus menghentikan sengketa dengan rejim Zionis.
Acara menaikkan bendera selama 15 minit itu dijadual turut dihadiri Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pada jam 1 tengah hari (waktu tempatan New York - kira-kira 1 pagi Malaysia), selepas kedua-duanya menyampaikan ucapan sempena Perhimpunan Agung PBB.
Abbas membayangkan ini adalah harapan baru kepada rakyat Palestin untuk menjadi negara merdeka dan sokongan PBB sebagai simbolik bagi menyokong aspirasi penubuhan negara itu.
"Ia satu lagi langkah untuk mengukuhkan negara Palestin di arena antarabangsa," katanya.
Pada Perhimpunan Agung PBB 10 September lalu, satu draf resolusi telah dibentangkan mengenai pengiktirafan Palestin sebagai sebuah negara yang mendapat sokongan 119 negara, lapan menentang termasuk Israel dan Amerika Syarikat, manakala 45 lagi berkecuali.
Resolusi itu membolehkan bendera Palestin yang memiliki status pemerhati, dikibarkan bersama-sama bendera negara anggota PBB yang lain. - AFP

Pertempuran baharu di pekarangan al-Aqsa



REUTERS - POLIS Israel menghalang seorang lelaki Palestin daripada masuk ke kawasan masjid al-Aqsa di Bandar Lama Baitulmuqaddis semalam.


BAITULMUQADDIS – Beberapa pertempuran baharu antara polis Israel dan penduduk Palestin berlaku di pekarangan Masjid al-Aqsa pagi semalam, kata seorang wartawan agensi berita AFP.
Polis dikerahkan ke pekarangan Masjid al-Aqsa atau dikenali sebagai Bukit Kuil oleh orang Yahudi selepas pertempuran pada hari sebelumnya.
Masjid al-Aqsa yang merupakan tempat ketiga paling suci umat Islam dianggap lokasi paling suci dalam agama Yahudi.
Orang Yahudi dibenarkan untuk melawat tetapi dilarang beribadat di pekarangan Masjid al-Aqsa bagi mengelakkan ketegangan.
Pertempuran kelmarin melibatkan penunjuk perasaan Palestin yang melakukan persiapan untuk mempertahankan masjid itu semasa masyarakat Yahudi menyambut festival Sukkot selama lapan hari.
Sebilangan belia bertopeng Palestin membaling batu dan mercun ke arah pasukan polis dan polis sempadan Israel.
“Polis Israel bertindak balas menggunakan kaedah menyuraikan tunjuk perasaan,” kata Rejim Zionis berhubung pertempuran kelmarin.
Lawatan oleh orang Yahudi turut dihentikan kelmarin, manakala sekatan terhadap lelaki Islam berusia bawah 50 tahun untuk memasuki al-Aqsa turut dimansuhkan seketika sempena cuti Hari Raya Aidiladha.
Yahudi meraikan festival Sukkot bagi memperingati perjalanan mereka menerusi Sinai ke Baitulmuqaddis selepas melarikan diri daripada cengkaman Fir­aun. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0929&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3nAzB4NgU 
Hakcipta terpelihara 

Label pendatang haram Yahudi pengganas – Saudi


30 September 2015 1:02 AM



Faisal Hassan Trad

GENEVA 29 Sept. – Arab Saudi menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengisytiharkan kumpulan pendatang haram Yahudi yang menceroboh wilayah Palestin sebagai pertubuhan pengganas.
Wakil Tetap ke PBB, Faisal Hassan Trad (gambar) dalam ucapannya di Majlis Hak Asasi Manusia berkata, Riyadh mengutuk keras penjajahan pasukan keselamatan Israel dan kumpulan pelampau Yahudi yang menyerbu dan mencemari Masjid al-Aqsa selain menghalang umat Islam memasuki kawasan tersebut.
Menurut portal Saudi Gazette, Faisal turut memberi amaran bahawa tindakan provokasi rejim Zionis itu hanya menyebabkan konflik yang lebih teruk selain mengundang kesan yang lebih serius.
“Masyarakat antarabangsa perlu memandang serius dan melaksanakan segera langkah-langkah ter­tentu bagi menghalang penjajahan Israel serta pendatang haram Yahudi daripada terus menyerang penduduk Palestin dan menceroboh kawasan suci umat Islam.
Sementara itu, enam penduduk Palestin yang datang ke Washington untuk meraih sokongan bagi menentang pelan Israel merobohkan perkampungan mereka di Susiya, Tebing Barat, menerima bantuan daripada Senator Amerika Syarikat (AS), Dianne Feinstein.
Kampung Susiya yang sebelum ini telah dimusnahkan, merupakan antara sejumlah kampung yang diancam pencerobohan tentera Israel dan menjadi simbol penjajahan rejim Zionis di Tebing Barat.
Jabatan Negara AS turut mengeluarkan amaran terhadap sebarang tindakan merobohkan rumah penduduk Palestin di kampung itu akan memberi kesan buruk dan dianggap sebagai satu provokasi melampau.
Seorang penduduk Susiya, Fatma Nawajaa berkata, dia telah penat dengan tindakan provokasi Israel dan sanggup datang ke AS untuk meraih sokongan menentang pelan rejim Zionis itu.
Fatma tiba di Washington bersama anak lelakinya berusia empat tahun, seorang sepupu, dan sepasang suami isteri dan anak mereka dari kampung berhampiran, Um Al Kheir dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan AS, Rebuilding Alliance.
Kira-kira 300 penduduk mendiami Susiya yang terletak di kawasan bukit berdekatan Hebron dan mereka tidak memiliki kemudahan asas termasuk air dan elektrik sejak diusir 30 tahun lalu dari kawasan asal perkampungan mereka. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/label-pendatang-haram-yahudi-pengganas-8211-saudi-1.141257#sthash.q6bzlzZR.dpuf