Saturday, 1 June 2013

Israel bina lagi 1,000 rumah

Israel bina lagi 1,000 rumah
Kerja-kerja pembinaan giat dilakukan di timur al-Quds.
TEBING BARAT - Rejim Zionis tidak menghiraukan kritikan negara antara bangsa apabila terus berdegil membina 1,000 unit rumah untuk penempatan haram golongan Yahudi di kawasan peneroka baru di Timur al-Quds.

Jurucakap kumpulan pemantau antarabangsa berkata kepada Reuters, kontrak pembinaan untuk 300 rumah di penempatan timur laut Ramot telah ditandatangani termasuk 797 unit lagi akan ditawarkan untuk dijual di selatan wilayah Gilo tidak lama lagi.

Wilayah Gilo merupakan satu daripada lima penempatan utama di timur al-Quds yang ditubuhkan oleh rejim Israel selepas Perang 1967.

Laporan terbaru itu turut mendedahkan, sepanjang tahun lalu, rejim Zionis merampas lebih 800 hektar tanah penempatan rakyat Palestin di Tebing Barat termasuk 1,650 unit rumah dibina di Baitulmaqdis Timur dan selebihnya di kawasan Efrat dan Maale Adumin di Tebing Barat.

Sementara itu, tindakan rejim Zionis itu turut mencetuskan kemarahan bekas ketua rundingan Palestin, Saeb Erakat yang berpendapat pembinaan tersebut sebenarnya bermotifkan politik.

“Tapak pembinaan penempatan haram golongan Yahudi tersebut adalah milik Palestin. Rejim Zionis sengaja melakukan tindakan tersebut bagi membangkitkan kemarahan penduduk Palestin supaya mereka dapat melakukan serangan balas,” katanya.