Saturday 24 October 2015

UNSC perlu cari pendekatan selesai konflik Palestin-Israel

PENDUDUK Palestin berlindung akibat konflik Palestin/Israel.
SABTU, 24 OKTOBER 2015 @ 6:30 PM

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) digesa mencari pendekatan lebih berdaya maju bagi menyelesaikannya konflik Palestin/Israel yang belum menunjukkan sebarang tanda akan berakhir selepas berlarutan selama 70 tahun.
Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, usaha itu penting bagi menamatkan kesengsaraan dan mengelak lebih banyak jiwa terkorban.
Katanya, langkah itu perlu diambil selepas cubaan untuk menamatkan konflik berkenaan melalui rundingan dua hala antara kedua-dua pihak tidak membuahkan sebarang hasil.
"Saya berucap pada Majlis Keselamatan ini untuk menjelaskan pendirian Malaysia mengenai keganasan yang semakin menjadi-jadi di Wilayah Palestin yang Diduduki serta menegaskan tentang usaha sia-sia dalam mencari penyelesaian melalui rundingan hala secara langsung antara Palestin dan Israel.
"Kita memerlukan satu pendekatan lain bagi menyelesaikan masalah ini," katanya dalam wawancara dengan Bernama di New York selepas menyampaikan ucapan itu.
Reezal Merican berkata Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon, yang baru kembali daripada melawat Palestin dan Israel serta mengadakan perjumpaan dengan para pemimpin kedua-dua pihak itu, telah memberi taklimat kepada UNSC tentang keadaan di wilayah berkenaan.
Katanya, Ban menggesa kedua-dua pihak menghentikan keganasan dan mengelak daripada membuat kenyataan retorik dan boleh menimbulkan kemarahan kerana menurut beliau, perbuatan itu hanya memburukkan lagi "kitaran keganasan yang tidak diperlukan".
Sehubungan iu, kata beliau, Ban menggesa UNSC bertindak tegas dan menghalang keganasan daripada terus meningkat.
Reezal Merican menegaskan bahawa di samping usaha yang dilakukan di peringkat antarabangsa untuk mencari penyelesaian bagi konflik itu, Malaysia sentiasa bersungguh-sungguh dan tekal dalam mencari penyelesaian terhadap isu Palestin.
"Keadaan yang ada sekarang (konflik Palestin/Israel) tidak boleh dibiar berterusan.
"Rakyat Palestin, yang paling teruk terjejas oleh konflik itu, inginkan keamanan dan keselamatan, tetapi ia tidak dapat diberi Majlis Keselamatan, yang terus bertegas dengan pendiriannya untuk menggunakan kaedah rundingan dua hala secara langsung.
"Jelas sekali, pendekatan itu tidak membuahkan hasil dan kita perlu mencari cara lain untuk menyelesaikan isu itu.
"Saya menyatakan kepada Majlis Keselamatan bahawa walaupun kita menyokong kuat matlamat penyelesaian dua negara, kita juga semakin meragui bahawa cara terbaik untuk mencapai matlamat itu ialah melalui rundingan dua hala antara Palestin dan Israel," kata beliau.
Reezal Merican berkata, Malaysia juga ingin melihat pasukan pengaman PBB dikerah ke zon konflik itu bagi mengendurkan ketegangan.
Rakyat Palestin juga, katanya, meminta pasukan pengaman PBB memberi perlindungan terhadap mereka, di samping menghalang berlakunya perbuatan mencabul undang-undang antarabangsa dalam memberi layanan terhadap mereka.
Reezal Merican juga mendedahkan beberapa perkara terperinci tentang perbincangannya dengan Menteri Luar New Zealand Murray McCully di New York pada 21 Oktober, yang menyentuh tentang isu Palestin serta usaha mencari jalan untuk mencapai kemajuan dalam Proses Damai Timur Tengah di UNSC di mana New Zealand dan Malaysia menjadi anggota tetapnya.
Malaysia dan New Zealand bekerjasama rapat dalam menangani isu yang ditangani Majlis Keselamatan, termasuk isu Palestin.
"New Zealand sependapat dengan kita dalam isu Palestin. New Zealand bersetuju bahawa penyelesaian terhadap isu Palestin perlu dicapai dengan segera," kata Reezal Merican.
Beliau juga berkata keadaan di Timur Tengah - Syria, Yemen dan Iraq - "amat bergelora" dan menuntut penyelesaian segera untuk menyekat keganasan daripada terus meningkat.
Katanya. kesederhanaan amat diperlukan dalam keadaan seperti ini.
Reezal Merican, yang mengadakan perjumpaan dengan Menteri Luar Sweden Margot Wallstrom pada Khamis, berkata negara itu menunjukkan "minat mendalam" terhadap tumpuan Malaysia kepada kesederhanaan.
"Sebagai negara pelbagai budaya, kaum dan agama, Malaysia membuktikan bahawa kesederhanaan menjadi kunci dalam kehidupan bersama secara harmoni dalam kalangan manusia daripada pelbagai kepercayaan, budaya dan etnik.
"Perdana Menteri kita (Datuk Seri Najib Razak) menganjurkan amalan kesederhanaan melalui inisiatif beliau, Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).
"Sweden, yang turut membincangkan isu Palestin dan konsep kesederhanaan kita, berminat untuk meningkatkan hubungan dengan Malaysia berhubung agenda Majlis Keselamatan," katanya.
Sweden mengemukakan pencalonannya untuk menduduki kerusi tidak tetap majlis itu bagi penggal 2017-2018. -- BERNAMA

Benar solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa


Baitulmaqdis: Buat kali pertama sejak beberapa minggu lalu, Israel membenarkan penduduk Islam tanpa mengira usia memasuki Masjid Al-Aqsa untuk menunaikan solat Jumaat sebagai usaha untuk meredakan ketegangan di situ.

Sejak beberapa minggu lalu, Israel melarang pemuda Islam daripada memasuki pekarangan masjid itu yang dianggap penduduk Muslim sebagai usaha rejim Zionis memperkuat lagi kawalannya di situ.


Jurucakap polis Micky Rosenfeld berkata, sekatan usia itu dibatalkan hasil penilaian keselamatan.

Sementara itu, penghadang dan sekatan jalan diletakkan Israel minggu lalu di pinggir kejiranan Arab di bandar itu masih kekal.

Kabinet Israel meluluskan sekatan pergerakan dalam usaha mengekang beberapa gelombang serangan sejak kebelakangan ini apabila ramai penyerang berbangsa Arab dari Baitulmaqdis timur.

Sekatan berkenaan mengakibatkan kesesakan lalu lintas selain mengganggu kehidupan lebih 300,000 penduduk Palestin di bandar itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, Israel mendirikan 38 sekatan termasuk 17 pos pemeriksaan dan 20 penghadang di sembilan kejiranan.

Rosenfeld berkata, kebanyakan sekatan jalan diturunkan selain peraturan dilonggarkan di sekurang-kurangnya dua kejiranan.

Terdahulu, seorang remaja lelaki Palestin berusia 16 tahun menikam seorang askar di Tebing Barat sebelum tembak. Kedua-duanya dibawa ke hospital untuk rawatan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 5:07 AM

PASUKAN keselamatan Israel mengawal jalan di bandar lama Baitulmaqdis sebelum solat Jumaat semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/87685#sthash.FV5H0VV8.dpuf

Remaja Palestin ditembak


Remaja Palestin ditembak

24 OKTOBER 2015
Remaja Palestin ditembak Askar Israel melepaskan tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan tunjuk perasaan di Hebron, kelmarin. - Foto AFP

BAITULMAQDIS - PALESTIN . Rejim Zionis menembak dan mencederakan seorang remaja lelaki Palestin selepas dia didakwa cuba menikam askar Israel di wilayah Tebing Barat yang diduduki.

"Penyerang terbabit menikam seorang anggota IDF berhampiran blok penempatan Yahudi di Gush Etzion. Tentera bertindak balas dengan melepaskan tembakan ke arah lelaki itu," kata sumber tentera Israel.

Pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan askar terbabit cuma mengalami cedera ringan.

Sementara itu, pihak berkuasa Palestin mengenal pasti remaja terbabit sebagai Mussab Ghanimat, 17, dari Sureif.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan hak asasi banduan Adameer memaklumkan sekurang-kurangnya 876 rakyat Palestin ditahan tentera Israel sepanjang bulan ini.

"Penahanan terbaru itu menjadikan jumlah rakyat Palestin yang dipenjarakan rejim Zionis meningkat kepada 6,200 orang," katanya.

Sebelum ini, Pusat Kajian Tahanan Palestin (PCPS) melaporkan, sejak bermulanya gerakan intifada, pasukan keselamatan rejim Zionis telah memenjarakan seramai 280 kanak-kanak
Palestin, dan semasa di dalam penjara mereka dihina, didera, dipukul serta diancam bunuh bertujuan untuk menakut-nakutkan mereka supaya tidak menyertai gerakan intifada. - Maannews

Rejim Zionis mansuh sekatan had umur di Al-Aqsa


AFP - POLIS Israel berkawal ketika masyarakat Islam Palestin mendirikan solat Jumaat di sebatang jalan di kejiranan Wadi al-Joz, timur Baitulmuqaddis pada 16 Oktober lalu.


BAITULMUQADDIS – Polis Israel memansuhkan sekatan had umur terhadap orang Islam yang mahu mengerjakan solat jemaah di pekarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis semalam buat kali pertama sejak beberapa minggu lalu.
Halangan had usia melibatkan lelaki Islam itu berkuat kuasa pada setiap hari Jumaat sejak pertengahan September lepas susulan pertempuran berulang kali antara pemuda Palestin dan polis Israel di masjid berkenaan.
“Buat masa sekarang, tiada sekatan had umur untuk lelaki Islam memasuki al-Aqsa,” kata seorang jurucakap polis Israel dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, sekatan itu menyebabkan hanya lelaki Islam berumur lebih 40, 45 atau 50 tahun dibenarkan masuk ke pekarangan masjid berkenaan di timur Baitulmuqaddis.
Pekarangan itu dirampas Rejim Zionis semasa Perang Enam Hari pada 1967 dan dijadikan sebahagian daripada wilayah Israel dalam langkah yang tidak diiktiraf masyarakat antarabangsa.
Pekarangan itu juga merupakan tempat paling suci untuk orang Yahudi yang menamakannya sebagai Kuil Bukit.
Tunjuk perasaan di Al-Aqsa mencetuskan gelombang serangan individu bersenjatakan pisau di Baitulmuqaddis, insiden tembakan dan rempuhan kereta terhadap askar, polis serta orang awam Israel.
Sejak 1 Oktober lalu, sekurang-kurangnya 49 penduduk Palestin dan seorang warga Israel berketurunan Arab terbunuh termasuk beberapa penyerang dalam keganasan tersebut. Sebanyak lapan warga Israel turut maut dalam serangan itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1024&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3pQpZJ0bl 
Hakcipta terpelihara