Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memberi peringatan kepada Mahmoud Abbas bahawa Presiden Palestin itu perlu memilih Hamas atau rejim Zionis itu untuk menjadi rakan damainya.
“Adakah Mahmoud mahukan keamanan dengan Hamas atau Israel? Anda hanya boleh memilih salah satu.
“Saya berharap Mahmoud memilih keamanan (dengan Israel).
Malangnya setakat ini perlakuannya tidak nampak begitu,” katanya.
Netanyahu berkata demikian selepas menemui Menteri Luar Austria Sebastian Kurz.
Delegasi Fatah pimpinan Mahmoud dan Hamas mengadakan perbincangan di Gaza untuk kali pertama sejak 2007 semalam.
Fatah dan gerakan Islam Hamas sebelum ini berselisih pendapat mengenai pendekatan yang perlu diambil bagi menyelesaikan krisis Palestin.
Usaha itu kebetulan serentak dengan pertemuan antara perunding Fatah dan Israel yang sedang berusaha melanjutkan tempoh perbincangan selepas tamat tarikh ditetapkan pada 29 April ini.
Netanyahu turut menuduh Mahmoud membuat tuntutan yang tidak munasabah ketika cuba mendapatkan keamanan di rantau berkenaan.
“Kami berusaha menyambung semula perbincangan dengan Palestin, namun setiap kali itu juga Mahmoud membuat tuntutan tambahan yang memang tidak boleh dipenuhi Israel,” katanya.
Pada masa sama, Mahmoud pula berkata, Israel sewajarnya membekukan aktiviti penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin.
Kata Mahmoud, Israel wajar memfokuskan usaha mewujudkan sempadan negara baru Palestin.
Secara umum rakyat Palestin tidak menjangkakan penyelesaian pertikaian antara Hamas dan Fatah berikutan sudah beberapa kali gagal sejak 2011.- Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/24