Tuesday 9 December 2014

Israel lakukan jenayah perang - 'Amnesty International'

LONDON: Pemantau hak asasi manusia, 'Amnesty International' berkata tentera Israel melakukan jenayah perang ketika melancarkan serangan di Gaza tahun ini dan perlu disiasat.
Dalam laporannya, kumpulan hak asasi manusia itu berkata kemusnahan yang diakibatkan ke atas bangunan empat tingkat ketika empat hari terakhir dalam peperangan selama 50 hari itu mencabuli undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Semua bukti yang kami ada menunjukkan pemusnahan besar-besaran itu dilakukan dengan secara sengaja tanpa alasan ketenteraan," kata Philip Luther, Pengarah 'Amnesty International' bagi Program Asia Barat dan Afrika Utara.
"Jenayah perang mesti disiasat secara bebas dan tidak menyebelahi mana-mana pihak dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Tambahnya, bukti termasuk kenyataan oleh tentera Israel menyatakan serangan itu dilakukan sebagai hukuman terhadap rakyat Gaza, bertujuan memusnahkan kehidupan mereka.
Setakat ini pihak berkuasa Israel masih belum memberi reaksi kepada kenyataan 'Amnesty International' itu.
Bagaimanapun, Baitulmaqdis enggan bekerjasama dengan siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kemungkinan berlaku jenayah perang dalam konflik berkenaan dan menuduhnya sebagai berat sebelah.
Tentera Israel melancarkan beberapa siri siasatan jenayah berhubung beberapa kejadian dalam peperangan itu, termasuk pembedilan sebuah sekolah PBB yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang dan pengeboman pantai yang meragut nyawa empat kanak-kanak.
Lebih 2,100 rakyat Palestin, sebahagian besarnya orang awam, terbunuh dalam peperangan antara Israel dan Hamas itu yang berakhir pada 26 Ogos lalu.
Di sebelah pihak Israel, hanya 73 orang terbunuh, termasuk 67 askar. - AFP

Israel bom lapangan terbang Damsyik

Damsyik: Syria semalam menuduh Israel mengebom lapangan terbang antarabangsanya dan menggesa Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon serta Majlis Keselamatan badan dunia itu mengenakan sekatan terhadap rejim berkenaan.
Israel sering melancarkan serangan ke atas Syria sejak perang saudara meletus di negara itu pada 2011.
“Petang ini (semalam), Israel melancarkan serangan terhadap dua kawasan selamat di wilayah Damsyik, khususnya di kawasan Dimas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik,” menurut kenyataan yang dikeluarkan tentera Syria.
Ia bagaimanapun mengaku serangan itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan.
Setakat ini rejim Israel tidak memberi sebarang reaksi, tetapi tentera Syria mendakwa tindakan Israel itu membantu kumpulan penentang yang berusaha untuk menggulingkan Presiden Bashar al-Assad.
“Tindakan Israel dilaksanakan untuk membantu penentang kerajaan selepas tentera kami meraih kemenangan di Deir Ezzor, Aleppo and kawasan lain,” menurut kenyataan itu lagi.
Kumpulan pemerhati bagi Hak Asasi Manusia Syria yang mengawasi konflik di negara itu berkata, kedua-dua sasaran berkenaan digunakan untuk tujuan ketenteraan.
“Kedua-duanya kawasan tentera dan senjata disimpan di kawasan itu,” kata pengarahnya, Rami Abdel Rahman.
Sementara itu, lebih 30 kumpulan hak asasi manusia semalam merayu pelbagai negara supaya menerima 180,000 pelarian Syria. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 7:44 AM


KEPULAN asap dapat dilihat berhampiran sebuah masjid di Aleppo ketika pertempuran meletus antara kumpulan penentang dengan tentera kerajaan, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/14825#sthash.plJi7ngu.dpuf