Tuesday 18 February 2014

Tolak pengaman luar

Sami Abu Zuhri
Sami Abu Zuhri 
18 Februari 2014GENTING GAZA - Hamas mengulangi amaran akan menentang mana-mana usaha pasukan pengaman antarabangsa yang berhasrat untuk campur tangan atau menentukan masa depan Palestin.

Jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri berkata, Palestin tidak memerlukan bantuan daripada pasukan itu kerana hala tuju dan masa depan negara ini boleh ditentukan sendiri oleh pentadbiran sendiri.

“Kami belajar daripada kesilapan terhadap rundingan damai dengan Israel yang ditaja Amerika Syarikat (AS).

"Rundingan itu tidak memberi sebarang makna buat Palestin kerana segalanya memberi kelebihan kepada Israel manakala rakyat Palestin terus ditindas dan dinafikan hak,” katanya dipetik Press TV

Menurutnya, kerajaan hanya bersedia menerima bantuan pasukan pengaman jika pasukan itu juga menentang kekejaman Israel.

Terdahulu, Presiden Palestin Mahmoud Abbas menyelar tindakan AS dalam rundingan itu tetapi beliau memberikan lampu hijau untuk mana-mana negara yang mahu menghantar pasukan pengaman ke negara itu.

Kepulangan pelarian Palestin tidak 'membanjiri wilayah Israel'


RAMALLAH 17 Feb. - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, kepulangan pelarian Palestin ke negara ini tidak akan ‘membanjiri wilayah Israel’, sekali gus menafikan propaganda pihak tertentu yang sengaja mahu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk Yahudi.
Dalam pertemuan dengan 250 pelajar Israel di ibu pejabatnya di Tebing Barat, semalam, Abbas berkata, ada pihak tertentu menyebarkan propaganda kononnya beliau mahu menghancurkan Israel jika kira-kira lima juta pelarian Palestin dibawa pulang.
Jelasnya, isu kepulangan pelarian Palestin itu perlu dibincangkan dalam rundingan Palestin-Israel bagi menyelesaikan konflik antara kedua-dua pihak yang berlanjutan selama lebih enam dekad.
"Sebarang penyelesaian perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak secara terbuka.
"Tetapi saya tidak berhasrat untuk menempatkan berjuta-juta pelarian Palestin di Israel bagi melakukan perubahan daripada sudut sosial. Itu (propaganda) merupakan satu pembohongan," katanya kepada kumpulan pelajar terbabit.
Isu kepulangan keluarga Palestin yang melarikan diri atau diusir semasa perang Palestin-Israel pada 1948 merupakan satu daripada isu sukar yang perlu diselesaikan kedua-dua pihak.
Mengikut Resolusi 194 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kerajaan Palestin menuntut agar Israel mengiktiraf hak pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air mereka yang kini menjadi wilayah rejim Zionis Israel.
Namun, Israel menolak tuntutan tersebut dengan alasan tindakan itu akan mengecilkan wilayah penduduk Yahudi dan pelarian berkenaan hanya dibenarkan menetap di negara Palestin yang akan diiktiraf kelak.
Kira-kira lima juta pelarian Palestin berdaftar di seluruh dunia, kebanyakannya berasal daripada 760,000 penduduk asal yang melarikan diri atau diusir dari Palestin pada 1948.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendesak agar Palestin mengiktiraf rejim Zionis Israel sebagai sebuah negara Yahudi bagi menyelesaikan isu pelarian dan sempadan kedua-dua wilayah.
Namun, kerajaan Palestin menolak permintaan itu dengan menegaskan bahawa pengiktirafan ke atas Israel telah dibuat pada 1993 di bawah perjanjian Oslo dan dibuat bukan atas faktor agama atau bangsa dalam menentukan sebuah negara yang sah. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140218/lu_11/Kepulangan-pelarian-Palestin-tidak-membanjiri-wilayah-Israel#ixzz2tdPWTaJE
© Utusan Melayu (M) Bhd