Baitulmaqdis
Israel kini dalam keadaan berjaga-jaga terhadap serangan daripada Hizbullah berikutan serangan udara terhadap pejuang kumpulan itu di Syria.
Pegawai pertahanan Israel berkata, negara itu meningkatkan penggunaan sistem keselamatan ‘Iron Dome’ bagi pertahanan antipeluru berpandu udara di kawasan utara yang bersempadan dengan Lubnan serta Syria.
Israel turut mengukuhkan aktiviti penmantauan di lokasi berkenaan.
Sementara itu, Kabinet Keselamatan Israel dijadualkan membincangkan kemungkinan berlaku pertempuran.
Hizbullah mendakwa Israel melakukan serangan udara Ahad lalu di sebelah Bukit Golan yang dikuasai Syria, menyebabkan kematian seorang pejuang kanan kumpulan itu, seorang jeneral kanan Iran dan lima lagi anggotanya.
Israel tidak menafikan atau mengakui pembabitannya dalam serangan itu.
Pejuang Hizbullah yang terbunuh - Jihad Mughniyeh - juga anak Imad Mughniyeh, anggota kanan kumpulan itu, orang yang bertanggungjawab membina infrastruktur operasi ketenteraan pertubuhan berkenaan.
Imad yang dianggap orang kedua terpenting Hizbullah terbunuh di Damsyik pada 2008 dalam serangan bom yang didakwa dilakukan agensi risikan Israel, Mossad.
Sementara itu, pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah dalam satu temubual minggu lalu berkata, kumpulan itu berhak membalas semua serangan Israel ke atasnya, termasuk pembunuhan Imad.
Sejak konflik di Syria bermula pada Mac 2011, Israel didakwa melakukan beberapa serangan udara di negara itu yang menyasarkan sistem persenjataan canggih, termasuk buatan Russia serta Iran.
Kali terakhir serangan seumpama itu dilakukan rejim itu ialah pada awal Disember berhampiran lapangan terbang antarabangsa Damsyik dan sebuah pekan berhampiran sempadan Syria-Lubnan.
Israel bagaimanapun tidak pernah mengulas sama ada ia terbabit dalam serangan berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 5:09 AM
JENAZAH Ghazi Ali Dawi, antara enam pejuang Hizbullah yang terbunuh dalam serangan Israel berhampiran Quneitra di kawasan Bukit Golan yang dikuasai Syria, diusung untuk dikebumikan di Kampung Khiam, selatan Lubnan, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/25188#sthash.4QjWAmHQ.dpuf