Setiausaha Agung PBB, Ban Kin-moon dan Ketua Liga Arab, Nabil al-Arabi dalam satu kenyataan bersama meluahkan rasa `kebimbangan yang mendalam’ berhubung sumber yang terhad dalam usaha untuk memperbaiki keadaan di Gaza.
Kedua-dua pemimpin itu merayu kepada penderma terbabit supaya menyalurkan bantuan seperti yang dijanjikan pada Persidangan Kaherah yang berlangsung pada Oktober lalu.
Dalam kenyataan itu, Kin-moon dan Nabil turut menyatakan rasa kecewa dengan proses pembangunan semula Gaza yang berjalan perlahan dan sumber perubatan yang kurang bagi memastikan kesejahteraan dan kesihatan penduduk terjamin.
Dalam persidangan tersebut, masyarakat antarabangsa berjanji untuk menyalurkan dana berjumlah AS5.6 bilion (RM19.88 bilion) kepada Palestin, dengan separuh daripada peruntukan tersebut akan digunakan bagi membina semula Gaza yang hancur musnah selepas diserang Israel pada Julai lalu.
Qatar merupakan negara yang berjanji untuk menyalurkan dana paling besar kepada Gaza iaitu berjumlah AS$1 bilion (RM3.55 bilion).
Selain itu, Washington berjanji untuk menyediakan dana berjumlah AS$212 juta (RM752 juta) dan Kesatuan Eropah (EU) sebanyak AS$450 juta (RM1.5 bilion).
Awal bulan ini, PBB mengumumkan pihaknya terpaksa membatalkan penyaluran bantuan kewangan kepada beribu-ribu penduduk Gaza bagi membina rumah, berikutan dana yang terhad. – AFP