Pertempuran berlaku di Tebing Barat
Penduduk Palestin bertempur dengan polis Israel di bandar Beit Sahur, Bethlehem.
TEBING BARAT - Berpuluh penduduk Palestin bertempur dengan polis Israel berikutan keputusan kerajaan itu membenarkan pembinaan penempatan di Tebing Barat.

Pertempuran tercetus di bandar Beit Sahur, timur Bethlehem kian memuncak apabila rejim Zionis melepaskan bom dan gas pemedih mata bagi menyuraikan pertempuran itu.

Menteri Luar Riyad al-Maliki diminta campur tangan serta-merta kerana kejadian itu didakwa boleh menggagalkan rundingan damai dengan Israel dalam usaha mencapai keamanan di Timur Tengah.

“Bagi kami, menghentikan pembinaan penempatan adalah penting sehingga rundingan damai mencapai resolusi,” katanya.

Menurutnya, rundingan ini penting bagi penduduk Palestin dan ia juga sebagai sebahagian daripada keperluan masyarakat antarabangsa.

PBB sebelum ini menganggap, penempatan tersebut sebagai kawasan haram untuk penduduk Israel seperti mana tertakluk dalam Konvensyen Geneva pada 1967.

Maka itu, Israel bersetuju untuk membekukan pembinaan penempatan di bawah Pelan Keamanan pada tahun 2002 namun, negara itu gagal mematuhi komitmen perjanjian hingga mendapat kecaman antarabangsa.

Difahamkan lebih setengah juta penduduk Israel berdegil apabila terus membina lebih 120 penempatan haram sejak Israel mendakwa wilayah Palestin di Tebing Barat dan Timur al-Quds adalah miliknya, laporan dipetik daripada Press TV.