Menurut laman web presstv.ir, rejim Zionis Israel melancarkan serangan udara termasuk 12 serangan meriam di bandar Beit Hanoun, Beit Lahia dan Jabalia, beberapa jam selepas tiga penduduk Palestin cedera dalam serangan di utara Gaza.
Sumber keselamatan dan kesihatan Palestin berkata, empat penduduk Palestin cedera, termasuk dua cedera dalam sera­ngan selepas perarakan tersebut.
Terdahulu, pasukan bersenjata Hamas, Briged Ezzedine Qassam telah mengadakan per­arakan di selatan bandar Rafah dan berikrar untuk terus menentang Tel Aviv sehingga rejim itu membebaskan tanah Palestin yang dijajah.
Serangan itu turut menyebabkan kerosakan in­frastruktur di bandar-bandar berkenaan termasuk memusnahkan takungan air di Beit Hanun.
Israel mendakwa serangan tersebut dilancarkan sebagai membalas serangan roket dari Gaza yang mengenai bandar Sderot.
Susulan serangan itu, Hamas mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan tersebut dengan menegaskan tindakan itu adalah sebahagian daripada kekejaman berterusan rejim Zionis terhadap penduduk Pa­lestin.
Kenyataan itu menegaskan bahawa serangan-serangan ber­kenaan tidak akan mematahkan semangat penduduk Palestin dan tidak akan menggugat perjuangan mereka menentang Israel, serta menegaskan bahawa rejim berkenaan bertanggungjawab terhadap ketegangan yang wujud di kawasan Palestin yang dikuasai Israel.
Tentera Israel sering melancarkan serangan ke atas Gaza dan mencabul undang-undang antarabangsa menyebabkan beribu-ribu penduduk Palestin terkorban dan cedera.
Awal Julai 2014, Tel Aviv me­lancarkan serangan ke atas Gaza dalam pencerobohan selama 50 hari yang berakhir pada 26 Ogos 2014 dan menyebabkan sebanyak 2,200 penduduk Palestin terkorban termasuk 570 kanak-kanak.
Gaza dikenakan sekatan sejak 2007 oleh Israel yang turut menafikan hak asasi 1.8 juta penduduknya seperti mendapatkan kebebasan bergerak, pekerjaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan yang sewajarnya.