Saturday 11 October 2014

Britain mungkin iktiraf Palestin


London: Anggota Parlimen Britain akan mengundi Isnin ini untuk menentukan sama ada negara itu akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara atau sebaliknya.

Undian itu sebahagian daripada usul yang dikemukakan anggota pembangkang, Grahame Morris dari parti Buruh.

“Jika undiannya positif, ini pasti memberi tekanan hebat kepada kerajaan sedia ada dan yang akan datang - berkemungkinan dari Parti Buruh - untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

“Jika United Kingdom (UK) mengiktiraf Palestin, ia mampu membuka ruang untuk negara Kesatuan Eropah (EU) lain turut berbuat demikian.


“Ia mampu menjadi mesej jelas dan sahih bahawa Britain dan negara lain mengiktiraf hak Palestin seterusnya mengesahkan pendudukan Israel ke atas tanah milik rakyat Palestin tidak berasas,” katanya.


Tindakan ini menyusuli pengumuman Perdana Menteri baru Sweden Stefan Loefven awal bulan ini yang mengumumkan negara itu mengiktiraf Palestin hingga mencetuskan kemarahan Israel.

Parti Buruh berkata ia akan menyokong usul Morris itu. Beberapa ahli Parlimen dari parti Konservatif yang memerintah Britain juga menyuarakan sokongan.

Setakat ini, kira-kira 112 negara sudah mengiktiraf kewujudan negara Palestin.

Pada 2012, Britain mengambil sikap berkecuali dalam undian di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memberi status negara pemerhati kepada Palestin.

Status itu diberi kepada Palestin walaupun dibantah keras AS dan Israel selain beberapa negara lain. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/11

EU haram kemasukan produk Israel


LONDON 10 Okt. - Kesatuan Eropah (EU) mengambil keputusan mengharamkan import produk tenusu dari Tebing Barat, kawasan yang diduduki secara tidak sah oleh Israel bermula Januari tahun depan, lapor laman web presstv.ir.
"Bermula 1 Januari 2015 tiada lagi jalinan kerjasama untuk membawa masuk produk tenusu yang dibuat dari kawasan yang dinyatakan, sama ada secara langsung atau tidak langsung," kata Kementerian Pertanian Israel dalam satu kenyataan.
Jelas kementeri itu, semua firma tenusu yang terbabit sudah diberitahu tentang keputusan pengharam berkenaan.
Pada Jun lalu, EU turut mengambil keputusan mengharamkan kemasukan ayam dari wilayah itu yang masih tidak diiktiraf itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141011/lu_06/EU-haram-kemasukan-produk-Israel#ixzz3FmhfhvK5
© Utusan Melayu (M) Bhd