Monday 17 October 2016

Kumpulan hak asasi Israel gesa PBB bebaskan Palestin


SABTU, 15 OKTOBER 2016 @ 12:59 PMPengarah Eksekutif pertubuhan B'Tselem, Hagai El-Ad. (dua dari kiri). - Foto Brown Political Review

NEW YORK: Kumpulan hak asasi manusia Israel menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah tegas menamatkan segera pencerobohan ke atas wilayah Palestin. Pengarah Eksekutif pertubuhan B'Tselem, Hagai El-Ad, memberitahu pertemuan tidak rasmi majlis itu mengenai 'Penempatan Haram Israel: Halangan kepada Keamanan dan Penyelesaian Dua Negara', bahawa rejim Zionis mengawal kehidupan penduduk Palestin di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur selama 49 tahun dan masih berterusan. Dengan ulang tahun ke-50 bakal disambut tahun depan, beliau berkata, hak rakyat Palestin perlu diiktiraf, pencerobohan perlu dihentikan, Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak, dan sekarang adalah masanya. El-Ad menegaskan majlis mempunyai lebih daripada sekarang kuasa. "Anda mempunyai tanggungjawab moral dan peluang sebenar untuk bertindak dengan segera sebelum kami tiba pada tarikh simbolik Jun 2017 dan separuh kedua abad petama bermula," katanya. Satu lagi kumpulan hak Israel, Peace Now, turut dijemput memberikan ucapan tetapi ia diwakili pertubuhan Americans for Peace Now yang juga berkempen menamatkan pencerobohan Israel. "Pencerobohan itu ancaman kepada keselamatan dan kewujudan Israel. "Saya menggesa anda di sini hari ini supaya mengambil tindakan dalam Majlis Keselamatan menghantar mesej jelas pada Israel bahawa komuniti antarabangsa tetap dengan penyelesaian dua negara dan menolak dasar yang memandang rendah kepadanya, termasuk dasar penempatan Israel," kata pengarah dasar dan hubungan kerajaan kumpulan itu, Lara Friedman. Duta Israel ke PBB, Danny Danon, menuduh B'Tselem menyertai cubaan Palestin melancarkan keganasan diplomatik terhadap Israel di PBB. Beliau juga menuduh kumpulan itu memilih memfitnah dan mencemarkan nama baik Israel dan berikrar akan terus melawan dan memberitahu kebenaran mengenai rejim itu di sebalik cubaan menyebarkan penipuan mengenainya. Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, menyifatkan pertemuan tidak rasmi itu sebagai 'amalan amat positif' yang dibina di atas perbincangan mengenai resolusi baru PBB yang menggesa Israel menghentikan pembangunan penempatan haram. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/202385