Friday, 3 January 2014

Pelarian Palestin di kem Yarmouk mati kebuluran.



2 Jan - Kebuluran semakin menular di kem pelarian Yarmouk. Seramai 30 orang telah syahid kerana kebuluran dan angka tersebut dijangka meningkat.

Lihat sahaja pada gambar ini. Khairallah Mansour sebelum dan selepas tubuhnya terpaksa 'menyerah kalah' terhadap kebuluran lebih daripada 170 hari.

p/s: Jika kita berpuasa sunat Isnin Khamis yang cuma belasan jam di Malaysia ini pun sudah ber'keroncong', apakah perasaannya jika lebih dari itu? Hasbunallah wani'mal wakil. [Ph]

#saveyarmoukcamp #aqsasyarif #shitaaemergencyrelief

sumber: Jerusalem.

Ariel Sharon tenat


3 Januari 2014

TEL AVIV - ISRAEL. Tahap kesihatan bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon kini dilaporkan makin merosot sejak menjalani pembedahan masalah buah pinggang.

Sebelum ini, Ariel, 85, dilaporkan koma sejak lapan tahun lalu selepas terkena serangan angin ahmar.

Jurucakap Hospital Tel Hashomer berkata kepada AP, kesihatan Ariel terus merosot sejak tiga hari lalu selepas dipantau melalui MRI.

"Kami mendapati tindak balas pada pergerakan otaknya sangat lemah," katanya

Ulasan 2013: Perundingan Damai Yang Sia-sia



Sejak Perjanjian Oslo dimeterai antara Yasser Arafat* (Pengerusi PLO) dan Yitzhak Rabin** (Perdana Menteri Israel) pada tahun 1993 (20 tahun yang lalu), hampir tiada satu manfaat pun yang diperoleh rakyat Palestin.

Penempatan haram Israel di Tebing Barat semakin bertambah. Pencerobohan ke atas Masjidil Aqsa dan pengyahudian wilayah Baitul Makdis (Jerusalem) semakin giat berlaku. Tembok setinggi 8 meter dan panjang melebihi 700 km dibina di Tebing Barat sebagai alasan keselamatan rejim haram Israel daripada serangan berani mati para mujahidin Palestin. Dan Gaza dibedil dengan kejam pada Disember 2008-Januari 2009 dan November 2012.

Usaha sia-sia ini tidak sekadar di Oslo. Ia berlarutan di Protokol Hebron (1997), Memorandum Wye River (1998), Sharm el-Sheikh (1998), Camp David (2000), Taba (2001), Road Map (2003), dan Annapolis (2007).

Dan setelah lebih 5 tahun ia kesunyian tidak disapa, ia kembali pada Julai 2013 dengan sekali lagi dimediasi oleh penyokong kuat rejim haram Israel, Amerika Syarikat.

Tatkala HAMAS dan seruan jihad mula mendapat tempat di Palestin, rejim haram Israel terus berusaha mencari rakan kongsi untuk membunuh kebangkitan rakyat di wilayah itu. PLO menjadi pilihan tepat kerana ia tidak pernah berhenti menagih walau sekadar sekangkang tanah di Tebing Barat; biarpun status Gaza diletak sebagai ‘wilayah yang tertangguh’ dalam syarat-syarat perundingan.

Terbaru, rejim Israel menunjukkan wajah sucinya dengan membebaskan 26 tahanan Palestin (31 Dis) sebagai tanda komitmen terhadap jalan damai sedang dalam waktu yang sama membedil Kem Pelarian Maghazi di Gaza (24 Dis), menyebabkan kematian seorang anak kecil perempuan berumur 3 tahun, dan meluluskan rang undang-undang yang meletakkan Jordan Valley di bawah penguasaan mereka (29 Dis). Maruah Palestin terus diperkotak-katikkan.

Proses perundingan damai yang sia-sia masih berlangsung. John Kerry, Setiusaha Negara AS, sedang berusaha mengejar masa. Sasarannya adalah April 2014.

Entah derita apa lagi yang sedang menanti rakyat Palestin.

Masih tersisakah maruah Palestin jika PLO terus menerus menagih simpati Israel?

Sesungguhnya jalan perdamaian yang ikhlas murni masih panjang. Dunia masih menanti pejuang kemanusiaan yang sebenar. Presiden Mursi muncul sebentar memberikan harapan tetapi pantas digulingkan.

Siapakah harapan kita seterusnya?

Moga kita tidak ditewaskan oleh masa dan rasa putus asa.

[KJ]

--------------------

* Yasser Arafat dipercayai mati diracun dengan arsenik.

** Yitzhak Rabin mati ditembak puak pelampau Yahudi yang berang kerana beliau menandatangani perjanjian damai dengan PLO.

Ariel Sharon semakin tenat


BAITULMAQDIS 2 Jan. - Keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon yang koma sejak 2006 akibat diserang angin ahmar dilaporkan semakin buruk, semalam.
Jurucakap Hospital Tel Hashomer, Amir Marom tanpa mendedahkan butiran terperinci berkata, 'kesihatan Sharon merosot secara mendadak sejak beberapa hari lalu'.
Anak Sharon, Omri ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas keadaan bapanya itu.
Media Israel melaporkan, Sharon mengalami masalah buah pinggang dan keluarganya kini menjaganya di hospital. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140103/lu_10/Ariel-Sharon-semakin-tenat#ixzz2pHoWgCjn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Israel semakin melampau


BAITULMAQDIS 2 Jan. - Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia hari ini mengutuk tindakan Israel yang menggunakan rumah penduduk awam Palestin sebagai sasaran serbuan semasa latihan tenteranya.
Menurut laporan Al-Jazeera yang memetik jurucakap kumpulan Breaking The Silence, Shai Davidovitch, tindakan pihak tentera Israel di Tebing Barat itu melanggar undang-undang dan membahayakan nyawa orang ramai.
"Kami dimaklumkan bahawa tentera Israel bertindak melampau dengan menyerbu kampung-kampung serta rumah penduduk Palestin semasa menjalankan latihan ketenteraan.
"Anggota tentera Israel juga kadang-kala menahan penduduk Palestin selama berjam-jam tanpa sebarang alasan," kata Davidovitch kepada Al-Jazeera.
Jelasnya, kejadian itu dilaporkan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini sehingga menyebabkan penduduk awam Palestin ketakutan.
Kritikan terhadap Israel itu dibuat ketika Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry tiba di Tel Aviv hari ini bagi menggesa sambungan semula rundingan damai Asia Barat di antara kedua-dua pihak tersebut.
Dialog yang memasuki bulan kelima daripada sembilan bulan waktu ditetapkan itu, terus dibayangi pelbagai isu antaranya kedegilan Israel yang tetap membina penempatan haram mereka di Tebing Barat.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Marie Harf berkata, rangka masa dialog yang dirangka Kerry akan menekankan pelbagai isu penting termasuk hal berkaitan sempadan, pelarian, status Baitulmaqdis, pembinaan penempatan dan keselamatan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140103/lu_04/Israel-semakin-melampau#ixzz2pHnnLygU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Duta Palestin maut dalam letupan


PRAGUE 2 Jan. - Duta Palestin ke Republik Czech, Jamal al-Jamal terbunuh selepas berlakunya letupan di kediamannya di sini, semalam.
Menurut Kementerian Luar Palestin, Jamal, 56, cuba untuk membuka peti keselamatan yang baru dipindahkan ke rumahnya dan menurut sumber kerajaan, letupan itu mungkin berlaku disebabkan oleh peledak keselamatan yang terdapat di dalam peti tersebut.
"Punca kejadian itu masih lagi belum dapat dipastikan, sesetengah peti keselamatan mempunyai mekanisme yang dicipta khas untuk memusnah dokumen penting apabila kuncinya diganggu,'' lapor sumber.
Jurucakap polis, Andrea Zoulova berkata, bukti yang dikumpul polis menyatakan, insiden itu tidak mempunyai kaitan dengan serangan keganasan atau perbuatan jenayah. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140103/lu_09/Duta-Palestin-maut-dalam-letupan#ixzz2pHnbR1hz
© Utusan Melayu (M) Bhd