Netanyahu perlu berundur
Seorang wanita Palestin menjual minyak zaiton di hadapan poster kempen pilihan raya Netanyahu di Givat Zeev di timur Baitulmaqdis. - Foto: AFP
TEL AVIV - Desakan meminta Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya berundur daripada jawatannya itu semakin meningkat menjelang Pilihan Raya Umum Israel pada 17 Mac ini.

Ketua parti pembangkang Yesh Atid, Yair Lapid ketika berucap di hadapan ribuan penyokongnya berkata, rakyat Israel perlu bijak untuk menolak pemimpin yang hanya berjuang untuk kepentingan politiknya sendiri.

"Netanyahu perlu berundur. Kita mesti pastikan bahawa Selasa hadapan adalah hari terakhir dia menjadi perdana menteri," kata Lapid di Holon, semalam.

Perhimpunan itu dihadiri lebih 2,000 orang dan disertai beberapa pemimpin utama daripada parti Kesatuan Zionis.

"Netanyahu tidak pernah kisah dengan keadaan rakyatnya. Dia juga tidak kisah dengan pelan rundingan damai.

"Dia juga tidak kisah dengan nasib penduduk yang tinggal di sepanjang sempadan Gaza. Dia hanya pentingkan kuasa dan kedudukannya," kata Lapid.

Di akhir ucapannya, Lapid meramalkan partinya mampu memberi tentangan sengit terhadap parti Likud pimpinan Netanyahu.

Minggu lalu, puluhan ribu penduduk Israel membanjiri jalan utama menyertai protes mendesak Netanyahu meletak jawatan.

Demonstrasi itu diadakan kerana penduduk sudah bosan dengan sikap putar belit Netanyahu yang sengaja mencetuskan ketegangan di rantau terbabit. - Ynetnews