Wednesday 12 March 2014

Krisis meruncing di Gaza

Krisis meruncing di Gaza
Loji jana kuasa tunggal di Genting Gaza terpaksa menghentikan operasi pada Jumaat ini. 
12 Mac 2014 GENTING GAZA - Loji jana kuasa tunggal di sini mungkin terpaksa menghentikan operasinya pada Jumaat ini akibat masalah kekurangan bekalan bahan api yang dihadapi wilayah itu sejak tahun lalu.

Jurucakap syarikat bekalan kuasa elektrik Gaza, Jamal al-Dardasawi memaklumkan bekalan bahan api yang masih ada sudah tidak dapat menampung 50 peratus keperluan penduduk.

"Kami menjangkakan krisis bekalan kuasa elektrik di Semenanjung Gaza akan menjadi lebih buruk pada hujung minggu ini. Lebih 1.5 juta penduduk mungkin terpaksa bergelap selama beberapa jam pada setiap hari untuk tempoh yang tidak dapat dipastikan.

"Selain itu, krisis bekalan kuasa elektrik tersebut juga dijangka memberi kesan besar kepada operasi kilang dan premis perniagaan," katanya kepada Press TV.

Disember lalu, sebanyak 450,000 liter bahan api yang dibiayai Qatar dihantar ke Gaza sebagai respons terhadap rayuan kecemasan selepas sebahagian besar bandar tersebut lumpuh akibat banjir.

Difahamkan, penutupan laluan Kerem Shalom oleh rejim Zionis dan sempadan Mesir telah menyebabkan krisis bekalan kuasa elektrik di wilayah itu semakin meruncing sejak Jun lalu.