Friday 14 August 2015

Israel ceroboh tapak perkuburan Islam


13 OGOS 2015
Israel ceroboh tapak perkuburan Islam

Israel ceroboh tapak perkuburan Islam Bangunan kafe yang dibina Israel di atas tapak perkuburan Mamilla di Old City.

TEBING BARAT - PALESTIN Kerajaan Israel telah membina sebuah kelab malam di atas tapak perkuburan Islam bersejarah di timur Baitulmaqdis.

Laporan media Press TV dipetik sebagai berkata, tentera Israel telah membuka kelab malam dan kafe haram di atas sebahagian tanah perkuburan Islam Mamilla di Old City.

Langkah tersebut disifatkan sebagai sebahagian dasar rejim Zionis untuk mempercepatkan gerakan pengyahudian selain bertujuan mencemar mercu tanda Islam di bandar bersejarah berkenaan.

Sementara itu, beberapa pertubuhan serantau dan antarabangsa mengutuk tindakan biadab Israel itu yang turut menceroboh kawasan tapak perkuburan Islam.

Liga Arab dalam satu kenyataan pada Isnin menyifatkan tindak-tanduk Israel itu sebagai 'jenayah mengerikan'.

"Selama bertahun-tahun, Israel telah menyasarkan tanah perkuburan ini," katanya.

Difahamkan, tapak perkuburan Ma'manillah merupakan tanah perkuburan tertua dan terbesar di Palestin.

Ia turut menempatkan beberapa makam bersejarah. 

Israel potong bekalan air Palestin


14 OGOS 2015
Israel potong bekalan air Palestin

Israel potong bekalan air Palestin Tindakan pemotongan tersebut kononnya bertujuan untuk menyelaraskan bekalan air di utara Tebing Barat.
RAMALLAH - PALESTIN. Syarikat bekalan air Israel, Mekorot sewenang-wenangnya memotong bekalan air kepada penduduk Palestin yang tinggal di beberapa kawasan di Tebing Barat.

Kelmarin, Pihak Berkuasa Air Palestin (PWA) memaklumkan pemotongan tersebut turut menjejaskan utara bandar Nablus.

"Kami sedang berusaha untuk menyambung semula paip kosong dengan sumber saluran air bersih. Kami telah menghubungi Mekorot untuk bertanyakan mengenai hal itu, namun tiada respons hingga kini," kata jurucakapnya.

Dalam satu kenyataan lain, Tel Aviv memaklumkan tindakan itu dibuat kononnya bertujuan untuk melaraskan bekalan air di utara Tebing Barat susulan penggunaan yang meningkat sejak akhir-akhir ini.

Minggu lalu, puluhan penduduk Palestin di perkampungan Kafr Qaddum di utara Tebing Barat mengadakan protes bantah dan duduk sebagai membantah tindakan Mekorot yang memotong bekalan air di kampung mereka.

Menurut kumpulan pemerhati hak asasi manusia, penduduk Israel termasuk pendatang Yahudi menggunakan sehingga 300 liter  air sehari manakala penduduk Palestin hanya diberi akses kira-kira 70 liter untuk kegunaan harian mereka, lapor Press TV.