Tuesday 21 July 2015

Zionis tangguh serangan darat

Zionis tangguh serangan darat
Kereta kebal Israel tidak melakukan serangan darat sementara menunggu arahan Netanyahu.

BAITULMAQDIS - Israel menangguhkan rancangan melakukan serangan darat selepas tekanan memuncak dari negara antarabangsa.

Menteri Israel menangguhkan operasi serangan darat ke Tebing Gaza bagi memberi peluang kepada usaha perdamaian sementara yang diketuai Mesir.

Jurucakap kerajaan Israel berkata, penangguhan itu dianggap bukan gencatan senjata tetapi sekadar berpeluang untuk mencapai gencatan senjata jika usaha damai itu berjaya.

“Satu keputusan sudah dibuat iaitu dengan menangguhkan sementara serangan darat bagi memberi peluang kepada usaha diplomasi,” katanya selepas mesyuarat membabitkan menteri Israel dan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, lewat malam tadi.

Sementara itu, di Tel Aviv, Menteri Dalam Negara Zahava Gal-On meminta gencatan senjata sementara dilakukan kerana jumlah kematian makin meningkat.

“Gencatan senjata harus dipersetujui Perdana Menteri Mahmoud Abbas.Mereka harus menghentikan serangan ke Israel. Jika berdegil kami akan teruskan bedilan,” katanya.

Sementara itu, Pusat Hak Asasi Manusia Palestin melaporkan, sepanjang 24 jam semalam, lebih 17,000 rakyat Palestin dari utara Gaza, telah berlindung di sebuah sekolah yang didirikan oleh PBB, dipetik dari laporan AFP/Haaretz.

Jurutera Gaza dipenjara

Jurutera Gaza dipenjara
Abu Sisi (tengah) disabit bersalah atas tuduhan membantu meningkatkan keupayaan roket Hamas yang digunakan untuk menentang rejim Zionis.

BAITULMAQDIS - Mahkamah Israel kelmarin menjatuhkan hukuman penjara 21 tahun terhadap jurutera warga Palestin kerana membantu gerakan Hamas untuk meningkatkan keupayaan roket yang digunakan untuk menentang negara Yahudi.

Dirar Abu Sisi ditahan rejim Zionis ketika mengunjungi Ukraine pada 2011.

Selepas ditahan, bekas ketua loji janakuasa Gaza itu dipindahkan secara rahsia ke Israel.

Dalam perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Daerah Beersheba, Abu Sisi mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan termasuk menyertai pertubuhan militan dan menaik taraf roket buatan sendiri milik sayap bersenjata Hamas yang digunakan untuk menentang rejim Zionis. 

"Tertuduh didapati bersalah atas kesalahan yang dilakukan selama beberapa tahun terhadap keselamatan negara serta beberapa tuduhan lain," kata seorang pegawai.

Pejuang Palestin di Semenanjung Gaza sering melancarkan serangan roket dan bom mortar ke wilayah Israel sejak beberapa tahun lalu namun serangan berkenaan semakin berkurangan sejak perang pada 2014. - Reuters

6 serangan bom kereta di Gaza


sebuah kereta yang digunakan dalam serangan bom kereta di bandar
Sebuah kereta yang digunakan dalam serangan bom kereta di bandar Sheikh Radwan, Gaza City menyebabkan dua orang cedera, semalam. AGENSI
GAZA CITY 19 Julai – Sekurang-kurangnya dua orang cedera dalam enam serangan bom kereta di utara Gaza City, hari ini.
Portal Al-Jazeera melaporkan letupan itu berlaku serentak awal pagi ini di bandar Sheikh Radwan.
Kereta-kereta tersebut dipercayai milik pegawai pergerakan Hamas dan sayap bersenjata Hamas, Briged al-Qassam.
Wakil Al-Jazeera, Tamer Almisshal melaporkan daripada salah satu lokasi letupan itu bahawa pihak berkuasa Palestin telah menutup laluan ke lokasi kejadian.
“Mereka telah memulakan siasatan tetapi belum ada kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri,” ujar Almisshal.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu tetapi seorang saksi berkata, dia menyaksikan pertempuran antara pasukan keselamatan Hamas dan anggota setia kepada Kumpulan Negara Iraq dan Jajahan (ISIL), awal bulan ini.
ISIl mengancam Hamas dalam satu video yang di muat naik awal bulan ini dan berikrar untuk menamatkan pertempuran di wilayah Palestin ini. –AFP/AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/6-serangan-bom-kereta-di-gaza-1.114868#sthash.ZXzOoLoV.dpuf