Monday, 26 October 2015

Palestin tolak rancangan Israel pasang kamera di Al-Aqsa

Kamera keselamatan rancangan Israel dipasang di Al Aqsa mendapat bantahan pemimpin Palestin.
ISNIN, 26 OKTOBER 2015 @ 12:46 AM
BAITULMAQDIS: Pemimpin Palestin menolak rancangan memasang kamera keselamatan di Masjid Al-Aqsa walaupun perkara itu sudah dipersetujui Amerika Syarikat (AS), Israel dan Jordan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berharap perjanjian itu mengekalkan status quo di pekarangan masjid dikenali Temple Mount dalam kalangan penganut Yahudi, di sini, dapat mengurangkan ketegangan yang mencetuskan keganasan memuncak sejak beberapa minggu lalu.
Menteri Luar Palestin, Riyad al-Malki, memberitahu Voice of Palestine, rancangan itu adalah satu perangkap kerana Israel akan menggunakan rakaman video bagi menangkap penganut Islam.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, berkata video pengawasan 24 jam itu mungkin satu titik perubahan dalam mengekalkan kesucian Masjid Al-Aqsa, kawasan suci ketiga umat Islam, namun rakyat Palestin menempelak bahawa beliau jelas mengabaikan masalah asas yang berlaku di situ. - AGENSI

Haram doktor jejak bumi Israel helah tutup kezaliman



BERNAMA menemu bual secara eksklusif doktor dan aktivis dari Norway yang lantang memperjuangkan hak rakyat Palestin, Dr Mads Gilbert, ketika lawatannya ke Malaysia baru-baru ini.
Beliau menceritakan pengalamannya sebagai doktor bedah sukarela di Hospital As-Shifa di Gaza, ketika serangan Israel paling dahsyat ke atas Gaza, serta membincangkan betapa berkesannya usaha gerakan perpaduan dalam mengembalikan hak rakyat Palestin.
Ternyata Dr Mads Gilbert, seorang aktivis yang digeruni Israel. Pada November 2014, beliau diharamkan Israel daripada menjejakkan kaki lagi di bumi Gaza. Pakar pembedahan trauma berusia 68 tahun itu tersenyum sinis ketika ditanya soal itu.
TUNJUK perasaan secara aman di beberapa bandar besar di Amerika bagi membantah serangan terhadap Palestin pada tahun 2009.
"Alasan mereka, saya seorang yang berbahaya. Kalaulah kerana stetoskop dan kamera pun dianggap berbahaya, jelaslah betapa Israel nekad menyembunyikan keadaan sebenar di Gaza," katanya kepada BERNAMA dalam satu temu bual eksklusif.
Jika dilihat latar belakang Dr Gilbert, memang tidak disangka beliau menjadi seorang pejuang hak rakyat Palestin. Beliau membesar di Norway ketika negara itu kuat di bawah pengaruh Zionis.
"Di sekolah, kami hanya diajar mengenai hak Israel, tanpa diberitahu yang negara itu diwujudkan atas rasa bersalah satu bangsa lain. Orang Eropah rasa terhutang budi kepada orang Yahudi kerana peristiwa Holocaust. Itu memang satu jenayah yang dahsyat, tetapi ia bukan dilakukan rakyat Palestin, jadi bukan mereka yang sepatutnya melangsaikan hutang itu," katanya.
Kali pertama beliau menyaksikan kekejaman ke atas rakyat Palestin adalah ketika menjadi doktor sukarela ketika pengeboman di Beirut, Lebanon, pada tahun 1981. Pengalaman itu menghantuinya, sehingga beliau kembali pada tahun berikutnya untuk memberi bantuan ketika pembunuhan beramai-ramai Sabra dan Shatila.
DR Gilbert menunjukkan buku karyanya, Night in Gaza ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto BERNAMA
Kekejaman tentera Israel
"Itulah kali pertama saya dapat melihat dengan jelas implikasi kekejaman jentera perang Israel. Ia menjadikan saya betul-betul terkesan," katanya.
Sebagai seorang pakar anestesiologi dan pensyarah perubatan, beliau terbabit dengan pelbagai projek di serata dunia secara sukarela. Namun, sejak 15 tahun lalu, usahanya tertumpu ke Gaza. Beliau bertugas di Hospital As-Shifa ketika empat serangan kejam ke atas Gaza pada tahun 2006, 2009, 2012 dan 2014.
Serangan pada tahun 2014 dianggap paling dahsyat yang pernah dialaminya. Beribu-ribu tan bom dilepaskan ke atas bumi Gaza yang hanya bersaiz 365 kilometer persegi dalam masa 51 hari. Seramai 2,251 rakyat Palestin terbunuh, termasuk 551 kanak-kanak. Menurut perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 10,000 tercedera dan lebih 100,000 kehilangan tempat tinggal.
Segala kesengsaraan mereka dirakamkannya dalam buku kedua beliau, Night in Gaza. Isi kandungannya sukar dibaca tanpa terlerai air mata. Buku pertamanya Eyes in Gaza, yang ditulis bersama rakan senegara, Dr Erik Fosse, pula mengisahkan pengalaman mereka di As-Shifa ketika serangan pada tahun 2009.
Tahun itu, Israel menghalang media antarabangsa memasuki Gaza. Bagaimanapun, kedua-dua doktor itu berjaya memasuki Gaza dengan bantuan $1 juta dari kerajaan Norway.
Dr Gilbert tidak mensia-siakan peranannya sebagai sukarelawan luar ketika itu. Selain merawat pesakit, beliau turut meluangkan masa melaporkan keadaan di lapangan kepada media tempatan yang juga wakil kepada media luar seperti BBC, CNN dan Al-Jazeera. Laporannya di media sosial serta surat terbuka yang ditulisnya ketika serangan pada tahun 2014 juga pantas menjadi viral.
DR Gilbert merawat pesakit ketika bertugas di Hospital As Shifa di Gaza.
Laporan buka mata dunia
Laporannya daripada perspektif peribadi dan perubatan, serta gambar menyayat hati yang disertakan, menggemparkan dunia yang lena dan terlupa mengenai kesengsaraan saudara mereka di Palestin.
Nyata pendedahan beliau membuatkan Israel tidak senang duduk kerana berjaya menyemarakkan lagi Gerakan Boikot, Penjualan dan Sekatan (BDS)," kempen yang amat berpengaruh dalam menggugat kedudukan ekonomi dan politik Israel.
Namun beliau percaya usahanya yang paling penting adalah yang dilakukannya di negara sendiri. Ini termasuk menghidupkan gerakan perpaduan Palestin di Norway dan mendedahkan kepada mereka realiti kehidupan di Palestin. Usaha ini akhirnya menyebabkan perubahan dramatik pandangan Norway terhadap isu Israel-Palestin.
Ketika zaman pro-Zionis Norway, negara itu membekalkan 'heavy water' kepada Angkatan Tentera Israel (IDF) untuk menghasilkan bom atom. Orang kenamaan dan Perdana Menteri Israel, termasuk Golda Meir, juga sering ke
Norway ketika itu.
Bagaimanapun, semua ini berubah pada tahun 2000. Tahun berikutnya menyaksikan Tromsø menjadi bandar kembar Gaza.
Gerakan perpaduan Palestin di Norway sangat kukuh, biarpun ketika pengaruh Zionis masih kuat. Ramai anak muda yang pada asalnya sangsi mengenai kezaliman yang dilakukan IDF ke atas Palestin berubah fikiran selepas ditempatkan di Palestin sebagai tentera keamanan PBB.
"Di sana acapkali dikatakan anak muda yang meninggalkan Norway 99 peratus adalah pro-Israel tetapi bila pulang 99 peratus pro-Palestin.
"Saya rasa hujah terbaik bagi pihak Palestin ialah realiti di lapangan. Lihatlah sistem aparteid yang diamalkan di sana, penindasan diasporanya dan yang paling nyata, pengepungan dan pengeboman yang berulang kali di Gaza," katanya.
Perubahan dasar Norway ke atas Palestin turut memberi impak positif kepada Dr Gilbert. Sebelum tahun 2009, kerja sukarela hanya dilakukan ketika mendapat cuti.
"Kini, saya melakukan kerja amal ini sebagai wakil hospital kerajaan saya," katanya yang bertugas sebagai Ketua Perubatan dan Pakar Anestetik di University Hospital of North Norway dan pensyarah perubatan kecemasan di University of Tromsø.

MAYAT mangsa pembunuhan beramai-ramai di kem Sabra dan Shatila pada awal tahun 1980-an.
Kempen boikot gugat ekonomi Israel
Sesetengah rakyat Malaysia masih ragu-ragu mengenai keberkesanan Gerakan Boikot, Penjualan dan Sekatan (BDS)
"Saya faham perasaan itu, tapi kita kena lihat realitinya. Banyak syarikat korporat yang disasar BDS, seperti Veolia dan G4S, mengalami kerugian besar akibat beroperasi dan mengaut keuntungan di tanah Palestin yang diduduki Israel.
"Kita harus ingat G4S yang bertanggungjawab menguruskan penjara kanak-kanak di Israel dan benteng aparteid di Tebing Barat. Kempen BDS Norway menyasar G4S dan ia berkesan. Mereka akhirnya terpaksa gulung tikar di Norway," kata Dr Gilbert.
Syarikat antarabangsa Veolia pula membina landasan kereta api dari Tel Aviv ke Jerusalem secara haram di atas tanah Palestin. Selepas aktiviti mereka didedahkan oleh kempen BDS, syarikat itu kini kerugian berbilion dolar dan menutup operasinya di Israel.
"Jadi tidak syak lagi boikot memang berkesan. Ia menggugat ekonomi Israel. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata negara itu sedang menghadapi dua ancaman strategik iaitu BDS dan Iran. Kini mereka cuba menjadikan sokongan BDS satu jenayah di Amerika Syarikat dan Kanada.
"Sungguh memalukan tindakan itu, kerana BDS satu kaedah bantahan yang aman dan demokratik. Negara Barat pula bukan tidak pernah mengenakan sekatan sedemikian ke atas Iran, Iraq dan Libya," katanya, sambil menambah bahawa dunia Barat mengenakan sekatan ke atas negara lain sejak berdekad lalu.
"Ketika tumpahan darah di Gaza Julai lalu, pihak PBB, AS dan Kesatuan Eropah sibuk mengenakan sekatan, bukan ke atas Israel, tetapi Russia. Ia hanya mengambil mereka beberapa hari untuk mengenakan sekatan ke atas kerajaan dan rakyat Russia. Ini menunjukkan sekatan dan boikot mampu digunakan negara Barat ke atas mana-mana rejim di dunia kecuali Israel," katanya.
Beliau menggesa rakyat Malaysia mengikuti kempen BDS dengan menyasar hanya syarikat besar yang mengaut keuntungan atas penindasan rakyat Palestin. - BERNAMA

Protes dasar Netanyahu


Protes dasar Netanyahu

26 OKTOBER 2015
Protes dasar Netanyahu Protes tersebut turut disertai anggota beberapa parti berhaluan kiri di Knesset.

TEL AVIV - ISRAEL. Ribuan penunjuk perasaan di Israel membanjiri jalan utama di sini, kelmarin sebagai membantah dasar Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang didakwa menjadi punca peningkatan gelombang keganasan di wilayah Palestin termasuk di Genting Gaza.

Protes anjuran kumpulan aktivis, Peace Now itu turut berarak dari Dataran Habima menuju ke ibu pejabat Kementerian Hal Ehwal Ketenteraan sambil melaungkan slogan mendesak pemimpin tersebut menghentikan konflik tersebut dan menyertai sesi dialog dengan Palestin.

Seorang peserta protes, Daniel Dojon memberitahu dia turut serta dalam demonstrasi tersebut kerana situasi dilihat semakin meruncing di wilayah terbabit.

"Saya tidak bercakap mengenai keselamatan sebaliknya krisis ini berlaku kerana kelemahan dalam politik hingga menyebabkan ahli politik Israel menjadi lebih ekstrem," katanya.

Sementara itu, anggota parti berhaluan kiri, Meretz, Zehava Gal-On mendakwa Netanyahu gagal menyediakan keselamatan peribadi untuk penduduk Israel.

Dalam perkembangan lain, jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra mengesahkan seorang lagi penduduk Palestin maut akibat ditembak tentera Zionis.

Menurutnya, Khalil Hassan Abu Obeid, 25, ditembak dalam insiden pertempuran di bahagian timur Khan Younis. - Press TV

AS kurangkan bantuan kepada Palestin


REUTERS - Kerry (kiri) dilihat berbual dengan Mahmoud (dua dari kanan) selepas menghadiri mesyuarat di Amman, Jordan kelmarin.


AMMAN – Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan bantuan ekonomi kepada pihak berkuasa Palestin, antaranya disebabkan ‘tindakan tidak wajar’ yang dilakukan, kata seorang diplomat AS kelmarin.
Sebuah laman berita Al-Monitor, sebelum ini melaporkan Jabatan Negara AS berniat mengurangkan bantuan kepada Tebing Barat dan Gaza bagi tahun 2016 daripada AS$370 juta (RM1.8 bilion) kepada AS$290 juta (RM1.2 bilion).
Seorang pegawai Jabatan Negara AS yang mengiringi Setiausaha Negara AS, John Kerry dalam lawatan ke Amman, Jordan mengesahkan pemotongan dana bantuan tersebut.
“Keputusan untuk mengurangkan bantuan kepada pihak berkuasa Palestin telah dibuat pada musim bunga lalu.
“Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada keputusan ini, termasuk tindakan tidak wajar diambil pihak Palestin dan kekangan ke atas bajet bantuan global kami,” katanya kepada wartawan.
Pengurangan bantuan itu tidak berkait secara langsung dengan siri keganasan yang kini membelenggu wilayah Palestin dan Israel, jelas pegawai tersebut.
Sumber itu bagaimanapun menambah; “Kami telah menyatakan dengan jelas kebimbangan tentang retorik yang menimbulkan kemarahan sejak beberapa minggu lalu.”
Al-Monitor yang memetik laporan akhbar Israel, Haaretz menyatakan pemotongan itu menyusul selepas kritikan hebat di dalam Kongres AS mengenai ‘hasutan’ terhadap penduduk Palestin.
Kerry berada di Amman kelmarin untuk mengadakan perbincangan dengan Raja Abdullah II dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengenai cara untuk menamatkan pertempuran berdarah terbaru itu.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada langkah diplomatik mengejut bagi meredakan ketegangan yang dikhuatiri akan memulakan kebangkitan intifada baharu dalam kalangan penduduk Palestin. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3pcVfq9y0 
Hakcipta terpelihara 

Israel mahu patuhi status masjid Al-Aqsa


AFP - PENDUDUK Islam Palestin menunaikan solat Jumaat di pekarangan masjid Al-Aqsa pada 23 Oktober lalu selepas Israel membuka semula sekatan ke atas semua peringkat usia untuk memasuki kawasan masjid berkenaan.


BAITULMUQADDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan mengekalkan pendiriannya kelmarin untuk tidak membenarkan orang bukan Islam bersembahyang di pekarangan masjid Al-Aqsa.
“Israel menegaskan kembali komitmennya untuk mengekalkan status quo terhadap Temple Mount (masjid Al-Aqsa) dalam bentuk ayat dan tindakan.
“Israel akan terus menguatkuasakan polisi jangka panjangnya bahawa orang Islam boleh bersembahyang di masjid berkenaan dan orang bukan Islam hanya dibenarkan untuk melawat,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respon kepada kenyataan Ketua Setiausaha Amerika Syarikat, John Kerry selepas pertemuannya bersama Raja Abdullah II dan pemimpin Palestin, Mahmud Abbas di Amman.
Kerry memberitahu bahawa Israel bersetuju dengan langkah-langkah untuk meredakan kete­gangan di zon konflik tersebut termasuk kamera pengawasan 24 jam yang tidak dinyatakan di dalam kenyataan Netanyahu.
Ketegangan di Al-Aqsa telah tercetus dalam gelombang baharu yang menyaksikan serangan pisau dan senjata menentang tentera Zionis selepas Israel menyekat umat Islam masuk ke masjid Al-Aqsa. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1026&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3pcVIMITP 
Hakcipta terpelihara