Remaja berusia 17 tahun itu ditembak mati selepas dia didakwa cuba menikam anggota polis sempadan Israel di bandar Hebron, tetapi saksi kejadian berkata, mangsa tidak membawa sebarang senjata.
Kematian remaja tersebut menjadikan angka korban penduduk Palestin sejak konflik antara Palestin-Israel tercetus awal bulan ini, meningkat kepada 53 orang.
Dalam kejadian berasingan, seorang penduduk Palestin cedera parah zaitun akibat ditembak seorang pendatang haram Yahudi ketika dia sedang mengutip buah zaitun.
Dua penduduk Israel turut dilaporkan cedera dalam kejadian tikaman yang berlaku di lokasi berasingan di Tebing Barat.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bersetuju dengan pelan pemasangan lebih banyak kamera keselamatan di Masjid Al-Aqsa dengan alasan mahu meredakan ketegangan di kawasan terbabit.
Netanyahu berkata, langkah pemasangan kamera keselamatan 24 jam itu perlu diteruskan bagi mencari dalang yang mencetuskan provokasi dan menjaga kepentingan Israel.
“Pertama, pemasangan kamera dilakukan bagi menyangkal dakwaan Israel mencabuli perjanjian status quo (Masjid al-Aqsa).
“Kedua, pemasangan kamera dapat menunjukkan siapa pihak yang bertanggungjawab mencetuskan provokasi dan menghalang kejadian itu berlaku,” katanya.
Menurut Menteri Pertahanan Israel, Moshe Yaalon, kamera keselamatan yang dipasang sebelum ini berada di luar kawasan perkarangan Masjid al-Aqsa dan peralatan tersebut akan dipasang di dalam kawasan masjid. – AFP