Peguam Ashraf Abu Sneina yang mewakili Mohammad berkata, anak guamnya itu yang ditahan oleh pihak Israel kini berada dalam koma buat kali ketiga.
Beliau memberitahu Al-Jazeera, Mohammad hanya minum air dua kali sahaja pada minggu ini sejak melancarkan mogok lapar 58 hari lalu.
Mahkamah Tinggi Israel, baru-baru ini memberitahu akan menimbangkan rayuan untuk membebaskan Mohammad, 33, pada 25 Februari ini, namun banyak pihak yang menyifatkan tempoh itu terlalu lambat.
Mohammad melancarkan mogok lapar pada 24 November lalu sebagai membantah penahanannya atas undang-undang pentadbiran Israel.
Tahanan pentadbiran merupakan amalan pihak Israel untuk memenjarakan penduduk Palestin tanpa didakwa atau bicara dengan bukti-bukti yang dirahsiakan.
Ashraf bimbang anak guamnya akan mati kelaparan sebelum bermulanya pendengaran kes berkenaan di mahkamah.
“Tiada masa lagi untuk Mohammad, kami melakukan yang terbaik untuk memastikan dia tidak mati di dalam penjara,’’ kata peguam itu.
Kata Ashraf, Mohammad tidak merancang untuk menamatkan mogok berkenaan dan akan meneruskan tindakannya sehingga ke hujung nyawa.
Mohammad merupakan wakil televisyen al-Majd yang dimiliki Arab Saudi yang menerima siaran di seluruh negara Arab.
Dia yang mempunyai dua anak berasal dari perkampungan Dura dekat Hebron di kawasan selatan Tebing Barat.
Beberapa kumpulan wartawan Palestin turut melancarkan mogok lapar sebagai tanda sokongan terhadap Mohammad.