Ziad Abu Ein, menteri tanpa portfolio yang mengetuai Jawatankuasa Penempatan dan Anti Penjajahan penduduk Palestin di bawah pimpinan kerajaan Pihak Berkuasa Palestin (PA), kelihatan mengurut dadanya yang sakit sebelum dilapor rebah serta pengsan sebaik-baik dipukul dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sebuah hospital.
TURMUSIYA, Tebing Barat 10 Dis. - Seorang menteri Palestin, meninggal dunia selepas dihentak di bahagian dada oleh tentera Israel menggunakan bucu senapang ketika menyertai satu bantahan di sini hari ini.
Ziad Abu Ein, menteri tanpa portfolio yang mengetuai Jawatankuasa Penempatan dan Antipenjajahan penduduk Palestin di bawah pimpinan kerajaan Pihak Berkuasa Palestin (PA), dilapor rebah serta pengsan selepas dipukul dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke sebuah hospital.
Beberapa keping gambar oleh Reuters menunjukkan seorang anggota tentera Israel mencekik Ziad selepas satu perselisihan tercetus.
Rakaman video disiarkan portal berita rt.com pula memaparkan pemimpin itu terduduk memegang dada sambil menahan sakit sebelum rebah.
Seorang pemimpin kanan pergerakan Fatah, Mahmoud Aloul yang berada bersama mangsa dalam demonstrasi itu turut mengesahkan kejadian tersebut.
“Saya bersama Ziad dan penduduk yang lain membawa dahan pokok zaitun semasa satu protes menentang rampasan tanah oleh peneroka haram Yahudi di Turmusiya, di timur laut Ramallah.
“Ketika itu, sekumpulan tentera Israel melepaskan gas pemedih mata dan memukul sebahagian daripada kami menggunakan senapang,” katanya.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengutuk sekeras-kerasnya kejadian itu yang disifatkan pembunuhan kejam dan tidak boleh diterima.
“Kita akan mengambil langkah yang perlu selepas siasatan kes ini dijalankan,” katanya seperti laporan agensi berita WAFA.
Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki pula berkata, Israel bertangggungjawab di atas pembunuhan Ziad dan perlu membayar ganti rugi.
Ziad sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Tahanan Palestin. – REUTERS/AGENSI