Thursday 4 June 2015

Isu Palestin menyebabkan Israel hilang kredibiliti – Obama





BAITULMUQADDIS – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menyatakan Israel berisiko kehilangan kredibiliti disebabkan pendirian Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu mengenai pembentukan sebuah negara Palestin menerusi satu temu bual kelmarin.

Beliau memberi respons tersebut menerusi stesen televisyen Israel selepas ditanya mengenai penubuhan negara Palestin sebelum dan selepas pilihan raya rejim Zionis itu pada Mac lepas.

Netanyahu sebelum ini mencetuskan kebimbangan antarabangsa selepas menolak penubuhan negara Palestin ketika berkempen untuk pilihan raya umum pada 17 Mac lepas tetapi menarik balik kenyataan tersebut.

“Bahayanya di sini ialah Israel secara keseluruhan akan kehilangan kredibiliti.

“Masyarakat antarabangsa tidak percaya bahawa Israel serius mengenai penyelesaian dua negara,” ujar Obama dalam temu bual bersama stesen televisyen tempatan, Channel 2.

Ahad lepas, Netanyahu memberitahu, dia komited untuk menubuhkan negara Palestin dan menyeru pemimpin di negara tersebut untuk kembali mengadakan rundingan tanpa syarat.

Obama bagaimanapun menegaskan, kenyataan Netanyahu mengenai isu itu selepas pilihan raya mempunyai terlalu banyak ancaman dan banyak syarat yang tidak realistik untuk dipenuhi.

Ketika ditanya mengenai kuasa veto berterusan AS di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan resolusi mengecam Israel, Obama berkata, ketiadaan perkembangan usaha damai menyebabkan polisi menjadi lebih sukar.

– AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3c2VM60RB
Hakcipta terpelihara