Tuesday 9 June 2015

Israel tahan 93 kanak-kanak Palestin


BAITULMAQDIS 8 Jun – Sejumlah 93 orang kanak-kanak Palestin dilapor ditahan di Penjara Ofer, Israel, de­ngan hanya lapan daripadanya telah dijatuhi hukuman atas pelbagai kesalahan, manakala selebihnya masih belum dikenakan hukuman.
Sebanyak 93 orang kanak-kanak Palestin, kini ditahan di Penjara Ofer milik Israel di Tebing Barat. AGENSI
Portal berita presstv.ir melaporkan, Jawatankuasa Pihak Berkuasa Hal Ehwal Banduan Palestin (CPA) dalam satu laporan semalam memaklumkan, sebanyak 28 orang daripada kanak-kanak itu mende­rita pelbagai penyakit berbeza.
Menurut laporan tersebut, sejumlah 161 remaja Palestin berumur 18 tahun ke bawah ditahan anggota tentera Israel sejak awal tahun ini sehingga penghujung bulan Mei lalu.
Kebanyakan kanak-kanak yang ditahan, turut melaporkan hak mereka dicabul secara terang-terangan semasa dalam tahanan tentera Israel.
Seorang peguam CPA, Heba Masalha yang berkesempatan melawat sebahagian banduan di penjara itu berkata, tentera Israel pada 31 Mei lalu secara ganas memukul dan mendera remaja yang ditahan semasa sesi soal jawab dilakukan.
Sekurang-kurangnya 182 orang individu bawah umur Palestin dilaporkan ditahan di penjara-penjara di Israel termasuk 26 orang yang berumur bawah 16 tahun.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/israel-tahan-93-kanak-kanak-palestin-1.100618#sthash.t2R6NzXc.dpuf

Pengaruh IS ancaman baharu kepada Hamas


Gambar bertarikh 5 Mei lalu, menunjukkan seorang pegawai polis

Gambar bertarikh 5 Mei lalu, menunjukkan seorang pegawai polis Hamas, memantau keselamatan di Gaza City. Hamas kini berdepan ancaman baharu dibawa oleh kumpulan yang menyokong ideologi militan IS. AP
GAZA CITY 8 Jun – Pergerakan Hamas berdepan ancaman baharu ekoran kemunculan kumpulan penyokong militan Negara Islam (IS) di Genting Gaza yang dilihat sengaja melancarkan provokasi terhadap Israel bagi meningkatkan tekanan dan memalukan pejuang Palestin itu.
Walaupun kemunculan kumpulan berfahaman Salafi itu tidak cukup kuat untuk mengancam kedudukan Hamas sebagai pemerintah Gaza, tetapi kehadiran mereka memberi kesan buruk kepada imej dan kredibiliti pergerakan Palestin itu yang dituduh terlibat dalam siri serangan roket ke tanah jajahan rejim Zionis sejak beberapa minggu lalu.
Kumpulan pelampau itu juga dilaporkan bertanggungjawab dalam siri serangan bom di beberapa pusat keselamatan Hamas, sekali gus mencetuskan konflik dalaman di wilayah Gaza yang masih dihantui peperangan selama 50 hari dengan Israel pada tahun lalu.
Hamas secara umumnya bertolak-ansur dengan kemunculan fahaman Salafi di Gaza sejak 10 tahun lalu walaupun kedua-dua kumpulan berkenaan pernah terlibat dalam beberapa siri persengketaan sehingga memaksa pergerakan Palestin itu memansuhkan kumpulan pelampau terbabit secara senyap.
Namun sejak beberapa bulan lalu, kumpulan Salafi memberanikan diri untuk mengagungkan kebangkitan militan IS sebagai mengambil kesempatan terhadap pentadbiran Hamas yang lemah akibat perang pada tahun lalu dan sekatan yang dikuatkuasakan oleh Israel dan Mesir.
Penganalisis melaporkan, kira-kira 1,000 pengikut fahaman Salafi yang setia kepada militan IS, berpotensi mencetuskan masalah kepada pergerakan Hamas dengan menyebarkan sentimen anti-Hamas dan melancarkan serangan roket ke Israel bagi menggugat perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada tahun lalu.
Bagaimanapun pergerakan Hamas bertindak pantas memerangi ancaman baharu itu dengan memburu pemimpin kumpulan radikal, memusnahkan lokasi penyebaran ideologi, menahan berpuluh-puluh aktivis pro-IS dan melancarkan serbuan rumah ke rumah untuk merampas senjata.
Pihak keselamatan Hamas juga melancarkan operasi sekatan jalan pada waktu malam untuk memburu suspek yang terlibat dalam gerakan menyebarkan ideologi IS di Gaza.
Pegawai Hamas, Mushir al-Masri berkata, tindakan tersebut merupakan jalan terakhir bagi memastikan keamanan di Gaza dapat dikekalkan. – AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pengaruh-is-ancaman-baharu-kepada-hamas-1.100626#sthash.yT3fQOiW.dpuf