Seorang kanak-kanak lelaki Palestin, Ahmed Manasrah, 13, terpaksa menerima rawatan selepas cedera dipukul ketika disoal siasat Israel, baru-baru ini. REUTERS
BAITULMAQDIS 24 Nov.– Sebuah jawatankuasa kehakiman Israel meluluskan satu rang undang-undang yang dikritik hebat pertubuhan hak asasi manusia kerana membenarkan kanak-kanak Palestin seawal umur 12 tahun dipenjarakan.
Diluluskan oleh Jawatankuasa Kementerian untuk Undang-Undang Israel kelmarin, rang undang-undang itu membolehkan Israel memenjarakan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke atas yang didapati bersalah melakukan keganasan ‘berunsur nasionalis’ termasuk membunuh, cubaan membunuh, dan membunuh tanpa niat.
Bagaimanapun portal Al Jazeera melaporkan, rang undang-undang itu masih perlu diluluskan Parlimen Israel atau Knesset.
Menurut kumpulan hak asasi manusia, rang undang-undang itu akan memberi kesan kepada kanak-kanak Palestin di Baitulmaqdis Timur yang dijajah rejim Zionis termasuk penduduk yang tinggal di bandar dan kampung di seluruh wilayah tersebut.
Buat masa ini, kanak-kanak Palestin di Baitulmaqdis Timur tidak boleh dipenjarakan melainkan mereka berusia 14 tahun ke atas.