WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT . Pihak tidak bertanggungjawab didakwa telah melancarkan laman web baharu yang mendedahkan maklumat kumpulan pelajar dan aktivis pro-Palestin di Amerika Syarikat (AS).
Laman digelar sebagai Canary Mission itu, dipercayai mula beroperasi pada pertengahan Mei secara terang-terangan memaparkan gambar serta pautan ke profil media sosial milik kira-kira 54 aktivis, penuntut universiti dan profesor di negara tersebut.
Bagaimanapun, kumpulan terbabit dilaporkan bertindak menyembunyikan identiti anggota dan kumpulan penyokong mereka, namun pemeriksaan ke atas kod zip mendapati ia adalah milik pengguna di Bronx termasuk Universiti Fordham.
Hasil siasatan awal mendapati tujuan sebenar kumpulan terbabit adalah untuk menghalang mereka daripada diterima bekerja di firma di seluruh AS.
Difahamkan, pengasas gerakan boikot, lupus dan sekat (BDS), Omar Barghouti yang bertujuan untuk memberi tekanan kepada ekonomi dan politik Israel turut tersenarai dalam laman web terbabit.
Pembikin filem, Rebecca Pierce menyifatkan laman web tersebut berunsur perkauman dan sengaja memburukkan gerakan mereka yang memperjuangkan nasib penduduk Palestin.  - Press TV