Sunday, 21 April 2013

Polis Israel dikecam dedahkan remaja Palestin kepada bahaya



21/04/2013 3:04am

BAITULMUQADDIS - Polis Israel telah menggunakan seorang remaja Palestin sebagai ‘perisai tubuh’ apabila berdepan dengan sekumpulan penunjuk perasaan yang sedang marah di kejiranan Abu Dis. Tindakan itu membuatkan rasa kurang senang pihak aktivis hak asasi manusia.
Walau bagaimanapun, polis menyatakan bahawa tujuan tindakan itu dibuat adalah untuk meredakan kemungkinan berlaku keganasan.
Badan Perlindungan Kanak-Kanak Antarabangsa Palestin (DCI) telah menayangkan klip video berdurasi 76 saat melalui YouTube yang menunjukkan beberapa orang polis Israel memaksa seorang remaja Palestin dikenali sebagai Muhammad R, 17, keluar daripada jip tahanan dan berdiri di sebelah mereka. Remaja itu disuruh mengangkat tangannya yang bergari ke atas kepala.
“Kami amat marah apabila polis Israel terus-terusan menggunakan anak-anak Palestin sebagai ‘perisai tubuh’. Dalam kes ini, remaja itu sengaja didedahkan kepada bahaya selepas dia ditahan. Pihak berkuasa Israel seharusnya menjalankan etika tangkapan dan siasatan yang betul,” kata wakil badan tersebut, Ayed Abu Eqtaish.
Jurucakap polis sempadan Israel, Shai Hachimi berkata, pegawai polis yang menjalankan tugas itu berbuat demikian untuk menunjukkan bahawa remaja itu tidak diapa-apakan seterusnya untuk meredakan kemarahan 400 penunjuk perasaan Palestin termasuk yang membaling batu dan bom petrol kepada pihak berkuasa. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0421&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_02.htm#ixzz2R3xzDR5x 
Hakcipta terpelihara