Sunday 25 October 2015

Kezaliman Israel menjadi-jadi


290 penduduk Palestin cedera terkena tembakan peluru hidup
25 Oktober 2015 12:01 AM



GAZA CITY 24 Okt. - Sekurang-kurangnya 290 rakyat Palestin ce­dera akibat terkena tembakan pa­sukan keselamatan Israel semasa mereka mengadakan demonstrasi ‘Hari Kemarahan’ di wilayah Gaza dan Tebing Barat yang dijajah rejim Zionis, semalam.
Sekurang-kurangnya 66 orang daripada mereka cedera semasa bertempur dengan pasukan ke­selamatan Israel di kawasan yang diduduki di Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur dan Genting Gaza.
Menurut Bulan Sabit Merah Pa­lestin, mangsa cedera akibat ter­kena peluru hidup atau peluru keluli bersalut getah yang dilepaskan tentera rejim Zionis.
Tindakan Israel menarik balik sekatan terhadap lelaki berumur di bawah 40 tahun untuk memasuki Masjid al-Aqsa dilihat dapat meredakan keadaan di tanah suci itu dengan polis menyifatkan solat Jumaat berlangsung dengan aman.
Selain insiden itu, puluhan penduduk Palestin yang lain termasuk wartawan cedera semasa pertempuran di luar Pangkalan Tentera Nahal Oz di daerah Shejaiya berhampiran sempadan Gaza.
Menurut saksi kepada portal Al Jazeera, tentera melepaskan peluru hidup, gas pemedih mata, dan peluru keluli bersalut getah ke arah penunjuk perasaan.
Seorang penduduk, Yehya Kareera, 20, dilapor meninggal dunia petang semalam selepas menderita akibat luka tembakan tentera Israel yang dialaminya dalam tunjuk perasaan minggu lalu.
Bercakap kepada Al Jazeera, pemimpin Hamas, Fathi Hamad berkata, pergerakan itu menggesa supaya diadakan intifada atau kebangkitan rakyat.
“Kami menyokong dan berdiri teguh di sebalik intifada,’’ katanya.
Sejak awal bulan ini, sekurang-kurangnya 53 orang penduduk Palestin terbunuh sama ada oleh pasukan keselamatan Israel mahupun peneroka haram Yahudi dengan hanya lapan kematian di pihak Israel.
Sementara itu, seorang penduduk Palestin ditembak mati selepas didakwa cuba menikam seorang pengawal ke­selamatan swasta di pusat pemeriksaan Israel di utara Tebing Barat hari ini. – AGENSI/AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kezaliman-israel-menjadi-jadi-1.150167#sthash.jLZB42DJ.dpuf