Friday 29 January 2016

Penjajahan Israel punca penentangan Palestin – PBB


REUTERS - SEBUAH bangunan baharu dalam pembinaan di penempatan haram Yahudi, Beitar Illit di Tebing Barat, Palestin kelmarin.


PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), Amerika Syarikat – Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon kelmarin mengulangi kritikan keras beliau terhadap Israel yang terus berdegil membina pe­nempatan haram baharu di Tebing Barat.
Ketua PBB itu berkata, beliau tidak akan menarik balik kecaman itu terhadap Israel meskipun kenyataannya sebelum ini menimbulkan kemarahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Beberapa diplomat PBB menyatakan tindakan Ki-Moon meningkatkan tekanan terhadap Netanyahu adalah usaha akhir beliau menghidupkan semula rundingan damai sebelum meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PBB pada hujung tahun ini.
“Selepas hampir 50 tahun penjajahan, selepas berpuluh tahun menunggu untuk menunaikan janji-janji perjanjian Oslo, penduduk Pa­lestin makin hilang harapan.
“Orang muda khususnya semakin putus asa. Mereka berang dengan polisi-polisi penjajahan ini,” kata Ki-Moon kepada satu jawatankuasa PBB mengenai hak asasi Palestin.
Netanyahu Selasa lalu menuduh Ki-Moon ‘menggalakkan keganasan’ selepas beliau menyatakan ‘menjadi lumrah manusia bertindak balas terhadap penjajahan’.
Ki-Moon menegaskan tiada apa yang menghalalkan keganasan, tetapi menambah tindakan keras anggota keselamatan tidak akan berjaya menyelesaikan konflik Palestin-Israel.
Beliau menyeru semua pihak kembali ke meja rundingan dan menyifatkannya sebagai ‘satu-satunya jalan ke arah penyelesaian yang adil dan berkekalan ialah menamatkan penjajahan sejak 1967’ serta mewujudkan sebuah negara Palestin berdaulat. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3yZzU3CDK 
Hakcipta terpelihara