Sunday, 7 June 2015

Zionis cabul hak asasi

Zionis cabul hak asasi
Tentera Israel didakwa melakukan perlanggaran hak asasi yang serius terhadap golongan kanak-kanak ketika operasi ketenteraan pada tahun lalu.

NEW YORK - Sebuah dokumen sulit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan rejim Zionis mencabul hak asasi kanak-kanak ketika Operasi Perlindungan Sempadan yang dilancarkan di Genting Gaza pada Julai lalu.
Laporan setebal 22 muka surat itu memaparkan kenyataan lantang Wakil Khas PBB, Leila Zerrouqui mengutuk perlanggaran hak asasi yang serius terhadap golongan itu ketika operasi ketenteraan besar-besaran tersebut.
Difahamkan, kira-kira 540 kanak-kanak terkorban ketika perang 50 hari terbabit lapor Reuters.
Susulan itu, Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) mendesak Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menolak gesaan Israel dan sekutunya yang mahu melindungi kekejaman rejim Zionis.
"Beliau perlu menilai laporan itu berdasarkan fakta dan bukan atas sebab tekanan politik," kata Pengarah HRW, Philippe Bolopion.
Pada April lalu, laporan PBB menunjukkan Israel bakal berdepan dakwaan melakukan jenayah perang selepas hasil siasatan agensi itu mendapati rejim Zionis telah membedil tujuh sekolah PBB di Genting Gaza yang turut meragut sekurang-kurangnya 44 nyawa.

Grafiti belia Gaza


06 Jun 2015 3:20 PM



GRAFITI di dinding-dinding dan lorong-lorong merupakan cara untuk belia Palestin mengungkapkan penderitaan dalam bentuk slogan.

SETIAP sudut anda berpaling, anda pasti melihat dinding-­dinding dipenuhi cat dengan lakaran slogan yang berwarna terang, potret politik dan prosa.
Bagi golongan belia di Semenanjung Gaza yang dicengkam kepadatan penduduk seramai 1.8 juta orang dan dikepung tentera Israel itu, grafiti adalah medium penting untuk mengekspresikan diri selain melontarkan respons.
Sejak lahir, belia-beliawanis tersebut tidak pernah mengetahui apa yang berada di luar tanah kecil yang terletak di antara Mesir dan Israel serta Laut Mediterranean di belakang mereka.
Di bahagian selatan negara itu, dinding-dinding dipenuhi dengan bantahan terhadap penutupan lintasan sempadan Rafah oleh Mesir. Sementara di utara, mereka mengutuk tentera Israel yang menghalang mereka daripada melintasi Erez.
Grafiti-grafiti tersebut terhasil atas dorongan rasa terperangkap, tidak berkuasa dalam menghadapi serangan bom Israel, pengebumian penduduk yang tidak berkesudahan, penghinaan dan penindasan yang menguasai diri.
Semua rasa itu diungkapkan dalam bentuk slogan yang begitu menonjol di dinding-dinding dan lorong-lorong di ­seluruh wilayah itu.
Seperti bentuk seni lain di Gaza, elemen politik juga tidak pernah terkecuali. Pada satu dinding, terdapat potret gergasi beberapa rakyat Palestin yang terkenal.
Terdapat satu grafiti yang menggambarkan ikon Yasser Arafat, yang mengasaskan gerakan Fatah dan meninggal dunia dalam keadaan misteri pada tahun 2004.
Di sebelah beliau adalah lukisan menyerupai Sheikh Ahmed Yassin, pengasas pergerakan Hamas yang dibunuh oleh Israel.
Ketegangan antara kedua-dua pergerakan nasionalis di Gaza itu telah mencetuskan pertumpahan darah pada tahun 2007, malah Hamas memaksa pengikut setia Fatah keluar (dari negara itu) dan merampas kuasa.
Maka, terjadilah perpecahan penuh pahit selama tujuh tahun sebelum diperbaiki pada awal tahun ini melalui satu perjanjian persefahaman. Di bawah kedua-dua potret tersebut terdapat satu slogan yang ditulis dalam huruf besar, berbunyi Ya untuk perpaduan nasional.
Sejak tahun 1987, apabila kebangkitan pertama rakyat Palestin bermula, dinding Gaza telah dipenuhi dengan mesej-mesej politik, panggilan untuk serangan dan butir-butir mengenai demonstrasi yang akan datang.
Ketika itu, pejuang Palestin akan menggunakan dinding untuk mencatatkan turutan tarikh serangan udara oleh Israel dan nama-nama mangsa yang terkorban atau mati syahid.
Bagi seorang artis jalanan Musab Abu Daff, 20, kebebasan adalah intipati grafiti.
“Ia membolehkan anda mengekspresikan diri, bercerita tentang di mana anda tinggal, terutamanya di sini, di Gaza, di mana segala-galanya telah musnah. Kami sebagai belia perlu untuk meluahkan perasaan kami.
“Pihak Israel menindas penduduk terutama belia-beliawanis, mereka menghalang kami dari keluar dan mereka mengepung Gaza. Jadi, saya mengambil keputusan untuk menulis di dinding Gaza mengenai apa sebenarnya yang berlaku kepada kami,” katanya dengan penuh semangat.
Sementara itu, Basel al-Maqusi yang mengendalikan sebuah galeri seni di kawasan mewah di Gaza berkata, ia juga merupakan cara yang agak selamat untuk menyampaikan mesej secara menyeluruh.
“Menulis di dinding adalah cara yang paling mudah dan efektif untuk mendapatkan sokongan orang ramai tanpa meletakkan diri anda dalam situasi bahaya.
“Pengedaran risalah memerlukan banyak masa dan boleh melibatkan nyawa sebagai taruhan. Menulis sesuatu di dinding akan kekal untuk jangka masa panjang dan ia boleh dilihat oleh semua orang,” ujarnya. 
– DHIYA’ZULHILMI DAUD/www.thehindu.com
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/grafiti-belia-gaza-1.99801#sthash.k54l7IYz.dpuf

Mesir batal label Hamas pengganas


KAHERAH 6 Jun – Sebuah mahkamah di Mesir hari ini membatalkan keputusan mengisytiharkan pergerakan Hamas sebagai sebuah kumpulan pengganas pada Februari lalu.
Seorang pegawai mahkamah berkata, keputusan itu dicapai selepas hakim memutuskan mahkamah sebelum ini tidak mempunyai bidang kuasa membicarakan perkara berkenaan.
Keputusan mahkamah pada Februari itu dibuatkan selepas seorang peguam mengemukakan petisyen mengkategorikan Hamas sebagai kumpulan pengganas berdasarkan tuduhan pergerakan tersebut menggunakan terowong bawah tanah untuk menyeludup senjata ke Mesir.
Bagaimanapun, kerajaan Mesir kemudian mengemukakan rayuan untuk membatalkan keputusan yang memburukkan hubungan antara Kaherah dan Hamas. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mesir-batal-label-hamas-pengganas-1.99860#sthash.X5UDmuSa.dpuf