Israel tembak Semenanjung Gaza
Pesawat Israel menembak sebuah kawasan tidak berpenghuni di tengah Semenanjung Gaza.
SEMENANJUNG GAZA - GAZA . Israel melancarkan serangan udara di tengah dan selatan Semenanjung Gaza, awal pagi semalam.

Media tempatan melaporkan, serangan di wilayah Palestin itu dilakukan selepas tentera rejim Israel mendakwa ianya sebagai tindak balas terhadap peluru berpandu dilancarkan dari Gaza.

“Israel melepaskan tembakan di tiga daerah yang dikuasai Hamas. Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan kerana roket berkenaan dilepaskan di kawasan tidak berpenghuni,” menurut laporan itu.

Ahad lalu, media Israel melaporkan, dua peluru berpandu di pintas di kawasan Ashkelon, selatan Israel.

Namun, jurucakap tentera Israel mendakwa, serangan itu sebagai latihan di tapak pelancaran roket.

Mei lalu pula, Israel melakukan serangan di bandar Beit Hanoun di timur laut Semenanjung Gaza di mana kawasan itu dihuni penduduk miskin Palestin.

Dalam perkembangan lain, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas secara rasmi menerima peletakan jawatan Perdana Menteri baru dilantik Rami Hamdallah, kelmarin.

Jurucakap kerajaan, Abbas Nabil Abu Rdaineh berkata dalam Press TV, Mahmoud menerima peletakan jawatan itu dan mengiktiraf Rami untuk mengetuai kerajaan sementara.

Pegawai Kanan Pihak Berkuasa Palestin percayai tindakan peletakan jawatan itu disebabkan keputusan Mahmoud melantik dua Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan pada 6 Jun lalu.