Saturday 5 April 2014

Perunding Palestin, Israel bertemu utusan khas Amerika


Penduduk Palestin membaling batu ke arah polis Israel dekat penjara tentera Ofer di Tebing Barat, bandar Betunia, Tebing Barat, kelmarin. - AFP
BAITULMAQDIS 5 April - Pasukan perunding Palestin dan Israel akan mengadakan pertemuan dengan utusan khas Amerika Syarikat (AS), Martin Indyk secara serentak esok, dalam usaha mengelakkan rundingan damai antara kedua-dua belah pihak menemui kegagalan.
Pertemuan tiga hala itu diadakan ketika Washington menilai gesaan untuk mencapai perjanjian damai selepas beberapa tindakan oleh Palestin dan Israel mengancam rundingan damai tersebut.
Setiausaha Negara AS, John Kerry semalam berkata, Washington mempunyai had masa dan tenaga untuk memberi perhatian kepada proses rundingan tersebut.
Pada hari sama, Indyk akan bertemu secara berasingan dengan Menteri Keadilan Israel, Tzipi Livni dan rakan sejawatannya dari Palestin, Saeb Erakat.
Kerry yang terlibat dalam rundingan damai itu sejak setahun lalu menghubungi pemimpin Palestin dan Israel, kelmarin bagi memastikan rundingan damai itu diteruskan.
Bagaimanapun, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menolak permohonan Kerry unrk menarik balik persetujuan untuk mematuhi 15 perjanjian antarabangsa yang ditandatanganinya pada minggu lepas.
Media Israel melaporkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut menolak permintaan Kerry supaya tidak melaksanakan langkah-langkah yang boleh menggugat rundingan damai tersebut. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140406/lu_01/Perunding-Palestin-Israel-bertemu-utusan-khas-Amerika#ixzz2yCRlYHMn
© Utusan Melayu (M) Bhd