Monday 13 July 2015

Israel bebas banduan Palestin mogok lapar


REUTERS - KHADER memeluk anak perempuannya di Kampung Arabeh, Tebing Barat selepas dibebaskan dari sebuah penjara Israel semalam.


BAITULMUQADDIS – Israel membebaskan seorang tawanan Palestin yang melancarkan mogok lapar selama 56 hari selepas dia ditahan tanpa dibicarakan sejak setahun lalu, kata seorang jurucakap semalam .
“Khader Adnan yang ditahan telah dibebaskan,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Penjara Israel, Sivan Weizman.
Khader, 37, ditahan di bawah tahanan pentadbiran selama setahun yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan untuk tempoh enam bulan dan boleh diperbaharui.
Mogok lapar yang hampir membawa maut itu mencetuskan amaran daripada kerajaan Palestin bahawa rejim Zionis akan dipersalahkan sekiranya Khader meninggal dunia.
Khader menamatkan mogok laparnya pada 28 Jun lalu selepas Israel bersetuju untuk membebaskannya. Dia kemudian dipindahkan ke sebuah hospital Yahudi.
Khader ditahan setahun lalu, sejurus selepas tiga belia Israel diculik dan dibunuh. Kejadian itu menyebabkan beratus-ratus penduduk Palestin di wilayah Tebing Barat yang diduduki Israel ditangkap.
Khader pernah mogok lapar selama 66 hari pada 2012 kerana membantah penahanannya. Dia dibebaskan pada akhir protes itu. Sepanjang tempoh tersebut, dia hanya makan vitamin dan garam.
Pada minggu lalu, kepimpinan Palestin mengemukakan satu laporan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa termasuk layanan tawanan Palestin di penjara-penjara Israel. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0713&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3fia8yMze 
Hakcipta terpelihara