Pejuang Palestin bentuk unit pertempuran
Tentera Israel melakukan persediaan menghadapi serangan pejuang Palestin di Golan Heights
BEIRUT -  Sebuah kumpulan pejuang Palestin berpangkalan di Syria dilapor sedang membentuk unit pertempuran untuk merampas semula kawasan yang dijajah Israel, terutamanya di Golan Heights.
Unit tersebut ditubuhkan selepas kumpulan tersebut mendapat sokongan Presiden Syria Bashar al-Assad dan Hezbollah.

Jurucakap Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin-Pemerintah Umum (PFLP-GC) berkata, mereka sedang bersiap sedia melancarkan operasi baru ke atas rejim Zionis selepas hampir 40 tahun tidak melakukan sebarang operasi di kawasan sempadan Syria-Israel.

“Pemimpin tertinggi PFLP-GC berikrar akan membentuk briged untuk menakluki semula kawasan jajahan yang diduduki Israel terutama di wilayah, Golan. Pemimpin Syria dan Hezbollah juga berjanji untuk bekerjasama sebagai sukarelawan tentera dalam pertempuran ini,” katanya dipetik  Reuters

Kumpulan PFLP-GC yang dilabelkan sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara Barat lain, merupakan kumpulan pejuang paling aktif pada 1970-an dan 1980-an.

Sehingga kini, kumpulan tersebut masih mempunyai pengaruh besar di Syria dan Lebanon.

Sementara itu, sumber perisikan berkata, Israel kini sedang meningkatkan sasaran terhadap kumpulan Tentera Pembebasan Syria (FSA) dan kumpulan Hizbullah di Lubnan.