Sunday, 23 March 2014

Israel bunuh 4 warga Palestin


Jenin: Tentera Zionis menembak mati empat warga Palestin awal pagi semalam dalam serbuan yang disusuli pertempuran dengan penduduk di sebuah bandar di Tebing Barat.

Ia keganasan paling buruk di wilayah Palestin itu sejak beberapa bulan lalu.
Kejadian berlaku dengan serbuan tentera Zionis yang bertujuan menangkap Hamza Abu el-Heija, anggota Hamas berusia 22 tahun yang dikehendaki kononnya kerana menyerang dan mengebom rakyat Israel.

Pegawai Palestin berkata, tentera Israel mengepung rumah Hamza di kem pelarian Jenin dan menyerbunya selepas pemuda itu enggan keluar.

Tembak-menembak kemudian menyusul.


Apabila penduduk sekitar keluar, tentera Zionis itu menembak mereka juga, menyebabkan tiga orang mati.

Kem pelarian berkenaan sering menjadi sasaran keganasan tentera Israel.
Ketika kebangkitan Intifada lebih 10 tahun lalu, tentera Zionis menyerang kem berkenaan untuk memusnahkan apa yang mereka kata sarang ‘pengganas.’

Puluhan warga Palestin terbunuh dalam kekejaman itu.

Ketegangan muncul semula sejak beberapa bulan lalu ekoran ketiadaan kemajuan dalam rundingan damai.

Pegawai Palestin berkata, tentera Israel menembak mati 57 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 900 lagi sejak rundingan damai disambung semula Julai lalu.

Ia tidak termasuk tiga orang yang dibunuhnya semalam.

Rakyat Palestin menuntut Tebing Barat, timur Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza menjadi wilayah negara Palestin merdeka.

Wilayah berkenaan ditawan oleh Israel dalam Perang 1967. Mereka mahu Israel bersetuju menjadikan sempadan muktamad negara Palestin berdasarkan kedudukan pada tahun berkenaan dan membenarkan rejim itu mengekalkan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis.

Tetapi Israel tetap angkuh dan degil, enggan berundur dari kawasan yang dijajahnya selepas 1967 selain memaksa Palestin mengiktirafnya sebagai negara Yahudi.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/23

Ikrar Hamas


Pejuang Hamas semalam menghantar mesej kepada rakyat Israel melalui sistem pesanan ringkas yang berbaur ancaman.

Ia dilakukan 10 tahun selepas ulama Hamas, Sheikh Ahmed Yassin terkorban dalam serangan udara yang dilakukan rejim Zionis itu.

Penduduk Israel dan wartawan yang berada menerima pesanan ringkas yang berbunyi: “Jika Gaza diserang, rakyat Israel akan menderita,” dan “Dalam peperangan seterusnya, semua tanah Palestin akan ditawan semula.” Sumber Hamas memberitahu perkara itu dilakukan Briged Ezzedine al-Qassam sempena ulang tahun ke-10 pembunuhan Ahmed.



Satu lagi mesej dihantar berbunyi: “Al-Qassam memilih kamu untuk menjadi Shalit seterusnya,” merujuk kepada tentera Israel, Gilad Shalit yang diculik dan ditahan selama lima tahun sebelum dibebaskan sebagai pertukaran kepada pembebasan 1,000 rakyat Palestin yang dipenjarakan Israel.

Mesej itu dikatakan dihantar dari telefon bimbit yang berbeza.

Semua nombor yang menghantar mesej itu gagal dihubungi kecuali yang dijawab oleh seorang lelaki Israel yang memberitahu taliannya diceroboh.

Emel majalah IsraelDefence juga digodam dan satu emel mengenai pembunuhan Ahmed dimuat naik.

Emel itu berbunyi: “Kami takkan lupa apa yang dilakukan ke atas beliau (Ahmed).


Kami bersumpah akan membalas dendam dan kali ini akan memenggal kepala pemimpin anda.

“Rejim Zionis membunuhnya menggunakan peluru berpandu dan kini peluru berpandu kami boleh menyerang setiap sudut Israel.” Ahmed, pengasas dan ulama Hamas terkorban dalam serangan udara Israel pada 2004.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/23

Tiga penduduk Palestin terbunuh



SEBAHAGIAN penduduk menghadiri majlis pengebumian Hamza di Jenin semalam.


JENIN, Palestin - Tiga penduduk Palestin terbunuh di kem pelarian Jenin, Tebing Barat awal semalam dalam satu pertempuran, kata beberapa pegawai.
Ketiga-tiga mereka terbunuh dalam pertempuran melibatkan askar-askar Israel yang melancarkan operasi untuk menangkap seorang pejuang Palestin.
Sumber-sumber perubatan dan keselamatan menyatakan, dua daripada mereka yang terbunuh itu merupakan pejuang Palestin.
Salah seorang pejuang yang maut itu ialah Hamza Abu Al-Heja yang merupakan anggota sayap ketenteraan Hamas.
Menurut sumber berkenaan, seorang lagi yang terbunuh itu merupakan orang awam. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0323&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2wjAmagGm 
Hakcipta terpelihara