NIZAM ZAIN
21 SEPTEMBER 2015
Meshaal berharap Najib memberi jaminan kepada Hamas bahawa Malaysia akan sentiasa berdiri bersama-sama rakyat Palestin untuk menghadapi kekejaman yang dilakukan regim Zionis.
SHAH ALAM – Parti politik Hamas meminta Malaysia memainkan peranan utama dalam melindungi Masjid Al-Aqsa daripada pencerobohan tentera Israel khususnya pendudukan haram di Baitulmaqdis khususnya di al-Aqsa.
Ketua Biro Politiknya, Khaled Meshaal berkata, tindakan regim Zionis itu kini semakin membahayakan Masjid al-Aqsa apabila cubaan untuk membahagikan tempat ibadat umat Islam itu dengan mengenakan “de facto” baharu.
"Betapa pentingnya Malaysia untuk memainkan peranan utama dalam melindungi Masjid al-Aqsa dan menggerakkan komuniti antarabangsa untuk menyekat rancangan Israel untuk menceroboh dan menduduki Baitulmuqaddis amnya, serta Masjid Al-Aqsa, khasnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Meshaal menyampaikan hasrat pihaknya itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbualan telefon mengenai perkembangan terkini dan pencabulan yang dilakukan tentera Israel di Baitulmaqdis.
Mengulas lanjut, Meshaal juga berkata Najib memberi jaminan kepada Hamas bahawa Malaysia akan sentiasa berdiri bersama-sama dengan rakyat Palestin untuk menghadapi kekejaman yang dilakukan regim Zionis.
“Najib mengutuk sekeras-kerasnya keganasan dan pencerobohan tentera Israel ke atas Masjid al-Aqsa hingga menyebabkan ia terpisah secara sementara,” ujarnya.
Sementara itu, Meshaal turut menghubungi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memaklumkan perkembangan terkini di Masjid al-Aqsa.
“Abdul Hadi menekankan pentingnya peranan dimainkan Malaysia dalam melindungi tempat suci itu.
“Beliau turut mengutuk pihak berkuasa pendudukan pencerobohan dan berikrar untuk menentang dasar tersebut,” jelasnya.
Di akhir perbualan dengan kedua-dua pemimpin Islam itu, Meshaal mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Najib, kerajaan dan rakyat Malaysia yang terus menyokong rakyat Palestin dalam menghadapi pencerobohan regim Zionis.