Monday 21 September 2015

Palestin lancar hari kemarahan


REUTERS - RAKYAT Palestin menunaikan solat Jumaat di atas jalan raya selepas polis Israel melarang umat Islam memasuki Masjid al-Aqsa semalam.


BAITULMUQADDIS – Israel mengerahkan anggota polis simpanan sekitar Kota Lama Baitulmuqaddis semalam selepas pemimpin Palestin me­lancarkan ‘hari kemarahan’ sebagai membantah tindakan terbaharu rejim Zionis.
Kira-kira 800 polis tambahan ditempatkan di tengah-tengah bandar itu dan kawasan kejiranan di Arab ketika kete­gangan semakin meningkat sejak minggu lalu ekoran pertempuran keganasan di kawasan Masjid al-Aqsa dan serangan membaling batu oleh penduduk Palestin terhadap ken­deraan Israel.
Ketegangan itu berlaku di pekarangan Masjid al-Aqsa dan Kubah Batu yang merupakan salah satu tempat suci umat Islam.
Malah, penganut Yahudi turut menganggap kawasan itu sebagai tempat suci kerana sebuah kuil purba pernah dibina di kawasan berkenaan.
“Polis Israel telah mening­katkan keselamatan di kawasan sekitar Baitulmuqaddis serta Kota Lama sebagai satu langkah pencegahan dan maklum balas terhadap mana-mana kejadian yang berlaku,” kata seorang jurucakap, Micky Rosenfled.
Dalam usaha mengurangkan ancaman keganasan, Israel kini melarang golongan lelaki berusia bawah 40 tahun daripada memasuki masjid berkenaan semalam.
Bagaimanapun, sekatan itu mencetuskan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan umat Islam.
Anggota polis dilihat ramai di Qalandia yang merupakan sebuah pusat pemeriksaan antara Baitulmuqaddis dan Ramallah yang menjadi lokasi utama demonstrasi. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3mMiXDmpy 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment