GENTING GAZA - PALESTIN. Majoriti kanak-kanak yang tinggal di kawasan Semenanjung Gaza yang paling teruk menerima kesan semasa perang tahun lalu, masih menunjukkan tanda-tanda tekanan emosi yang teruk.
Pertubuhan kebajikan kanak-kanak Save The Children mengumumkan laporan terbaharu mereka kelmarin bahawa, 89 peratus daripada ibu bapa di kawasan yang dibedil rejim Zionis melaporkan bahawa anak-anak mereka masih trauma.
Organisasi NGO antarabangsa itu juga berkata, lebih 70 peratus daripada kanak-kanak Palestin yang tinggal di kawasan berkenaan bimbang mengenai perang baharu yang bakal tercetus lapor Press TV.
Laporan itu adalah hasil tinjauan pendapat ke atas 300 keluarga di wilayah Gaza untuk melihat bagaimana Operasi Perlindungan Sempadan memberi kesan kepada mereka setahun kemudian.
"Kami juga mendapati bahawa lebih 70 peratus kanak-kanak ini mengalami mimpi buruk dan kencing malam.
"Ini adalah kesan daripada peristiwa yang mereka alami semasa Israel membedil wilayah Gaza," kata pegawainya, David Hassell.
Gaza dilanda peperangan selepas Israel memulakan kempen keganasan ke atas wilayah Palestin itu mulai 8 Julai tahun  lalu.
Lebih 2,200 penduduk Palestin termasuk 578 kanak-kanak terbunuh dalam konflik berkenaan.