Yayasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran tentang keadaan tersebut, yang menyaksikan tentera rejim Zionis sering menjadikan kanak-kanak Palestin sebagai sasaran sera­ngan atas alasan kumpulan tersebut cuba menyerang anggota ke­selamatan mereka.
“Kami amat bimbang dengan peningkatan kekerasan terutamanya insiden yang menyaksikan kanak-kanak Palestin ditembak mati oleh tentera Israel,” jelas agensi itu semalam.
Laporan UNICEF pada masa sama mendakwa, lebih 1,300 kanak-kanak Palestin cedera semasa peningkatan keganasan itu yang kebanyakannya berlaku di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Tempoh sama turut menyaksikan tiga kanak-kanak Israel cedera di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Barat.
UNICEF memetik contoh kejadian pada 25 Oktober lalu di Hebron, Tebing Barat, melibatkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang ditahan tentera Israel bagi tujuan pemeriksaan, namun dia ditembak mati de­ngan lima das tembakan.
“Pihak berkuasa Israel men­dakwa remaja itu cuba menikam seorang anggota polis. Namun, menurut saksi, remaja berkenaan tidak menunjukkan sebarang ancaman pada masa dia ditembak, malah menjerit menyatakan dia tidak memiliki pisau,” jelas agensi PBB itu.
Jumlah korban yang direkodkan bagi tempoh dari Oktober hingga Disember lalu amat tinggi, jika dibandingkan antara Julai dan September lalu yang me­nyaksikan hanya empat kanak-kanak Palestin dibunuh, manakala 165 lagi cedera.
UNICEF pada masa sama me­lahirkan kebimbangan tentang jumlah kanak-kanak Palestin berusia antara 12 dan 17 tahun yang ditahan tentera Israel de­ngan mendakwa jumlah itu me­ningkat kepada 422 orang pada penghujung Disember lalu, rekod tertinggi sejak Mac 2009.
Undang-undang Israel membenarkan kanak-kanak Palestin berusia dari umur 12 tahun dibicarakan.
Sejak gelombang keganasan meningkat di wilayah Palestin sejak Oktober lalu, sebanyak 204 penduduk Palestin dan 28 penduduk Israel terkorban. – AFP